KUALA LUMPUR - Beberapa lokasi tumpuan awam pada hujung minggu di sekitar ibu kota kembali pulih menjelang 7 malam ini selepas hampir lumpuh selama tujuh jam ekoran perhimpunan yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan disokong pembangkang.
Peserta perhimpunan yang mula memasuki ibu negara seawal pagi di beberapa lokasi pertemuan yang paling berdekatan dengan Dataran Merdeka antaranya Masjid Negara, Masjid Jamek dan Menara Maybank akhirnya bersurai secara berperingkat.
Walaupun sekitar kawasan itu kembali 'hidup' semula, tinjauan Bernama mendapati anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis masih berada di lokasi tertentu bagi memastikan peserta perhimpunan itu tidak berkumpul semula.
Namun begitu, masih ada segelintir peserta perhimpunan masih berlegar di sekitar Jalan Tun Perak berhampiran Masjid Jamek.
Beberapa kawasan yang sebelum ini sesak kerana menjadi tumpuan demonstrasi jalanan, menjadi lengang manakala lalu lintas kembali pulih apabila demonstran meninggalkan lokasi tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang media selepas itu memaklumkan polis telah menjalankan tugas dengan profesional dalam menangani perhimpunan yang bertukar menjadi luar kawalan di sekitar Dataran Merdeka.
Dilaporkan seramai 388 demonstran telah ditahan dan dibawa ke Pusat Latihan Polis di sini sehingga 8 malam ini.
Di IPOH, satu perhimpunan di perkarangan Taman Rekreasi Sultan Azlan Shah berakhir kira-kira 3.30 petang tanpa kejadian yang tidak diingini tetapi cuma kesesakan lalu lintas dilaporkan berlaku di kawasan berhampiran tempat perhimpunan.
Di MELAKA, beberapa anggota Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengalami kecederaan ringan ketika menjalankan tugas di kawasan perhimpunan di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir.
Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lyle berkata, kejadian tersebut berlaku ketika petugas MBMB dan polis menghalang peserta perhimpunan itu yang dikhuatiri mengganggu pertandingan pancaragam di dataran tersebut. - Bernama
@sinarharian.com.my
No comments:
Post a Comment