Saturday, March 3, 2012

Zulfadli dapat 'lampu hijau' KLRC



ZULFADLI akan mula menjalani kem latihan skuad negara di Stadium Juara, Bukit Kiara bermula Isnin ini.


ZULKIFLI SIDEK, bapa kepada juara badminton remaja dunia, Zulfadli mengesahkan bahawa anaknya itu telah mendapat kebenaran daripada majikannya - Kuala Lumpur Racket Club (KLRC) untuk mengikuti kem latihan pusat bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bermula Isnin ini.
Awal minggu ini, BAM telah mengemukakan tawaran kepada Zulfadli untuk menjalani latihan bersama skuad negara sebagai persiapan menghadapi Piala Axiata yang bermula di Kuala Lumpur pada 23 Mac ini.
Selain Zulfadli, juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim yang juga bernaung di bawah KLRC turut disenaraikan untuk menjalani latihan selama dua bulan di Stadium Juara, Bukit Kiara.
"Saya sudah berbincang dengan pihak KLRC dan segala-galanya berjalan dengan baik. Jadi Zulfadli akan mengikuti latihan bersama BAM bermula Isnin ini.
"Hari ini (semalam) saya pergi ke pejabat BAM untuk menghantar surat jawapan mengenai penerimaan tawaran Zulfadli untuk menyertai latihan bersama skuad negara," kata Zulkifli ketika dihubungi Kosmo!semalam.
Zulfadli pula menambah, dia akan mengikut segala perancangan yang akan direncanakan oleh badan induk itu sepanjang kem latihan tersebut.
"Saya memang sangat gembira, sebab semua atlet yang dapat tawaran sebegini pasti tidak akan mensia-siakannya.
"Jadi saya harus buktikan prestasi cemerlang dalam beberapa kejohanan yang saya akan sertai nanti untuk dinilai oleh BAM.
"Saya perlu berusaha meningkatkan prestasi, saya akan ikut program latihan yang telah ditetapkan dan saya berdoa dapat layak ke Piala Thomas," kata Zulfadli.
Sementara itu, Pengurus Besar BAM, Kenny Goh mengakui bahawa beliau telah menerima surat jawapan daripada Zulfadli.
"Saya telah menerima surat persetujuan itu pada petang tadi (semalam) dan ini membuktikan Zulfadli telah bersetuju untuk menyertai latihan skuad negara.
"Kita akan beri masa kepada Zulfadli untuk berlatih dan mempamerkan aksi pada Piala Axiata 2012," kata Kenny semalam.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...