BERIKUT adalah kronologi suasana menjelang Perhimpunan 'Duduk Bantah' Bersih 3.0 yang diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu.
11.50 pagi: Sejumlah besar penyokong Bersih kembali duduk di tengah-tengah persimpangan Jalan Hang Lekiu dan Jalan Tun Perak dengan bersorak 'Reformasi', 'Duduk', 'Bantah', 'Hidup Rakyat' dan 'Hancur BN'.
11.40 pagi: Ratusan penyokong Bersih dari arah Dataran Merdeka berarak di Jalan Tun Perak menghala ke arah Menara Maybank sambil melaungkan 'Reformasi' dan 'Hidup Rakyat'.
Kesemuanya kemudia duduk dan meneruskan sorakan di tengah-tengah persimpangan Jalan Hang Lekiu dan Jalan Tun Perak.
Selepas itu, masing-masing berdiri menyanyikan lagu 'Negaraku'.
11.36 pagi: Kumpulan yang berkumpul di Little India diedarkan notis kecil 'Jika anda ditahan, sila SMS:(1) Nama Penuh (2)No Kad Pengenalan (3) Balai Polis kepada 0133845740.
11.34 pagi: Penyokong Bersih di Little India bersorak 'Hidup Rakyat, Selamatkan Malaysia'. Kumpulan berkenaan diketuai Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Xavier A. Jeyakumar.
11.30 pagi: Para penyokong Bersih duduk di atas Jalan Tun Perak, beramai-ramai sambil bersorak 'Reformasi' dan 'Allahuakbar' serta 'Hidup Bersih', Hidup Rakyat, Duduk Bantah'.
11.20 pagi: Kelihat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang yang juga Speaker Selangor, Datuk Teng Chan Kim mengetuai satu kumpulan penyokong Bersih yang melaungkan sorakan 'Bersih' di hadapan stesen LRT Masjid Jamek.
11.19 pagi: Di Air Pancuran Little India, Brickfields, kira-kira 100 penyokong Bersih mula berkumpul. Mereka dijangka bergerak ke Dataran Merdeka pada pukul 12 tengah hari. Kumpulan itu memakai kemeja-T Bersih.
11.00 pagi: Pemangku Presiden Makkal Sakti, V. Vathemurty yang mengetuai kumpulan penyokong Bersih di Air Pancuran Little India, Brifields berkata, mereka akan mula berarak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Travers atau Jalan Tun Sambathan.
Katanya, mereka akan berarak dalam suasana aman.
10.55 pagi: Kumpulan yang berkumpul di kawasan Brickfields mula bersorak 'Hidup!Hidup! Bersih! Bersih!.
10.50 pagi: Kira-kira 20 penyokong Bersih mula berkumpul di kawasan Air Pancuran Little India. Mereka mula memasang kain rentang 'Duduk Bantah Dataran Merdeka'.
Anggota polis yang mengawal di kawasan sekitar tidak mengambil apa-apa tindakan.
10.35 pagi: Mat Sabu tiba di Masjid Negara. Semua penyokong duduk seperti slogan 'Duduk dan Bantah'.
Mereka turut menyanyikan lagu tanggal 31 Merdeka tetapi menukar kepada tangga 28 April.
10.32 pagi: Pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga melalui Jalan Sultan Hishammuddin menuju ke KTM. Ambiga bertopi dan berkaca mata hitam.
10.30 pagi: Unit Amal PAS yang berkumpul di Masjid Negara mula memberikan taklimat kepada penyokong.
Mereka memakai pakaian seragam berwarna merah. Taklimat menarik perhatian penyokong.
10.25 pagi: Buat pertama kalinya, penyokong Bersih di Masjid Negara melaungkan Allahuakbar di Masjid Negara. Laungan berikutan sekumpulan penyokong beratur memakai kemeja-T Bersih.
10.20 pagi: Lebih 30 anggota polis berjalan menghala ke arah Dataran Merdeka dan kehadiran mereka mendapat tepukan gemuruh daripada para penyokong Bersih.
Jumlah penyokong Bersih 3.0 di kawasan sekitar stesen LRT Masjid Jamek dan sepanjang Tun Perak kini lebih 1,000 orang.
10.15 pagi: Suasana di KTM lengang. Mereka yang menaiki komuter terus bergerak ke Masjid Negara.
10.10 pagi: Penyokong Bersih membawa sepanduk 'EC Resign Now' (Suruhanjaya Pilihan Raya Bersara Sekarang) yang turut tertera kenyataan 'From the concerned people-the rakyat' (daripada Rakyat yang prihatin), dari stesen LRT Masjid Jamek menghala ke Dataran Merdeka.
Ada segelintir penyokong melaungkan 'Reformasi' ketika berarak membawa sepanduk.
9.45 pagi: Beratus-ratus penyokong Bersih memenuhi kawasan sekitar stesen LRT Masjid Jamek.
Turut kelihatan sejumlah kecil penyokong Himpunan Hijau di sini. Sebahagian mereka berkumpul di bahu jalan.
Tiga restoran termasuk dua restoran makanan segera dan dua kedai serbaneka 24 jam beroperasi di Jalan Tun Perak berhampiran stesen LRT Masjid Jamek walaupun sepanjang jalan kedua-dua arah dipenuhi ratusan penyokong Bersih.
9.41 pagi: Suasana sekitar Jalan Brickfields berhampiran kolam air pancuran masih lengang. Kelihatan beberapa kenderaan polis bersama sekumpulan anggota mula mengawasi kawasan sekitar.
9.30 pagi: Penyokong Bersih semakin ramai berkumpul di Masjid Negara. Petugas media turut membanjiri kawasan itu.
Helikopter berlegar-legar memantau keadaan.
9.15 pagi: Kelihatan sekumpulan penyokong Bersih membeli token LRT di stesen KL Sentral untuk ke beberapa stesen seperti Masjid Jamek, Pasar Seni di mana kolasi penyokong Bersih berkumpul.
9.10 pagi: Tiga trak polis tiba di Jalan Tun Perak berhampiran stesen LRT Masjid Jamek.
Lebih 30 anggota polis membuat persiapan mengawal keadaan di sini.
Kira-kira 25 anggota polis yang lain berada di persimpangan Jalan Tun Perak dan Leboh Ampang, mengenakan sekatan bagi laluan menghalang ke Dataran Merdeka.
9.06 pagi: Sekumpulan kecil penyokong tiba di Pasar Seni dengan membawa bersama dram dan tamborin.
9.05 pagi: Penyokong Himpunan Hijau mula berkumpul di laluan masuk ke KLCC, Jalan Ampang.
9.00 pagi: Lebih 200 penyokong Bersih mula membanjiri luar perkarangan Stesen LRT Masjid Jamek dan kawasan sekitar.
Sebahagian mereka mamakai baju kemeja-T berwarna kuning dengan lambang Bersih 3.0.
Ada di antara mereka turut memakai bandana, topi dan tudung serta gelang tangan berwarna kuning.
Lebih 10 polis bantuan mengawal keadaan dan keselamatan di Stesen LRT Masjid Jamek.
Bagaimanapun, keadaan di sini masih aman.
Beberapa anggota polis dan polis trafik turut mengawal keadaan trafik di hadapan stesen LRT.
Jalan menghala ke Dataran Merdeka ditutup.
9.00 pagi: Suasana di Masjid Negara tenang sejak pukul 8 pagi tadi. Kebanyakan penyokong dan orang awam menghabiskan masa dengan membaca surat khabar dan tak kurang juga yang tidur di hadapan masjid.
8.45 pagi: Masih tidak kelihatan penyokong Bersih di sekitar bangunan KL Sentral. Orang awam kelihatan sibuk dengan aktiviti masing-masing.
8.15 pagi: Suasana di KL Sentral mula sibuk dengan kehadiran orang awam. Tiada penyokong Bersih kelihatan di sekitar bangunan KL Sentral.
@mstar.com.my
No comments:
Post a Comment