DINOBATKAN sebagai paling popular, pastinya sesuatu di luar jangkaan buat dua orang artis pujaan ramai iaitu penyanyi Hafiz AF dan Johan.
Ketika ditemui pada majlis meraikan kejayaan artis residen Astro, Hafiz menyifatkan pemilihannya sebagai penyanyi lelaki popular baru-baru ini sebagai penghargaan paling bermakna buat dirinya.
“Pada Januari lalu, lagu nyanyian saya iaitu Awan Nano telah dinobatkan sebagai Lagu Terbaik semasa Anugerah Juara Lagu (AJL) 26. Kemudian pada bulan ini saya dipilih pula sebagai penyanyi paling popular berdasarkan pemilihan peminat.
“Sudah tentu saya sangat gembira dengan kejayaan yang diraih dan menganggap ia merupakan bonus buat diri saya pada tahun ini. Sebenarnya, saya sendiri tidak sangka kerana sedar perlu bersaing dengan ramai penyanyi lain,” ujarnya.
Menurut Hafiz, memandangkan kini dirinya menjadi pilihan peminat, dia mahu terus fokus pada kerjayanya sekarang dan tidak mahu terlalu leka dengan kejayaan yang diperoleh.
Hafiz ke Indonesia
Ditanya tentang aktiviti seninya ketika ini, Hafiz memberitahu dia mahu memberi sepenuh tumpuan kepada penyertaannya dalam program Mania memandangkan hadiah yang ditawarkan kepada juara cukup lumayan.
“Sudah tentu sasaran saya mahu mencul juara kerana mahu mendapatkan hadiah sebanyak RM500,000. Jadi, sekali lagi saya mengharapkan sokongan daripada peminat agar saya berjaya dalam rancangan tersebut,” ujarnya.
Menurut Hafiz, pada bulan Februari lalu dia telah pergi ke Indonesia selama dua minggu dalam usaha untuk mengembangkan karier nyanyiannya serta merakamkan single terbaharunya dan mempromosikan lagu Awan Nano di negara tersebut.
“Semasa di sana saya telah pergi ke beberapa buah stesen radio di Jakarta dan Yogyakarta. Saya akui agak sukar untuk menarik minat pendengar mereka, tetapi bersyukur apabila lagu saya tetap tercalon dalam carta lagu dalam sebuah stesen iaitu Pesona FM,” ujarnya.
Johan kurangkan aktiviti seni
Sementara itu, Johan yang turut ditemui pada majlis yang sama berkata, kejayaannya sebagai pelakon komedi paling popular banyak dibantu dengan pembabitannya dalam pelbagai rancangan komedi pada tahun lalu.
Bagaimanapun, di sebalik kegembiraannya memperoleh kejayaan tersebut, Johan menyatakan buat masa ini dia mahu mengurangkan pembabitannya dalam bidang seni kerana mahu memberi tumpuan sebagai penyampai radio.
“Sepanjang empat bulan bertugas sebagai penyampai di stesen radio Era, maklum balas yang diterima daripada pendengar sangat positif dan saya akui semakin selesa dengan tugas saya sekarang.
“Namun, pada Jun ini saya akan terbabit dengan sebuah program berjudul Acana Tu Johan untuk 13 episod. Dalam program tersebut, saya akan berkolaborasi dengan Didie Alias,” ujarnya yang kini sedang menyertai program Super Spontan di saluran Astro Warna.
Pada minggu lalu, seramai empat artis naungan Astro iaitu Aaron Aziz, Zizan Razak, Hafiz dan Johan telah diraikan dalam satu majlis yang diadakan di Sunway Resort Hotel & Spa, Petaling Jaya.
Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, penganjuran majlis pada malam itu juga merupakan sebahagian daripada penghargaan kepada keempat-empat artis tersebut yang telah sedikit sebanyak telah mengharumkan nama Astro.
“Saya percaya dengan kejayaan yang diraih oleh keempat-empat artis ini berdasarkan hasil usaha keras mereka dalam bidang masing-masing dan saya berharap mereka akan terus mengekalkan kemenangan yang sama pada tahun hadapan,” ujarnya.
Selain empat orang artis yang diraikan, majlis tersebut turut dihadiri oleh bekas pemenang Pengacara TV Popular, Aznil Haji Nawawi dan penerbit Datuk Yusof Haslam.
@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment