Saturday, July 14, 2012

Jejak romantis kota Casablanca



KEUNIKAN seni bina Casablanca Cahthedral terus menjadi sebutan sehingga diangkat sebagai pusat kebudayaan dan tarikan kepada pelancong asing.


FILEM romantik terkenal dari Amerika Syarikat, Casablanca, pernah diiktiraf antara filem terbaik sepanjang zaman. Berlatarbelakangkan Perang Dunia Kedua, filem yang diterbitkan pada tahun 1942 itu berjaya meruntun jiwa jutaan peminatnya melalui kisah percintaan, Humphrey Bogart dan Ingrid Bergman sebagai teraju utama.
Melalui filem itu juga, dunia melihat keindahan Casablanca dengan lebih dekat. Ia digambarkan sebagai antara kota paling romantik di dunia, seperti Paris, Perancis dan Venice, Itali.
Itu kisah beberapa dekad lalu. Hari ini, kegemilangan yang dicapai oleh bandar raya terbesar dan pelabuhan utama di Maghribi itu seakan-akan sudah berakhir.
Jika ditanya kepada penduduk setempat, mereka akan memberitahu Casablanca adalah kota yang sesak dengan kehadiran manusia dan bunyi hon kenderaan. Tiada lagi suasana tenang dan penuh romantis seperti yang dilalui Humphrey dan Ingrid satu ketika dahulu.
Bagaimanapun, tidak ramai rakyatnya menyedari Casablanca merupakan sebuah bandar raya elektik artistik berlatarbelakangkan era 1920-an dengan aspek elegan, glamor dan moden menjadi teras pembangunannya.
Casablanca yang merupakan sebuah bandar kecil ketika ia dijajah Perancis sekitar tahun 1912 dan bukanlah sebuah bandar purba seperti Rom atau Athens. Biarpun tidak lagi diresapi elemen seni bina tradisional Maghribi, ia tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.
Salah satu cara terbaik untuk bersantai dan meninjau kehidupan jalanan di bandar raya itu ialah dengan menghala ke arah timur di sepanjang Mohammed V Boulevard bermula dari Place des Nations Unies di tengah-tengah bandar. Di situ, pengunjung akan melihat mercu tanda ikonik iaitu menara jam Old Medina.
Sekiranya menuju ke arah Rue Mohammed Qori pula, pengunjung boleh menemui Rialto Theater, sebuah pawagam lama binaan tahun 1930.
Keunikannya terserlah melalui reka bentuk yang mengagumkan di samping hiasan dalamannya yang terperinci dan penuh bersejarah. Biarpun sudah agak berusia, ia masih berfungsi sebagai lokasi menonton wayang gambar dan persembahan pentas yang mampu memuatkan kira-kira 1,000 pengunjung.
Menghargai seni bina
Puas meneroka di laluan itu, apa kata ke Place Mohammed V yang menempatkan sebuah pejabat pos, sebuah penjara dan Istana Kehakiman. Semua bangunan itu bercirikan seni bina Moor-Perancis yang kaya dengan elemen gerbang, tiang dan susunan jubin.
Di bahagian utara laluan itu, suasananya agak sunyi, iaitu kawasan hutan tebal dikenali sebagai League of Arab Nations Park.
Berhampiran Boulevard Hachidi, pengunjung boleh menemui Casablanca Cathedral yang dibina oleh Paul Tournon, arkitek dari Perancis. Selepas kemerdekaan Maghribi pada tahun 1956, gereja itu menjadi pusat kebudayaan dan tarikan kepada pelancong asing.
Kunjungan ke Casablanca seakan tidak sah sekiranya tidak berkunjung ke kawasan tebing pantai. Di kawasan siar kaki yang menghadap lautan itu, pengunjung dapat melihat kapal-kapal usang belayar dan berlabuh.
Di zon pantai juga, pengunjung boleh melihat sebuah kubu lama berhampiran Masjid Hassan II, berhibur di kelab-kelab malam atau sekadar menginap salah satu daripada puluhan hotel bergaya.
Hamparan pantainya yang memanjang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung. Pelbagai aktiviti pantai seperti meluncur air dan bola sepak pantai boleh disertai.
Bagaimanapun, terdapat juga kawasan pantai tertutup seperti di Miami, yang mengenakan bayaran masuk kepada pengunjung.
Bagi pengunjung yang mahu membeli-belah, bolehlah berkunjung ke Marrakesh, sebuah bazar yang terkenal dengan aksi pemain ular dan penjual ubat serta herba jalanan.
Sebuah bazar bersejarah, Old Medina yang dibina pada abad ke-18 terletak bertentangan dengan Hotel Hyatt Regency. Di situ, pengunjung pasti rambang melihat pelbagai barangan yang dijual.
DIKELILINGI Lautan Atlantik, tidak hairanlah Casablanca turut menjadi tumpuan peminat-peminat aktiviti air.


Di samping itu, terdapat sebuah lagi bazar yang tidak kurang popular di Hobous iaitu New Madina. Mengambil masa kira-kira 10 minit dengan menaiki teksi dari Place des Nations Unies, bazar itu menjadi tumpuan pengunjung yang mahu mencari barangan seramik, lampu beraneka bentuk dan warna, selendang serta cenderamata.
Masjid indah
Biarpun kelihatan gah dengan seni bina sejarah kolonial, hanya satu kekurangan di bandar raya itu iaitu ketiadaan muzium. Bagaimanapun, Masjid Hassan II yang dibuka kepada pengunjung sedikit sebanyak menyelamatkan keadaan.
Merupakan masjid terbesar di Maghribi dan ketujuh terbesar di dunia, keunikannya terletak di bahagian menara setinggi 210 meter yang menawarkan panorama indah di sekitar Casablanca.
Mampu memuatkan lebih 100,000 jemaah, masjid yang menghadap Lautan Alantik itu diilhamkan oleh arkitek Perancis, Michel Pinseau.
Keindahannya terserlah melalui seni bina dan dekorasi seperti bahagian bumbung yang dihiasi jubin mozek, ukiran-ukiran kayu dan stuko (ukiran plaster siling).
Setinggi tiga tingkat, ia dihiasi lampu candelier kristal Venice yang indah. Sebagai sebuah masjid moden, ia dilengkapi kemudahan teknologi terkini seperti mampu menahan impak gempa bumi, mempunyai sistem pemanas pada bahagian lantai, pintu elektrik dan bumbung gelangsar yang dikawal melalui komputer sepenuhnya.
Terdapat beberapa pakej lawatan ke masjid itu disediakan kepada pelancong kecuali pada hari Jumaat.
Hiburan malam
Siapa kata, Casablanca tidak mempunyai aktiviti liburan pada waktu malam. Pada hujung minggu, Casablanca berubah menjadi sebuah kosmopolitan yang dipenuhi ekspatriat, kakitangan kedutaan dan golongan profesional yang datang berhibur sambil menikmati muzik rancak tanpa henti khususnya di sepanjang tebing pantai di sekitar Ain Diab.
Salah sebuah lokasi yang menjadi tumpuan golongan muda bersantai dan berlibur ialah di Cabdy Bar Lounge di Hotel Riad Salam.
Sebagai sebuah destinasi pelancongan utama di negara itu, pengunjung tidak akan berdepan dengan masalah penginapan di Casablanca. Terdapat puluhan hotel mewah, resort dan calet yang menawarkan penginapan selesa bertaraf satu hingga lima bintang.
Pengunjung boleh cuba menginap di Dar Itrit iaitu sebuah vila binaan 1940-an yang kini diubah suai menjadi hotel. Dihiasi perabot ringkas, ia menawarkan penginapan bajet.
Bagi yang mahu menikmati penginapan bertaraf lima bintang, bolehlah menginap di Le Royal Mansour Meridien. Dibina pada tahun 1950-an, ia merupakan hotel yang menerima sentuhan moden Moor, lengkap dengan kemudahan internet, gimnasium, spa, dan restoran mewah.
Sementara itu, Hotel Hyatt Regency di Place des Nations Unies menawarkan 251 buah bilik. Ia menawarkan ruang yang luas, lengkap dengan perabot kontemporari serta pelbagai kemudahan seperti kolam renang dan gimnasium. Ia sering menjadi pilihan pengembara bisnes atau pengunjung yang mahu menikmati penginapan mewah dan layanan kelas pertama.
Menjamu selera
Penjajahan Perancis tidak sekadar memberi impak terhadap seni bina kolonial malah bidang kulinari di Maghribi. Sehingga hari ini, Casablanca terus subur dengan deretan kafe dan restoran yang menawarkan pelbagai makanan dan minuman terbaik gaya Paris.
BIARPUN sudah berusia 82 tahun, Rialto Theater tetap megah berdiri memberikan hiburan tanpa henti kepada warga Casablanca.


Antaranya ialah Rick Cafe terletak di Old Medina, yang merupakan antara restoran terbaik yang ditawarkan di bandar raya itu.
Mengetengahkan tema daripada filem Casablanca, ia menawarkan hidangan istimewa Perancis seperti itik panggang bersama sos mangga.
Mahu menikmati hidangan burung kasawari? Apa kata ke A Ma Bretagne yang diusahakan oleh chef terkenal dari Perancis, Andre Halbert di Sidi Abderrahmane, kira-kir lima kilometer dari bandar.
Menawar seleksi gastronomi terbaik Perancis bercita rasa Maghribi, pengunjung pasti terpesona menikmati hidangan dalam ruang restoran yang dibina daripada dinding kaca sambil melihat panorama laut di sekelilingnya.
Casablanca menawarkan pengalaman terbaik sama ada pengunjung yang datang bersendirian, bersama keluarga atau dengan rakan-rakan.
Sama ada sebagai destinasi percutian budaya, syurga gastronomi, sejarah, perayaan, aktiviti atau menikmati alam semula jadi, Casablanca, mempunyai segala-galanya.
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...