Saturday, July 14, 2012

Meneroka kota silang budaya




SAN FRANCISCO, atau lebih dikenali sebagai bandar di tepi teluk merupakan bandar raya paling liberal di Amerika Syarikat (AS). Ia terkenal dengan penduduknya yang progresif, pelopor pemikiran radikal, pergerakan aktivis kebebasan hak-hak asasi dan kebangkitan budaya hippi.
Disempurnakan tawaran panorama Jambatan Golden Gate dan keindahan alam semula jadi, semua itu membezakan San Francisco dengan mana-mana bandar raya lain di dunia.
Kegemilangannya bermula selepas tahun 1848 apabila emas mula ditemui di situ sehingga menjadi tumpuan masyarakat dari seluruh dunia.
Aktiviti perlombongan pantas mengubah landskapnya daripada sebuah perkampungan nelayan kepada sebuah bandar raya terkenal dengan keluasan seluas 49 kilometer persegi yang menjadi kediaman lebih 800,000 penduduk pada hari ini.
Bandar raya yang berpusat di California itu terus megah dengan kepelbagaian budaya dan masyarakatnya, seni bina era Victoria, kereta kabel di samping kepelbagaian tarikan pelancongan yang ditawarkan.
'Eropah' Amerika
Dikenali juga sebagai bandar raya yang paling berunsurkan Eropah di AS, San Francisco bakal membuatkan sesiapa sahaja terpesona dengan keunikan kafe-kafe, taman-taman indah dan warisan dunia silam yang terus terpelihara.
Dari hotel dan dewan tari, sehingga kepada teater moden IMAX dan pub-pub rancak, terdapat pelbagai tarikan dan aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang berada di situ.
Saiznya yang kecil berbanding bandar-bandar lain di AS, menyebabkan San Francisco mudah diterokai termasuk biarpun hanya dengan berjalan kaki.
Wartawan pelancongan Reuter, mengajak pengembara dunia mengenali San Francisco pada hujung minggu melalui catatan ini.
Dalam pengembaraan yang dimulakan pada petang Jumaat, seseorang boleh menikmati hidangan makan malam di salah satu lokasi gastronomi popular iaitu Zuni Cafe terletak di Market Street.
Menawarkan hidangan Mediterranean yang berbeza setiap hari, pengunjung boleh menikmati beberapa hidangan popular seperti tiram segar serta ayam panggang berserta roti dan salad.

PELBAGAI pakej pelancongan yang ditawarkan membolehkan pengunjung menikmati kepelbagaian tarikan pelancongan yang ditawarkan di kota ini.


Seterusnya, luangkan masa untuk menyaksikan pelbagai persembahan klasik dan terkini di American Conservatory Theater.
Hab feri
Keesokan harinya, mulakan pengembaraan ke Ferry Building, iaitu bekas terminal feri yang terletak berhampiran Market Street.
Pada hari ini, selain menjadi hab feri pelancongan, ia juga menempatkan puluhan gerai dan restoran yang menjual pelbagai barangan daripada ikan, keju buatan tangan sehinggalah roti segar.
Jangan lupa menikmati sarapan pagi di Sidekick, kafe terbuka yang dikendalikan oleh Cowgirl Creamery atau membeli coklat di Scharffen Berger Chocolate Maker.
Menikmati kopi, pastri dan sarapan pagi di ruang terbuka sambil menikmati panorama di atas pelantar feri pastinya memberikan pengalaman menarik.
Puas membeli-belah, naik teksi atau sekadar berjalan kaki bermula dari Embarcadero ke Fisherman Wharf. Terus menghala ke Pier 33 berhampiran Bay Street untuk mengambil feri ke Pulau Alcatraz.
Pulau berbatu yang terletak di tengah-tengah San Francisco Bay itu merupakan penjara persekutuan sehingga pada tahun 1963.
Merupakan antara penjara yang mempunyai sistem kawalan paling ketat di dunia. Ia pernah dihuni beberapa penjenayah terkenal seperti Al Capone dan Robert Stroud.
Diiktiraf sebagai Mercu Tanda Bersejarah Nasional pada tahun 1986, Alcatraz menjadi lokasi riadah dan pelancongan yang wajib dikunjungi di bandar raya itu.
Pengunjung boleh memilih pakej melawat keseluruhan pulau itu, termasuk ruang lokap, kafeteria dan kawasan taman yang pernah digunakan para banduan.
Burung laut
Di samping itu, pulau itu juga terkenal dengan pelbagai spesies burung laut. Jangan lupa membawa kamera untuk merakamkan aksi spesies camar, burung dendang air (cormorant), bangau egret, burung pucung dan guillemot yang menjadi penghuni setia di situ.

UNTUK tujuan bersiar-siar, trem yang perlahan namun selesa ini boleh dinaiki jika seseorang itu tidak mahu berjalan kaki di sepanjang Powell Street yang agak mencerun.


Bagi peminat kopi, bolehlah ke Cafe Trieste untuk mencuba keenakan kopi jawa yang dihasilkan oleh penduduk tempatan.
Jika berkesempatan, singgahlah ke kedai buku City Lights milik Lawrence Ferlinghetti untuk membeli buku-buku politik radikal yang lazim sukar ditemui di pasaran.
Bagi yang tidak puas melihat pemandangan landskap, tujulah ke Coit Tower untuk menyaksikan pemandangan sekitar kawasan teluk dan Lombard Street.
Cenderamata
Sama seperti bandar-bandar besar lain di dunia, San Francisco juga mempunyai Chinatown. Ia terletak di Union Square dan berjalan di sepanjang Stockton Street yang agak sesak dengan pengunjung.
Jika mahu membeli cenderamata sebagai kenang-kenangan di situ, bolehlah ke Grant Street yang menawarkan banyak gerai jualan dan restoran.
Seterusnya halakan langkah ke puncak Nob Hill. Jika tidak mahu terlalu bersesak, perkhidmatan kereta kabel di Powell Street boleh digunakan.
Sebaik sahaja tiba di Nob Hill, jangan lupa menikmati minum petang di Mark Hopkins Hotel. Seterusnya, naik lif sehingga tiba di aras 19 menuju ke bar terkenal, Top of the Mark sambil menikmati panorama 360 darjah keseluruhan bandar raya di atasnya.
Sekiranya mahu menikmati makan malam yang lazat dan menyelerakan, bolehlah ke Mission District. Untuk tiba di situ, pengunjung boleh gunakan perkhidmatan kereta api bawah tanah dikenali sebagai BART.
Merupakan kawasan kejiranan yang didiami imigran dari Mexico dan Amerika Tengah, lokasi itu menempatkan ratusan bar dan restoran yang menawarkan hidangan pada harga murah dan sederhana.
Pengunjung boleh menikmati taco dan burrito terbaik di bandar raya itu tatkala berkunjung di La Taqueria at Mission dan 25th Street.

PERKHIDMATAN trem membolehkan pengunjung meneroka keunikan dan dan keindahan bandar raya San Francisco dengan lebih dekat.


Agenda Ahad
Pengembaraan diteruskan pada hari Ahad dengan menikmati dim sum sebagai menu sarapan pagi di Ton Kiang, bahagian tengah daerah Richmond.
Demi keselesaan, pastikan tiba awal di sana atau bersedialah untuk beratur panjang menunggu giliran bersama pengunjung lain.
Jika tidak menggemari hidangan Cina, bolehlah menikmati makanan Barat seperti pastri, roti segar atau piza di kedai roti Arizmendi.
Mahu ditemani kehijauan dan alam semula jadi? Apa kata ke Golden Gate Park. Dibina sekitar 1870-an, hamparan taman itu memanjang sehingga ke Lautan Pasifik. Jangan lupa melawat Conservatory of Flowers, iaitu rumah hijau ketika di era Victoria di Western Hemisphere yang menempatkan lebih 10,000 tumbuh-tumbuhan pelbagai spesies.
Salah satu tarikan lain di situ ialah Japanese Tea Garden dan M.H. de Young Museum, yang menempatkan ratusan karya seni dari AS, Afrika dan rantau Pasifik sekitar abad ke-17 sehingga abad ke-20. - Reuters
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...