LAMA Imran Ajmain bertafakur seni. Usai lagu Selamat Ulang Tahun dan 1000 Tahun yang mendapat perhatian ramai, dia seakan-akan vakum dengan aktivitinya sendiri.
Dalam diam Imran sebenarnya sedang merangka pelbagai aktiviti untuk bertemu peminat. Perhatian diberikan kepada semua peminat termasuk si pemakai tudung yang ingin menyaksikan kelibatnya secara langsung.
Ini adalah kerana kebanyakan persembahan penyanyi berasal dari Singapura ini banyak tertumpu di kelab malam dan dilaksanakan pada waktu malam. Satu keadaan dan masa yang tidak sesuai untuk gadis-gadis pemakai tudung yang kontemporari ini digelar hijabster.
"Saya banyak buat persembahan di kelab dan waktu jadi para peminat yang bertudung tidak berkesempatan untuk menonton," terang Imran yang kini bernaung di bawah label rakaman Life Records.
"Oleh itu sebuah persembahan yang dinamakan Imran Ajmain Live In Hard Rock Kuala Lumpur akan diadakan pada pukul 3 petang. Jujurnya, saya laksanakan persembahan ini secara spesifik kepada golongan bertudung yang mahu menonton saya menyanyi," ujar Imran yang bakal menyanyi selama 90 minit dalam dua set persembahan.
"Para peminat saya datang daripada pelbagai golongan. Jadi dengan mengadakan persembahan pada sebelah petang, golongan muda dan berkeluarga dapat datang tanpa sekatan," terang Imran tentang konsert yang bakal diadakan pada 15 Julai ini di Hard Rock Kuala Lumpur bermula pukul 3 petang dengan harga tiket RM50.
Bakal bergabung dengan grup Thing One yang merupakan pemuzik-pemuzik untuk Najwa Mahiadin, Imran akan membawakan lagu-lagu popularnya dan beberapa lagu saduran untuk para peminat.
Selain bertemu mata dengan para peminat yang sudah lama tidak ditemui secara dekat, Imran juga mengambil peluang ini untuk mempromosikan lagu terbaharunya yang bertajuk Di Kalung Kasihan. Menariknya tentang lagu ini apabila ini merupakan kali pertama Imran menyanyi dan merakamkan lagu komposer lain dan pilihannya kali ini adalah Azlan Abu Hassan.
"Jujurnya, lagu dalam perpustakaan saya sudah habis dinyanyikan. Saya sebenarnya sangat teringin bekerja dengan Azlan dan ini merupakan mimpi jadi nyata. Kami merakamkan lagu ini akhir tahun lalu dan saya rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk keluar dengan sebuah single baharu," luah Imran yang bakal keluar dengan sebuah album studio penuh pada hujung tahun ini.
"Saya masih mengekalkan genre R&B tetapi daripada segi vokal sudah tidak menggunakan teknik falsetto. Sesuai yang ada kelainan dan segar daripada saya. Jujurnya saya berasa takut awalnya menyanyikan lagu orang dan tidak menerbitkan sendiri. Tetapi positifnya, saya dapat timba pelajaran baharu dan dapat mengawal ego saya dalam menyanyikan lagu gubahan orang lain," terang Imran yang merupakan Duta Bulan Bahasa di Singapura.
Di sebalik kesibukan menyiapkan album baharu, Imran bakal keluar dengan sebuah program televisyen yang bertajuk Imran Atau Bukan. Program bersiri ini bercerita bagaimana Imran dapat menurunkan berat badan daripada 140 kilogram hingga ke 100 kilogram dan inisiatifnya untuk berhenti merokok.
"Program bersiri ini dibuat bertujuan untuk memberikan motivasi kepada para penonton. Beberapa selebriti terkenal dijemput untuk berkongsi pengalaman dalam siri ini dan bercerita tentang diri serta pengalaman mereka," ujar Imran yang mengaku berasa rendah diri apabila berbadan besar satu ketika dahulu.
@kosmo.com.my
Cari tudung raya? Jom singgah butik kami!
@kosmo.com.my
Cari tudung raya? Jom singgah butik kami!
No comments:
Post a Comment