PETALING JAYA: Isteri kepada Zed Zaidi iaitu Natalia Mustafa Kamal, 29, selamat melahirkan seorang bayi lelaki di Pusat Perubatan Tropicana di sini kira-kira pukul 9.30 pagi, Jumaat.
Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 32, berkata, anak yang diberi nama Ryan Ziqry itu dilahirkan dengan berat 4.32 kilogram menerusi pembedahan.
"Ikutkan isteri saya nak bersalin secara normal tetapi doktor menasihatkan untuk melakukan pembedahan kerana saiz bayi terlalu besar. Bagaimanapun syukur Alhamdulillah semuanya telah selamat dan keadaan isteri juga baik," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.
Dalam pada itu, Zed yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) memberitahu, isterinya telah dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan sejak pukul 5 pagi Jumaat, sebelum dibawa masuk ke bilik pembedahan empat jam kemudian.
Menurut Zed, dia turut dibenarkan menemani isterinya di dalam bilik pembedahan dan menyaksikan sendiri anak pertamanya itu dilahirkan.
"Saya adalah lelaki yang paling gembira hari ini dengan kehadiran anak sulung saya dan pengalaman berada di dalam bilik pembedahan bersama isteri sukar digambarkan dengan kata-kata.
"Bagaimanapun saya bersyukur keadaan kedua-dua insan yang sangat saya sayangi selamat," katanya.
Sementara itu, Zed menganggap kelahiran Ryan Ziqry pada bulan Ramadan adalah satu keberkatan buat dirinya serta keluarga dan berharap bayi berkenaan akan menjadi anak yang soleh dan berbakti kepada kedua ibu dan bapanya.
"Alhamdulillah, Ryan dilahirkan dalam bulan Ramadan yang mulia dan pada hari Jumaat yang penuh keberkatan dan tarikh dia dilahirkan iaitu 27 Julai sama dengan tarikh lahir saya, cuma saya 27 Jun.
"Dia menjadi tumpuan keluarga ketika ini dan kelahirannya disambut dengan penuh rasa kesyukuran," katanya yang belum dapat merakamkan gambar bayi berkenaan.
Zed dan Natalia berkahwin pada 29 April tahun lalu di Restoran Felda Villa, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
@mstar.com.my
No comments:
Post a Comment