Sunday, April 29, 2012

Pembangkang tidak dihalang berhimpun asalkan tidak gugat keamanan


najib
$entry.content.caption.value
KUCHING - Kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak, termasuk pembangkang untuk mengadakan perhimpunan asalkan ia diadakan dalam keadaan aman dan di tempat yang sesuai.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata beliau tidak mahu sebarang perhimpunan dibuat sehingga menimbulkan keadaan huru-hara di negara ini.

"Kita beritahu kepada mereka, kalau nak berhimpun, kita bagi Stadium Bukit Jalil, kita sanggup beri Stadium Merdeka pun (sebagai lokasi perhimpunan). Tapi jangan menyusahkan rakyat dan mencemar imej negara kita," katanya semasa berucap merasmikan "Program Jelajah Janji Ditepati" di sini.

Beliau merujuk kepada perhimpunan yang didalangi pihak pembangkang sebagai cubaan mereka untuk menunjuk perasaan berikutan dakwaan kononnya pilihan raya di negara ini tidak bersih dan tidak adil.

Menurutnya pembangkang tidak dibenarkan membuat perhimpunan itu di Dataran Merdeka kerana ia merupakan simbol kemerdekaan negara dan tidak sesuai digunakan untuk berdemonstrasi.

Najib berkata pembangkang tidak harus terus mencalar imej negara melalui tindakan liar mereka untuk berdemonstrasi kerana kejayaan Malaysia selama ini merupakan hasil jerih payah rakyat.

"Kita telah membina negara ini. Kita telah berkorban membawa negara Malaysia kepada keadaan hari ini. Dan kita mesti pertahankannya di samping kita membenarkan hak asasi mereka untuk berhimpun," katanya.

Beliau turut mempersoal tindakan pembangkang yang mengecam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai tidak adil sedangkan sistem pilihan raya yang ada sekarang telah membolehkan mereka menang di lima negeri dan beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

"Bila mereka menang lima buah negeri dulu tak menyoal SPR. Bila mereka menang di (pilihan raya kecil) Sibu, mereka tak menyalahkan SPR. Tapi tiba-tiba sekarang ini SPR pula dikecam. Seolah-olah pilihan raya di Malaysia ini kotor, tak adil. Kalau tak bersih, tak adil tunjuk buktinya," katanya.

Katanya kemenangan yang dicapai Barisan Nasional (BN) selama ini bukanlah melalui penipuan tetapi diperoleh selepas rakyat yakin dengan kebolehan mereka untuk memimpin negara.

"Kita tak mahu dipilih atas penipuan. Kita adalah kerajaan yang dipilih atas kehendak rakyat. Majoriti rakyat pilih kita kerana mereka tahu kerajaan kita BN lebih baik daripada mereka. Sebab itu mereka memilih kita," katanya.

Katanya kerajaan BN telah menetapkan agenda untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi dengan mendahulukan rakyat, di samping memupuk perpaduan dengan berpegang kepada prinsip 1Malaysia.

"Kita ada agenda yang jelas untuk negara kita. Mereka (pembangkang) tidak ada agenda. Mereka cuma ada tindakan yang destruktif tetapi kita ada tindakan yang kreatif dan konstruktif," katanya. - Bernama
@sinarharian.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...