BARU-BARU ini pelakon dan pengacara popular Sharifah Shahira telah membuat pengakuan dalam sebuah laman portal, buat masa ini tugas menanggung keluarga terletak di bahunya, manakala suaminya yang juga seorang pelakon, Zulkifli Azhari atau Ijoy, 38, mengambil alih tugas menguruskan rumah tangga.
Menurut Shahira yang telah berkahwin dengan Ijoy selama sembilan tahun dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Airell, 8, Airra, 5 dan Auddra, 3, serta seorang anak hasil perkahwinan pertamanya dengan vokalis kumpulan Black Dog Bone, Jatt bernama Allisya, 14, situasi itu berlaku disebabkan suaminya itu kini kurang menerima tawaran lakonan.
Sebaliknya, buat Shahira yang menerima banyak tawaran lakonan dan pengacaraan. Bagaimanapun, pengakuannya itu tidak secara langsung membuka pekung rumah tangga dan mengundang pelbagai persepsi memandangkan kini semakin ramai suami mengambil alih tugas isteri dan isteri memikul tanggungjawab mencari nafkah.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Ijoy yang pernah berlakon alam filem Haru Biru dan Jogho berhubung isu suami mengurus rumah tangga.
Kosmo!: Baru-baru ini, Sharifah Shahira ada membuat kenyataan Ijoy menguruskan rumah tangga, manakala dia yang keluar bekerja. Komen Ijoy?
IJOY: Saya tidak ada sebarang masalah, bagi saya okey sahaja kerana memang hakikatnya kerjaya sebagai artis seperti kerja kontrak.
Selesa apabila isteri menanggung keluarga?
Sebelum ini, ketika saya dapat banyak tawaran kerja, isteri yang lebih banyak duduk di rumah, sebaliknya berlaku tahun ini isteri saya pula yang lebih banyak mendapat tawaran. Jadi, dia keluar bekerja dan saya ambil alih tugas mengurus rumah tangga, kami banyak bertolak ansur, sama-sama memikul tanggungjawab. Walaupun saya duduk di rumah, saya masih menjalankan tanggungjawab sebagai suami.
Apa reaksi anda apabila orang ramai memberi komen negatif terhadap isu suami menjadi suri rumah?
Alhamdulillah, saya tidak kisah kerana yang menghadapi situasi itu adalah saya dan isteri. Selagi, kami okey, rasanya tiada masalah.
Adakah anda memang tidak mendapat tawaran lakonan langsung?
Bukan tidak ada langsung, saya baru sahaja lepas menjalani penggambaran drama Senario Raya. Selain itu, saya juga menguruskan syarikat produksi sendiri M.A Pictures Sdn. Bhd. Saya pilih juga tawaran bukan ambil semua, lihat pada bajet yang ditawarkan.
Ijoy memilih tawaran kerana sibuk menjaga anak?
Saya pilih (tawaran) kerana kalau boleh tidak mahu berada di luar Kuala Lumpur dalam tempoh masa yang lama kerana saya menjaga anak, memang duduk di rumah bersama anak lebih seronok. Bukan itu sahaja, saya pilih disebabkan sepanjang berlakon semua watak telah saya bawakan, jika boleh dapat watak yang berbeza saya akan berlakon.
Pada usia 38 tahun, adakah Ijoy rasa tercabar dengan kehadiran ramai pelakon lelaki yang lebih muda?
Tidaklah, saya tidak pernah rasa tercabar kerana sedar zaman saya sudah berlalu. Bagi saya, alhamdulillah lebih bagus kerana industri seni kita ada ramai pelakon pelapis, tidaklah penonton asyik menonton pelakon yang sama sahaja.
Tidak kisah sudah tidak popular?
Rezeki di tangan Allah, saya tidak tahu mungkin esok lusa saya kembali sibuk, jadi selagi saya ada masa untuk bersama keluarga, saya akan gunakan sebaik mungkin. Bayangkan jika kami suami isteri sibuk, siapa pula yang akan memberi perhatian kepada anak-anak kami yang masih kecil. Saya tidak kata, saya akan duduk di rumah selama-lamanya kerana saya juga ada pekerjaan yang lain.
@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment