Monday, July 9, 2012

Ikrar cinta Azhar, Ella




KEADAAN rumah yang bergelap akibat gangguan bekalan elektrik selama dua jam bermula pukul 8 malam ternyata tidak mengganggu emosi kedua-dua mempelai, ratu rock negara, Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin, 46, untuk disatukan dengan belahan jiwanya, Azhar Husaini Ghazali, 31, di kediaman abangnya, Mohd. Noor Izam yang terletak di Jalan Gelama, Telok Gadong, Pelabuhan Klang, Selangor, malam Sabtu lalu.
Majlis yang dijadualkan bermula sekitar pukul 9 malam akhirnya terpaksa ditunda sehingga satu jam gara-gara situasi yang tidak diduga itu.
Namun, saat ditanya perasaan mempelai yang sama cantik sama padan itu, Azhar yang lebih senang menjawab segala pertanyaan pihak media berkata, dia menganggap ia sebagai satu situasi yang biasa akan berlaku bagi penggunaan elektrik yang melebihi biasa.
Malah, juruterbang syarikat penerbangan Firefly itu juga ada menyuarakan hasrat untuk menjalankan upacara pernikahan itu menggunakan nyalaan lilin tetapi benarlah kata pepatah, kalau sudah jodoh tidak ke mana kerana tepat pukul 10 malam, situasi tersebut berjaya diatasi.
"Saya bersyukur kerana majlis pertunangan dan pernikahan kami yang berlangsung serentak hari ini (kelmarin) berjalan lancar terutama apabila semua perkara positif ada pada hari ini," katanya pada sidang akhbar yang diadakan usai majlis pernikahan tersebut.
Pasangan tersebut ditunangkan kira-kira pukul 10 malam sebelum dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Telok Gadong, Baharuddin Abu Bakar pada pukul 10.35 malam. Noor Izam, 55, bertindak selaku wali bagi pernikahan tersebut.
Pada majlis yang diadakan cukup sederhana itu, Ella menerima mas kahwin berjumlah RM50,300 manakala wang hantaran dirahsiakan.
Rombongan lelaki membawa lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh pihak perempuan. Antara barangan hantaran termasuk set cincin jenama mewah Bvlgari, wangian, buah- buahan, telekung dan sejadah serta kek.

ELLA dan Azhar saling berikrar untuk menjaga satu sama lain dengan baik.


Dengan berlatarbelakangkan lagu-lagu popular Ella termasuk Layar Impian, penyanyi terkenal itu nampak anggun hasil solekan jurusolek profesional, Saidatulnisa yang juga merupakan kakaknya selain mengenakan pakaian pengantin berwarna putih direka khas pereka fesyen popular, Syaiful Baharim.
Dia yang terkenal dengan perwatakan manja itu juga sekali sekala melentok liukkan badannya selain dilihat manja mengusik suami yang setia menemani di sisi.
Pasangan pengantin baharu yang mempunyai jarak perbezaan umur 15 tahun itu juga dilihat tenang ketika diajukan dengan persoalan termasuk mengenai perancangan bilangan anak.
Bagi Azhar, mereka sedia untuk menimang cahaya mata seberapa ramai yang dikurniakan Allah dan akan berusaha untuk itu.
"Kami sudah beberapa kali cuba untuk ke arah ini (kahwin) dan Alhamdulillah, pertemuan kali ini sungguh matang dan dia akhirnya terima bila saya melamar di hadapan ibunya, Yang Asmah Long pada Februari lalu.
"Ella seorang yang sederhana, sikap luaran dan dalaman dia memikat hati saya selain cara dia mengambil berat pada saya membuatkan kami serasi dan untuk itu saya yakin dia jodoh terbaik untuk saya," ujarnya.
Saat ditanya tentang jurang usia 15 tahun antara mereka dengan Ella lebih berusia daripada Azhar, penyanyi itu memberitahu jarak usia itu normal baginya terutama selepas banyak persoalan yang ditanya mengenai bila dia akan menamatkan zaman solo, akhirnya dia bersyukur apabila Allah menemukan dia dengan Azhar.
"Hari ini (kelmarin), Ella sudah tunjuk siapa suami Ella," sambil dengan manja menambah: "Ini suami saya dan saya isterinya," katanya lagi.
Ella yang ditanya mengenai lamaran daripada insan bergelar lelaki yang pernah dikenali sepanjang kariernya, bagaimanapun enggan mengulas lanjut namun mengakui dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri saat dilamar Azhar.
ELLA dan Azhar berharap dapat menunaikan haji bersama.


Malah, dia juga mengakui perbezaan yang perlu dihadapi selepas pernikahan itu adalah untuk memberitahu ke mana sahaja dia pergi kepada suami tercinta dan kenyataan itu disokong oleh Azhar apabila dia mengakui tidak akan menghalang perjalanan karier seni isterinya asalkan dia tahu batas-batasnya sebagai seorang isteri.
"Mungkin ramai yang tidak tahu, kami sebenarnya serasi dan selari apabila saya juga meminati muzik," katanya sambil mengakui mengenali Ella baru menjadi peminatnya.
Pasangan suami isteri ini bagaimanapun masih mahu menyimpan sedikit hal peribadi dan tidak mahu berkongsi dengan semua peminat terutama tentang hal berbulan madu.
Malah, mereka juga mahu berahsia tentang perancangan kehidupan selepas berkahwin apabila tidak mahu menghebahkan lokasi penginapan selepas ini tetapi tidak menolak ia tentunya di kawasan Lembah Klang.
Saat diajukan mengenai majlis pernikahan yang dipercepatkan, Azhar yang dipanggil 'sayang' oleh isterinya mengakui ia dibawa ke hadapan kerana pernikahan itu sendiri tambahnya membolehkan mereka senang merancang kehidupan dan bebas untuk berjumpa.
Mengikut perancangan awal, majlis pada malam itu adalah untuk pertunangan kedua mereka namun jodoh yang kuat akhirnya menyatukan hati pasangan sejoli tersebut.
"Kami berdua sibuk dan saya fikir, tidak salah untuk mempercepatkan majlis pernikahan ini. Niat suci yang ditambah pula dengan keredaan ahli keluarga kedua-dua pihak, eloklah dipercepatkan," ujarnya.
Malah, Azhar yang hanya mengambil cuti beberapa hari sahaja untuk majlis pernikahan itu turut melafazkan ikrar untuk menjadi seorang suami yang baik, bertanggungjawab dan boleh menyelesaikan masalah dan bebanan yang ditanggung isterinya.
Ella yang nampak terharu dengan pengakuan ikhlas itu turut melahirkan ikrar yang sama untuk menjadi isteri yang baik dan taat serta cuba untuk membahagiakan dan menyayangi suaminya itu.
Dia yang sudah lama hidup membujang juga mengakui akan belajar untuk menghadapi kehidupan berumahtangga.
"Semua ini ketentuan Allah, dari Allah dan saya akan belajar dan menghadapinya bersama-sama suami," katanya manja.
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...