PANTAI tropika di bumi Eropah. Bunyinya agak pelik, namun itulah yang ditawarkan tatkala berkunjung ke Tropical Island Resort (TIR) yang terletak di Brandenburg, Jerman di sini.
Dibina di dalam bangunan kubah separa bulat yang dahulunya merupakan tempat penyimpanan kapal terbang, TIR mula beroperasi pada tahun 2004.
Sebaik dibuka, ia diiktiraf sebagai taman tema air yang terbesar di dunia. Dengan keluasan keseluruhan 66,000 meter persegi atau bersamaan saiz lapan padang bola sepak, TIR menjadi tumpuan pengunjung yang mahu merasai suasana percutian berlatarbelakangkan iklim tropika.
Keunikan resort itu pastinya terletak pada taman tema air yang menggabungkan keindahan pantai tropika, pasir yang memutih dan air terjun yang mengalir ke lagun.
Umpama berada di pantai sebenar, pengunjung pasti terpesona tatkala berada Tropikal Sea yang dikelilingi pokok-pokok palma.
Sambil bermandi-manda di pantai yang mempunyai suhu air sekitar 28 darjah Celsius, pengunjung boleh bersantai sambil menikmati cahaya matahari atau menguji kemahiran membina istana pasir.
Sementara itu, bagi yang mahu menikmati suasana santai dan menenangkan, Bali Lagoon mungkin adalah jawapannya. Terletak di kawasan seluas 1,200 meter persegi, ia menawarkan gaya percutian Bali lengkap dengan air terjun buatan dan aktiviti penjelajahan dalam hutan.
Kunjungan ke resort itu bagaikan tidak sah sekiranya tidak mencuba keseronokan papan gelongsor air setinggi 27 meter. Pengunjung boleh menggelongsor dari empat tahap berbeza, daripada meluncur santai bersama keluarga hinggalah kepada meluncur pada kelajuan tinggi sehingga 70 kilometer sejam.
Satu lagi tarikan yang terdapat di resort ini ialah kehijauan hutan hujan tropika yang terdapat di bahagian Rainforest. Dengan lebih 600 spesies pokok dan bunga-bungaan tidak hairanlah ia diiktiraf sebagai hutan hujan tropika tertutup yang terbesar di dunia.
Flora dan fauna
Lakukan penerokaan di laluan sepanjang hampir satu kilometer sambil menghayati kepelbagaian spesies flora dan fauna yang lazim ditemui di sekitar rantau Asia Tenggara dan Amerika Selatan.
Jika bernasib baik, pengunjung boleh menjumpai spesies serangga seperti lipas Surinam atau burung kuang raya emas yang jinak dan hidup bebas di dalamnya.
Bagi pengunjung yang ingin mempelajari budaya masyarakat Asia dengan lebih dekat, bolehlah berkunjung ke Tropical Village.
Mengetengahkan beberapa bangunan tradisional seperti Bali Pavilion, Borneo Longhouse, Samoa Fale dan Thai House, pengunjung pasti terpukau dengan keunikan rekaan dan hiasan dalaman yang mengagumkan.
Di samping itu, ambil masa untuk ke Wayang Stage. Saksikanlah pelbagai persembahan kebudayaan, hiburan, dan lawak jenaka yang pastinya mencuit hati.
Tropical Village juga merupakan lokasi ideal untuk menjamu selera di resort berkenaan. Terdapat beberapa restoran dan kafe menghidangkan aneka hidangan dan snek. Daripada beger sehinggalah barbeku, pengunjung pastinya kekenyangan tatkala menikmati hidangan enak dan lazat yang ditawarkan.
Sepanjang berada di situ, pengunjung juga boleh mencuba pengalaman menaiki belon udara panas. Saksikanlah panorama 360 darjah pada ketinggian 60 meter di udara sambil merakamkan detik-detik itu melalui lensa kamera.
Lebih daripada itu, TIR turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung. Antaranya, kelab kecergasan, golf miniatur tertutup, kelab kanak-kanak dan sauna di dalam suasana hutan tropika yang mendamaikan.
Pengunjung juga boleh membeli-belah di Tropical Islands Shopping Boulevard yang penuh berwarna-warni. Di situ, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai barangan kraftangan dari seluruh dunia, pemanis mulut, cenderamata serta barangan asas seperti selipar, baju T, buku dan surat khabar.
Bagi yang mahu menginap dan merasai pengalaman bermalam di resort itu, terdapat beberapa khemah yang disediakan di Rainforest dan Tropical Islands Lodges serta tapak perkhemahan berhampiran kubah utama.
Pihak resort juga menyediakan pakej penginapan di apartmen dan hotel-hotel berhampiran kepada pengunjung.
@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment