![]() |
CHONG WEI akan menjadi sandaran utama negara pada pusingan akhir Piala Thomas di Wuhan, China, Mei depan.
|
JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei tetap akan disenaraikan bagi mengetuai cabaran skuad negara menjelang pusingan akhir kejohanan badminton Piala Thomas 2012 di Wuhan, China, Mei depan.
Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock berkata, kudrat pemain No. 1 dunia itu sememangnya ditagih bagi merealisasikan sasaran untuk mara ke peringkat separuh akhir di negara Tembok Besar tersebut nanti.
"Chong Wei kini sudah kembali pulih sepenuhnya daripada masalah kecederaan di bahagian bahu kanan yang dialaminya sebelum ini. Malah, dia juga telah kembali menjalani latihan penuh.
"Jadi, saya tidak nampak mengapa dia tidak boleh beraksi pada Piala Thomas melainkan dia masih lagi mengalami kecederaan," kata Seu Bock ketika ditemui sejurus tamat latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
Sebelum ini, Chong Wei, 30, telah diketepikan daripada membarisi skuad negara pada Piala Axiata 2012 ekoran masih bergelut dengan kecederaan di bahagian bahu kanan.
Kecederaan yang dialami Chong Wei itu juga menyebabkan dia terpaksa menarik diri pada aksi final Seluruh England 2012 menentang seteru utamanya, Lin Dan dari China bulan lalu.
Situasi itu sekali gus menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong menuntut Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengkaji semula penyertaan Chong Wei pada Piala Thomas.
Ini kerana, Ahmad Shabery dan Zolkples bimbang kecederaan bahu yang dialami pemain tersebut akan kembali berulang dan menjejaskan persiapannya yang diletakkan sebagai sandaran memenangi pingat emas pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London, Julai depan.
Bagaimanapun Seu Bock menjelaskan, aksi Chong Wei pada Piala Thomas kali ini dianggap sebagai persiapan sebelum ke London.
Jelas beliau, pemain-pemain terbaik dunia pasti akan menyertai Piala Thomas dan ia adalah sesuatu yang positif buat Chong Wei untuk mempersiapkan diri sebelum beraksi pada Sukan Olimpik 2012.
"Kita telah pun menetapkan yang Piala Thomas merupakan sebahagian daripada program Road To London selain Grand Prix Emas Terbuka Malaysia dan Terbuka Indonesia.
"Lagipun, Piala Thomas merupakan peluang buat Chong Wei untuk beraksi bersama pemain-pemain terbaik dunia yang lain. Sudah pasti dia tidak mahu ketinggalan dan melepaskan peluang ini.
"Kita akan memastikan Chong Wei berada pada tahap prestasi terbaiknya sebelum beraksi dalam Piala Thomas nanti," jelas Seu Bock.
Skuad negara layak beraksi pada pusingan akhir Piala Thomas 2012 selepas menamatkan saingan peringkat kelayakan di tempat keempat yang berlangsung di Macau, Februari lalu.
Piala Thomas 2012 akan membuka tirainya pada 20 hingga 27 Mei depan.

No comments:
Post a Comment