KEMATIAN suami tercinta pastinya meninggalkan kesan duka yang cukup mendalam buat para isteri apatah lagi jika lelaki yang selama ini menjadi tempat bermanja dan bergantung hidup pergi dalam keadaan mengejut.
Keadaan ini mungkin berlaku kepada jutaan wanita, namun tidak semua balu kuat untuk berdepan dengan hakikat bahawa suami mereka sudah meninggal dunia.
Bagi seorang wanita di Tennessee, Amerika Syarikat (AS) yang mahu dikenali sebagai Cassie, 27, berita kematian suaminya, Shawn, 29, akibat serangan mengejut asma akhir tahun lalu seakan menghentikan putaran hidupnya.
“Saya amat mencintai suami saya. Kami mula berjumpa pada tahun 2008. Selepas berkenalan selama beberapa bulan, Shawn melamar saya dan kami berkahwin pada tahun 2009.
“Hidup kami sangat bahagia. Shawn penyayang, lembut, bertanggungjawab dan tidak pernah mengungkit kekurangan yang saya miliki. Dia adalah lelaki terhebat yang pernah saya kenali.
“Sayangnya, hayat Shawn tidak lama. Dia meninggal dunia selepas bergelut dengan serangan asma kronik. Saya tidak mampu membayangkan kesakitan yang terpaksa ditanggungnya.
“Serangan itu datang tanpa sebarang amaran dan membawa rohnya pergi dalam sekelip mata. Ketika itu, saya berasa lebih separuh daripada jiwa saya melayang. Hidup saya kosong dan bosan,” ujar Casie yang muncul dalam bahagian akhir program realiti televisyen, My Strange Addiction.
Lantaran kerinduan yang mendalam, sebaik sahaja mayat suaminya sempurna dibakar, Casie mula membawa bekas abu mayat suaminya ke mana-mana sahaja.
“Saya mahu Shawn sentiasa ada bersama saya. Setiap hari, saya masih menjalankan rutin seperti mana ketika dia masih hidup.
“‘Kami’ pergi menonton wayang, membeli-belah, berjalan di taman dan berehat bersama-sama. Saya juga masih memasak makanan kegemaran Shawn,” katanya.
Telur busuk
Dalam asyik mengelek bekas abu mayat suaminya ke mana-mana, berlaku satu peristiwa yang bukan sahaja mengubah pola diet Casie malah menjadikan wanita ini ketagihan teruk.
“Saya ‘makan’ suami saya.
“Ramai yang ketawa apabila saya berkata begitu, tetapi memang itulah hakikatnya. Saya makan abu mayat suami saya,” kata Casie.
Tabiatnya yang mengundang kehairanan banyak pihak ini bermula apabila Casie mahu memindahkan abu mayat suaminya dari kotak kadbod kepada bekas abu mayat istimewa yang baru dibelinya.
“Ketika saya sedang menuang abu, terdapat debu-debu abu yang jatuh ke atas meja.
“Saya sayang hendak membuangnya kerana itu ialah sebahagian daripada jasad suami saya.
“Saya hanya mengelap debu tersebut dengan jari yang basah dan menjilatnya berulang kali.
“Sungguhpun rasanya seperti telur busuk, pasir dan kertas pasir, saya tidak boleh menolak kehendak hati untuk terus menikmatinya,” katanya.
Rutin yang sama dilakukan lima hingga tujuh kali sehari dan selepas dua bulan Daily Mail melaporkan, Casie telah memakan 2.7 kilogram abu mayat suaminya.
Ketagihannya itu mengundang kerisauan keluarganya kerana tabiat luar biasa wanita itu boleh mengancam kesihatannya. Abu mayat dikatakan mempunyai kimia yang boleh membawa kepada masalah psikologi.
Dia yang sebelum ini pernah berdepan masalah obesiti kini berjaya mengurangkan 21 kilogram selepas mula memakan abu mayat suaminya.
Risau dengan tabiatnya itu, Casie mendapatkan bantuan pakar terapi untuk mengurangkan ketagihannya terhadap abu Shawn.
“Tidur di wad tanpa bekas abu mayat Shawn di sisi adalah perkara yang sukar. Namun, jika terus memakan abu suami, saya takut ia mungkin akan habis dan saya akan kehilangan terus sebahagian daripada jasad Shawn.
“Ketakutan itu membuatkan saya kuat untuk berhenti memakan abu mayat suami saya sendiri,” kata Casie.
@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment