Thursday, July 5, 2012

Kelab asah minat fotografi




HOBI Mohd. Azam Mohd. Alwi sebelum ini ialah bermain permainan kawalan jauh (RC) seperti miniatur kereta atau kapal terbang. Ketika berkumpul dengan rakan-rakan yang turut bermain RC, terdapat beberapa temannya membawa kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) untuk merakam saat-saat menarik sepanjang acara.
Daripada situ terdetik dalam hati Mohd. Azam untuk mula berjinak-jinak dalam seni fotografi. Tambahan pula, abangnya turut memiliki kamera DSLR. Lantaran itu, dia agak mudah menyesuaikan diri menggunakan kamera yang agak rumit.
Itu cerita yang berlaku tiga tahun lalu, Mohd. Azam yang berasal dari Bangi, Selangor kini merupakan antara 10 jurugambar terbaik dalam kalangan ahli Kelab Nikon yang diiktiraf dalam sebuah pertandingan pada tahun lalu.
Foto yang membawa tuah kepada juruukur tanah itu memaparkan sebuah imej pemandangan dan sebagai pemenang tempat pertama, dia membawa pulang hadiah sebuah kamera Nikon, model 3100.
Dia mula menyertai Kelab Nikon pada bulan April lalu dengan kamera pertamanya, Nikon D90. Melalui kelab tersebut, dia banyak mengikuti acara berkumpulan untuk merakam gambar (get together) beramai-ramai anjuran Kelab Nikon.
Mohd. Azam tidak menyertai kelas-kelas mengendali kamera anjuran Nikon tetapi percaya dengan mengikuti get together, pembelajaran mengenai seni itu semakin cepat dan mudah.



“Aktiviti-aktiviti tersebut banyak dihadiri oleh jurugambar profesional jadi, ia merupakan platform yang tepat untuk belajar,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Ketika sesi tersebut, Mohd. Azam boleh terus menunjukkan hasil rakaman kepada pakar. Pembelajaran secara praktikal dan teori boleh dilakukan serentak.
Antara ilmu yang dapat Mohd. Azam kutip sepanjang menyertai get together termasuklah menyediakan setting yang bersesuai dengan situasi dan cara menyusun komposisi gambar.
Dia pernah belajar pelbagai teknik fotografi seperti jalanan, potret dan perkahwinan, tetapi gambar landskap lebih dekat dengan dirinya.
“Foto yang terhasil menyebabkan timbul rasa insaf dan kagum atas ciptaan Allah terhadap dunia terutamanya alam semula jadi seperti laut dan pokok,” terang lelaki berusia 42 tahun itu.
Dia kini memiliki tiga buah kamera iaitu model D700, D90 yang telah dinaik taraf dengan menambah infra merah, manakala 3100 yang dimenanginya tahun lalu.
MAHFOOZ (kiri) dan Thian Leong menyifatkan penubuhan Kelab Nikon merupakan peluang terbaik untuk mengasah bakat dan minat dalam bidang fotografi.


Amat mudah menyertai Kelab Nikon kerana ia terbuka kepada pengguna kamera Nikon tanpa mengira model kamera. Anda cuma perlu melayari laman web www.nikonclub.com.my untuk berdaftar dengan memberi nombor siri kamera.
“Selepas berdaftar, secara automatik ahli kelab layak menyertai semua aktiviti yang dilakukan,” kata Penolong Pengurus Kelab Nikon, Lim Thian Leong, 39.
Antara aktiviti yang dilakukan oleh Kelab Nikon termasuklah walkabout, get together dan bengkel kamera. Walkabout dan get together merupakan aktiviti jalan-jalan sambil merakam foto.
Ia memberikan peluang kepada peminat foto berjumpa dengan jurugambar berpengalaman untuk mempelajari secara terus daripada pakar dan bertukar-tukar pandangan.
Kedua-dua program tersebut boleh membantu jurugambar amatur mencari identiti selain menajamkan skil dan melihat foto sebagai sebuah karya seni.
Bengkel fotografi pula mendedahkan ahli kelab mengenai cara-cara yang tepat untuk menggunakan kamera dan mengeluarkan hasil yang divisualkan.
Silibus bengkel yang disediakan adalah daripada peringkat asas sehingga profesional.
Tidak perlu risau mengenai had umur kerana menurut Thian Leong, terdapat pelajar yang sudah menjangkau umur 76 tahun pun menyertai bengkel tersebut.

GET together merupakan aktiviti yang dapat membantu jurugambar yang baru berjinak-jinak dalam bidang fotografi.


Kelab Nikon memiliki seramai 19 orang perhubungan negeri di seluruh Malaysia termasuk masing-masing dua orang di Sarawak, Johor dan Sabah.
Setakat ini, lebih 14,000 orang termasuk di Brunei telah menjadi ahli Kelab Nikon. Setiap tahun, Kelab Nikon mengadakan sebuah pertandingan kepada ahlinya.
Antara tujuan kelab itu ditubuhkan adalah bagi mengekalkan minat pengguna kamera Nikon terhadap bidang fotografi.
Akui Pengurus Kanan Jabatan Pemasaran Produk Pengguna Nikon (Malaysia) Sdn. Bhd., Mahfooz NR, 53, pada zaman kamera filem dahulu berlaku fenomena orang ramai begitu berminat dengan bidang fotografi tetapi lama-kelamaan ia semakin malap.
“Ia berlaku kerana tiada kelas atau dorongan untuk orang ramai merakam foto yang berkualiti tinggi.
“Harga yang tinggi untuk membeli dan memproses filem dan apabila melihat hasil akhir pula sangat mengecewakan mendorong seni foto semakin dilupakan,” ungkap Mahfooz.
Jadi, melalui aktiviti yang dirangka oleh Kelab Nikon dapat memberi platform seluas-luasnya kepada jurugambar baharu atau amatur untuk memahirkan diri.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...