
MELAKA – Seorang kakitangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menghadapi dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan rasuah iaitu meminta suapan wang dan perkhidmatan seks daripada seorang wanita.
Tertuduh, Zullias Rasid Manan, 36, dari Bukit Katil, didakwa berbuat demikian sebagai balasan untuk menyelesaikan satu kes khalwat dua tahun lalu.
Menurut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa meminta RM1,500 daripada seorang wanita sebagai upah menyelesaikan kes di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir pada kira-kira 6.30 petang pada 10 Jan 2010.
Manakala, bagi pertuduhan kedua dia didakwa meminta perkhidmatan seks daripada wanita terbabit di bilik Coastal Park, Hotel Ujung Pasir pada kira-kira 1.15 petang pada 13 Feb 2010.
Zullias mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan mahkamah membenarkan ikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 27 April depan untuk sebutan semula kes.
Pekerja rendah am MAIM itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. – Mynewshub.my
No comments:
Post a Comment