Saturday, April 7, 2012

Hari 'meriahkan' kubur keluarga



BAGAIKAN pesta, sebuah kawasan jirat di Jinjiang, wilayah Fujian, China sibuk didatangi waris si mati.


KAWASAN perkuburan yang sering dikaitkan dengan cerita-cerita perpisahan, kesedihan dan menakutkan, mungkin tidak langsung dibayangi perasaan sebegitu setiap kali tiba Festival Qingming.
Pada hari tersebut, ahli keluarga akan melawat kubur atau kawasan persemadian waris-waris terdahulu. Kunjungan penghormatan itu juga adalah untuk sahabat-handai mengingati kenalan mereka yang telah meninggal dunia.
Mengikut tradisi kebanyakan kaum Cina di seluruh dunia, Festival Qingming disambut pada hari ke-104 selepas solstis musim sejuk atau hari ke-15 selepas ekuinoks musim bunga.
Mengikut ritual lama Qingming, anggota keluarga perlu membawa seekor ayam ke pusara untuk dipersembahkan kepada roh si mati.
Sambutan ini mengimbas sejarah China lebih 2,500 tahun lalu. Mengikut ceritanya, sambutan tersebut paling ketara semasa pemerintahan Maharaja Xuanzong dari Dinasti Tang. Ketika itu, rakyat China yang kaya-raya dikatakan telah menganjurkan terlalu banyak keraian mewah dan berlebih-lebihan buat waris-waris mereka yang telah mati.
Namun kini, persembahan formal itu telah berevolusi menjadi variasi pendekatan baharu termasuk meletakkan bunga-bungaan, dekorasi moden, makanan kegemaran si mati dan pembakaran duit serta replika aset khas yang dipercayai berguna buat si mati dalam alam roh.
Istilah Qingming itu sendiri, selain merujuk kepada kiraan bulan dalam kalendar Cina, ia membawa maksud waktu untuk orang ramai keluar dari rumah untuk menikmati keindahan musim bunga dan menziarahi kubur si mati untuk membersihkan dan mencantikkannya.
Selepas bertafakur untuk si mati, orang tua dan muda sama-sama menyapu plak nama si mati seterusnya meletakkan makanan, teh, wain, penyepit makanan dan aksesori kertas sembahyang.
Sesetengah orang pula meletakkan ranting pokok willow di pintu masuk rumah kerana percaya bahawa ia akan menghalau roh jahat daripada memasuki kediaman mereka.
Di negara-negara tertentu seperti Hong Kong dan Taiwan, Qingming sudah diumumkan sebagai cuti awam. Ahli keluarga akan keluar bersiar-siar dan melibatkan diri dalam aktiviti yang menggembirakan seperti nyanyian dan tarian. Qingming juga menjadi waktu ideal untuk golongan muda mencari pasangan kekasih masing-masing.
Dalam pada mereka mengingati tentang kematian, kitaran hidup tetap diteruskan!

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...