Sunday, June 10, 2012

'Saya rela bunuh diri'



NIRMALA pernah mengikuti perayaan terbesar komuniti mak nyah di Tamil nadu, India. - Gambar hiasan


BERGELAR mak nyah bukanlah perkara mudah bagi Nirmala. “Memiliki anak bersifat pondan ibarat dosa besar bagi sebuah keluarga India.
“Ini kerana keluarga berkenaan akan menjadi bahan cemuhan sanak saudara dan jiran tetangga,” ujar Nirmala yang ditemui di sebuah rumah ibadat khusus untuk golongan itu di Klang, Selangor.
Menoleh perjalanan hidupnya sejak 25 tahun lalu, Nirmala berasa dirinya bertuah kerana tidak pernah tergelincir ke dalam lurah pelacuran.
“Saya akui ada kawan mak nyah yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral itu demi mencari wang dengan cara yang mudah, tetapi sekarang boleh dikatakan bilangannya semakin berkurangan,” katanya yang sibuk menguruskan perniagaan menjual pakaian tradisional India di Klang sejak 15 tahun lalu.
Nirmala membesar di sebuah ladang getah di Kapar, Klang. Disebabkan kesusahan hidup keluarga dan sifat kurang mementingkan pelajaran, dia sekadar menamatkan persekolahan sehingga darjah enam.
Semasa ditemui Nirmala memakai sari merah bercorak emas manakala rambut panjangnya diikat kemas. Wanita berusia 50-an ini sememangnya likat dengan sifat kewanitaan sejak kecil lagi.
Berkahwin
Nirmala mengaku dia lebih gemar belajar memasak dan mengikat bunga untuk upacara sembahyang daripada bermain permainan kesukaan budak lelaki.
“Saya juga lebih selesa mengemas rumah walaupun sering ditegur keluarga yang tidak senang dengan kecenderungan saya itu,” cerita anak kelima daripada sembilan beradik itu.
Nirmala mula bekerja sejurus selepas memasuki alam remaja. Bermacam-macam kerja dilakukannya, daripada menjual bunga hinggalah menjadi tukang masak untuk pelbagai acara seperti majlis hari jadi dan perayaan di kuil.
Bagaimanapun, Nirmala mengakui bukan mudah untuk golongan mak nyah mencari pekerjaan.
“Kami turun naik pejabat, menebalkan muka bertanyakan kerja kosong kepada tuan kedai dan merayau daripada sebuah kilang ke sebuah kilang yang lain. Malangnya, kami bukan sahaja tidak diberikan kerja malah kadangkala dihalau kerana penampilan kami.
“Sejak itu saya sedar realiti kehidupan mak nyah seperti telah ditakdirkan begitu. Mungkin ramai beranggapan kami pernah terlibat dalam maksiat lorong hitam walaupun hakikatnya adalah sebaliknya,” ujar Nirmala yang selepas itu memulakan perniagaan menjual bunga menggunakan sedikit wang simpanannya.
Nirmala enggan menceritakan tentang pembedahan jantina yang dilakukannya. Bagaimanapun sebagai wanita, naluri terhadap lelaki dan impian untuk berkahwin dengan jejaka idaman tersimpan kejap di hatinya.
“Hubungan kami bermula sebagai kawan biasa tetapi lama-kelamaan kami tidak sedar rupa-rupanya cinta sudah berputik,” Nirmala bercerita mengenai Mukesh, lelaki yang kini menjadi suaminya.
Menurut Nirmala, Mukesh mengetahui tentang jantina dirinya sejak awal lagi tetapi bersedia untuk mengahwininya atas nama cinta.
“Kami menjangkakan tentangan hebat daripada keluarga apatah lagi mustahil bagi saya melahirkan anak walaupun sudah melakukan pembedahan jantina, namun yang mengejutkan kedua-dua keluarga dapat menerima kami dengan dada terbuka.
“Perkahwinan itu kemudian diadakan secara ringkas di sebuah kuil,” katanya.
Nirmala dan Mukesh telah 25 tahun berkahwin. Mereka turut mengambil tiga orang anak angkat, dua lelaki dan seorang perempuan. Kesemua anak itu yang dipelihara Nirmala sejak usia bayi kini masing-masing berumur 20, 18 dan 12 tahun.
MAK NYAH ini berkahwin dengan seorang lelaki sejak 25 tahun lalu.


Perayaan
“Saya menjaga mereka seperti menatang minyak yang penuh. Mereka tidak pernah tahu ibu mereka sebenarnya seorang mak nyah.
“Sungguh, saya juga tidak mahu mereka tahu perkara itu. Saya tidak dapat bayangkan betapa terkejutnya mereka nanti, lebih-lebih lagi jika mereka menjadi bahan ejekan dan jenaka kerana beribukan orang seperti saya.
“Rasanya saya lebih rela bunuh diri daripada menghadapi situasi itu,” kata Nirmala.
Nirmala pernah menyertai perayaan golongan mak nyah atau dipanggil hijra di negeri Tamil Nadu dan Gujerat, India yang jatuh pada bulan April atau bulan Sitthirai mengikut kalendar Tamil.
Perayaan selama 18 hari itu menyaksikan golongan mak nyah akan berkahwin dan menjadi ‘isteri’ selama sehari untuk pahlawan bernama ‘Aravaan’ yang dipuja sebagai dewa oleh komuniti itu di India.
“Kemudian, thali atau rantai leher dan gelang tangan akan ditanggalkan daripada pengantin wanita sebagai tanda kematian pahlawan itu. Kami akan berkabung dengan menangis sekuat-kuatnya pada kemuncak sambutan pada hari ke-18 itu sebelum menyarung sari putih sebagai tanda menjadi balu.
“Ia dianggap golongan hijra sebagai karma untuk dapat lahir sebagai manusia normal pada kelahiran akan datang,” kata beliau.
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...