Thursday, June 7, 2012

Anzalna mula mengorak langkah




SEBAGAI pendatang baharu dalam dunia lakonan tempatan, tidak sukar buat pelakon Anzalna Nasir untuk menerima banyak tawaran lakonan. Apatah lagi dengan memiliki raut wajah yang jelita, pastinya dia mampu menjadi rebutan penerbit atau pengarah untuk memegang peranan utama dalam sesebuah drama.
Bagaimanapun, pelakon tersebut seakan-akan tenggelam dan kerap kali dibayangi rakan seangkatan yang lain dalam bidang seni seperti Neelofa dan Izara Aishah. Bermula pada tahun ini, barulah kehadiran pelakon itu mula disedari ramai.
Mengakui namanya agak kurang dikenali sebelum ini, Anzalna menafikan ia berlaku kerana dibayangi kedua-dua orang rakannya itu yang terlebih dahulu dikenali ramai. Sebaliknya, ia berpunca daripada watak yang selalu dibawanya dalam beberapa drama lakonannya sebelum ini.
"Saya akui selama ini saya jarang mengambil tawaran berlakon yang memerlukan saya membawakan watak utama, biarpun tawaran sebegitu memang banyak saya terima. Ketika awal kemunculan saya dahulu dalam bidang ini, saya lebih gemar membawakan watak pembantu atau antagonis.
"Mungkin itu yang menyebabkan penglibatan saya dalam dunia lakonan kurang disedari ramai. Namun, dengan segala pengalaman yang diperoleh sepanjang hampir setahun bergelar pelakon, kini saya sudah bersedia sekiranya ditawarkan memegang watak utama," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Indera Joned baru-baru ini.
Ketika ditanya apa yang menyebabkan dia bersedia untuk memegang watak utama, pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur itu menjelaskan kini dia sudah mempunyai keyakinan yang cukup tinggi berbanding ketika mula-mula bergelar pelakon dahulu.
Ujarnya, sebelum ini dia tidak mempunyai tahap keyakinan yang cukup tinggi dan pengalaman yang cukup luas untuk menerima tawaran memegang watak utama serta tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak terutama sekali penerbit atau pengarah.
"Saya percaya tanpa adanya keyakinan pasti saya tidak mampu untuk memberikan yang terbaik. Jadi, langkah paling tepat yang saya lakukan adalah dengan menerima watak pembantu sahaja terlebih dahulu bagi menimba seberapa banyak pengalaman dalam bidang ini.
"Berbekalkan pengalaman yang diperoleh sepanjang bergelar pelakon selama hampir setahun, kini saya mula mendapat keyakinan dan sudah tiba masanya untuk berhadapan dengan cabaran yang lebih besar lagi agar kerjaya lakonan saya semakin berkembang," ujarnya.
Sebagai langkah permulaan, pelakon berkenaan berkata dia bersetuju menerima tawaran untuk memegang watak utama dalam drama bersiri Indera Joned yang sudah mula bersiaran sejak 21 Mei lalu pada pukul 9 malam setiap hari Isnin di TV3.
DRAMA bersiri Indera Joned merupakan drama sulung lakonan Anzalna sebagai peneraju utama. Dia membawa watak sebagai Dr. Sara.


Menurut Anzalna, dalam drama tersebut dia memegang watak utama sebagai Dr. Sara, seorang pensyarah yang sering melakukan kajian terhadap artifak lama dan mengakui watak yang dibawakan itu agak berbeza dengan drama lakonannya sebelum ini.
"Pada mulanya saya agak berbelah bahagi sama ada mahu menerima atau menolak tawaran untuk berlakon dalam drama ini, tetapi apabila difikirkan kembali sampai bila saya perlu tolak setiap tawaran yang menawarkan saya memegang watak utama.
"Bagaimanapun, saya tetap bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan oleh pengarah, Fairuz Loy untuk membawakan peranan sebagai Dr. Sara. Sekarang ini perasaan saya memang cukup berdebar untuk menunggu reaksi daripada penonton terhadap drama ini," ujarnya.
Selain Anzalna, drama pengembaraan 'Indiana Jones' versi komedi itu menampilkan pelakon-pelakon seperti Aiman Hakim Redza (Epul), Puteri Sarah (Rina), Hairul Azreen (Aiman), Syazwan Zulkifli (Izzi), Qushairi Razali (Jaafar Ringgo) dan Idris Md. Diah (Prof. Dr. Azli).
Drama bersiri 13 episod terbitan Grand Brilliance itu mengisahkan tentang Epul yang mendapat kuasa aneh apabila terjumpa gelang kepunyaan Indera Joned, seorang legenda yang cukup terkenal kerana mempertahankan harta berharga daripada dirampas oleh Bintara Hitam dan rakan-rakannya.
Tayang kekasih
Ketika ini pastinya sudah ramai peminat yang tahu bahawa hati Anzalna kini sudah menjadi milik seorang jejaka yang dikenali sebagai Mohamad Hanif Mohamad Zaki. Hampir setahun bercinta, pelakon berkenaan mengakui sedang melalui fasa bahagia bersama kekasihnya.
Namun begitu, tindakannya yang gemar menayangkan kekasihnya sama ada melalui laman sosial Twitter miliknya, tampil bersama dalam majlis-majlis tertentu dan terbaharu menerusi majalah Mangga edisi Mac lalu ternyata telah menimbulkan persepsi negatif segelintir pihak.
"Apa salahnya kalau saya bertindak menayangkan kekasih kepada khalayak, sekurang-kurangnya saya tidak perlu berselindung atau menyembunyikan status diri. Lagipun apa yang saya lakukan ini tidak menyakiti hati mana-mana pihak.

BARISAN pelakon drama bersiri Indera Joned (dari kiri) Hairul Azreen, Anzalna, Aiman Hakim, Syazwan Zulkifli, Puteri Sarah dan Qi Razali.


"Sejujurnya, saya bukan individu yang memiliki ramai kawan dan Hanif juga merupakan teman saya yang paling rapat. Jadi, dia yang kerap berada di sisi saya ke mana-mana sahaja termasuk menemani saya apabila diundang ke sesebuah majlis," jelasnya.
Tegas pelakon yang semakin dikenali ramai menerusi drama Mahabbah itu lagi, perkara mengenai menayang kekasih sewajarnya tidak menjadi isu yang terlalu besar, asalkan dia dan kekasihnya tidak membuat sebarang kesalahan atau melanggar batas.
"Tidak semestinya setiap masa dia perlu bersama saya kerana kalau ada masa terluang saya juga akan berkumpul bersama ahli keluarga," ujarnya lagi.
Biarpun kekasihnya itu masih berasa selesa menjalinkan hubungan cinta dengan artis seperti dirinya, tetapi Anzalna memberitahu kekasihnya tetap risau apabila ada cakap-cakap belakang yang mengatakan dia sekadar mahu menumpang populariti apabila bercinta dengan seorang pelakon.
"Mengenai perancangan untuk mendirikan rumah tangga pula, kami belum pernah berbincang hal itu. Saya memang meletakkan sasaran untuk berkahwin pada usia 26 tahun, namun itu semua bergantung kepada keadaan dan Hanif sendiri pun tidak kisah," jelasnya.
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...