Monday, April 16, 2012

Pewaris legasi songket Terengganu



NORIAH akan lebih sibuk daripada biasa menjelang upacara rasmi di istana.


TUMPUAN mata Noriah Ashari seakan-akan enggan berganjak daripada televisyen skrin panel rata sambil mulut mungilnya tidak putus-putus memuji keindahan pelbagai rekaan busana yang dikenakan para permaisuri, kerabat diraja dan orang kenamaan yang hadir pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara, Rabu lalu.
“Afzan, cuba tengok pakaian anakanda puteri Agong, Tengku Soraya dan suaminya itu.
“Baginda puteri menempah songket ungu tersebut di sini.
“Songket coklat yang dikenakan Toh Puan Bendahara Kedah itu juga sama. Ia hasil tenunan Atikah’s Songket.
“Baju songket yang dipakai isteri Tuan Yang Terutama Sabah juga ditempah di sini,” ujar Noriah, 49, penuh teruja.
Perasaan yang menjentik jiwa usahawanita lepasan Diploma Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini bukanlah refleksi bangga kerana hasil tenunan Atikah’s Songket, jenama yang diwarisi daripada arwah ibunya Atikah Mohd. menjadi pilihan kerabat diraja ataupun golongan bangsawan.
Sebaliknya, keterujaan itu menterjemahkan rasa syukur kerana beliau masih berupaya mempertahankan legasi perniagaan Atikah’s Songket.
Dalam pertemuan bersama Noriah di butik Atikah’s Songket di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini, penyambung warisan songket Terengganu ini mengakui, songket memberikan pengaruh yang sangat besar dalam hidupnya.
“Songket sudah sebati dalam hidup saya, mungkin kerana sejak kecil saya melihat ibu menenun dan sering menemaninya menjual songket.
“Pelanggan ibu pula bermacam-macam, daripada kerabat diraja, pembesar negara, agensi kerajaan, syarikat korporat hinggalah rakyat biasa.
“Kegigihan ibu itulah yang menjadi pencetus semangat untuk kami menyambung dan melebarkan sayap perniagaan yang ditinggalkannya,” ujar anak bongsu daripada lima beradik itu.
Kini, perniagaan Atikah’s Songket semakin berkembang. Dari sebuah kedai di bangunan Mara di Kuala Terengganu, kini ia sudah mempunyai beberapa cawangan, baik di Terengganu mahupun di Kuala Lumpur.
Noriah dan tiga lagi adik-beradiknya menjadi penyambung legasi warisan perniagaan songket Atikah manakala seorang abangnya mengikut jejak bapa mereka sebagai perunding hartanah.
Beliau sendiri sudah hampir 20 tahun berniaga songket di Kuala Lumpur atas jenama Atikah’s Songket.
“Jenama Atikah ada di Terengganu dan Kuala Lumpur. Ia adalah kesinambungan daripada perniagaan arwah ibu. Kami mengekalkan nama yang sama tetapi pemilikan perniagaan adalah milik individu.
“Pada mulanya saya berniaga songket dari rumah sahaja. Selepas 10 tahun, Alhamdulillah, perniagaan semakin maju.
“Sebagai peniaga, saya mahu mempelbagaikan fungsi songket. Selain dijadikan pakaian, saya olah tenunan ini kepada hiasan dinding dan sarung kusyen eksklusif, cenderamata dan material untuk menghasilkan aksesori wanita,” katanya yang sering berkongsi pendapat tentang pemasaran dan pengurusan bersama suaminya, Ku Yahya Kamardin Ku Ahmad, 60-an.
Pertabalan

TUANKU Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah semasa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-14 baru-baru ini. Golongan diraja sinonim dengan fabrik songket di negara ini.


Tidak hairanlah, selepas dua dekad menjadi ahli songket, jadual ibu kepada tiga anak ini sentiasa padat terutamanya beberapa bulan menjelangnya upacara rasmi di istana seperti istiadat pertabalan, ulang tahun kelahiran sultan dan penganugerahan darjah kebesaran.
Butiknya pasti menjadi tumpuan orang istana dan orang kenamaan yang mahu menempah songket untuk dijadikan busana istimewa pada hari tersebut.
Bukan sekadar itu, beberapa bulan sebelum cuti sekolah bermula, ibu kepada tiga anak ini juga tidak menang tangan menguruskan tempahan bakal mempelai yang ingin mengenakan songket pada hari bersejarah mereka.
Setiap bulan, Noriah perlu pulang ke Kuala Terengganu untuk berjumpa dengan penenun terutamanya apabila mendapat tempahan songket yang memerlukan rekaan eksklusif yang biasanya lebih rumit.
“Tenunan songket yang berkualiti memerlukan masa agak lama untuk dihasilkan.
“Lebih rumit rekaan, lebih panjang masa yang diambil apatah lagi jika rekaan itu memerlukan pengunaan pelbagai warna benang.
“Biasanya, untuk corak tradisional seperti bunga pecah lapan, tampuk manggis, tompok bersema dan kuda laut, ia lebih mudah disiapkan lebih-lebih lagi jika hanya satu atau dua warna yang digunakan.
“Sebagai contoh, sepasang kain untuk lelaki dan wanita memerlukan masa minimum empat bulan untuk disiapkan.
Penyongket
“Untuk kain samping pula, penenun memerlukan masa lebih kurang sebulan untuk menghasilkannya bergantung kepada corak dan warna.
“Tetapi bila ada pelanggan mahukan corak kontemporari seperti corak berpokok yang melibatkan banyak corak dan warna, saya perlu pulang sendiri ke Kuala Terengganu dan berbincang dengan penenun.
“Ini kerana tidak semua penenun tahu menyongket dan tidak semua penyongket tahu menenun,” kata Noriah yang memberitahu, hanya beberapa kampung di Kuala Terengganu yang mengusahakan tenunan songket.
Merungkai kekusutan penulis, beliau menjelaskan, penyongket adalah orang yang mencipta rekaan songket manakala penenun adalah orang yang menenun benang sutera atau benang kapas sehingga menjadi fabrik songket.
Bagaimanapun, Noriah yang juga pemenang Anugerah Jarum Berlian pada tahun 2003 optimis dengan kemampuan dirinya dan 30 penenun yang setia sejak bersama ibunya lagi.
“Saya yakin dengan kualiti tenunan pekerja saya. Masing-masing mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang tenunan.
“Ada yang mahir menyongket dan ada juga yang mahir menenun sahaja. Tetapi ada juga yang mahir kedua-keduanya.
“Seperti saya, mereka juga mewarisi bakat dan kemahiran ini daripada generasi terdahulu.
“Sungguhpun saya lahir sebagai generasi kelima dalam keluarga penenun, sebenarnya saya sendiri tidak mahir menenun. Kalau tenun songket yang gunakan satu dua warna, itu mungkin boleh,” akuinya sambil ketawa kecil.
Yakin dengan potensi songket, Noriah enggan warisan yang dipertahankan sejak lima generasi ini berkubur begitu sahaja.
“Syukur, anak sulung saya, Ku Nor Azrina, 23, menunjukkan minat untuk mendalami industri dan potensi songket. Malah dia kini sedang melanjutkan pengajian di Institut Kraf Negara dalam bidang tenunan.
“Anak kedua pula, Ku Nor Nadia, 22, graduan jurusan pentadbiran perniagaan kini membantu saya menguruskan perniagaan di butik,” katanya yang juga Timbalan Presiden II, Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati).

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...