Wednesday, March 21, 2012

Iman, Tiara keutamaan Sazzy



MENGUNDURKAN diri daripada bidang lakonan dan pengacaraan seketika demi menumpukan sepenuh perhatian kepada dua cahaya mata kembarnya, Iman Lily dan Tiara Rose Nazril, 10 bulan, Sazzy Falak kini kembali ke bidang lakonan dan pengacaraan.

Kemunculan Sazzy buat pertama kalinya di kaca televisyen dapat disaksikan menerusi drama komedi bersiri Sopi Sekuriti terbitan Skop Production yang kini ditayangkan di Astro Warna setiap hari Selasa, pukul 10.30 malam.

Isteri kepada personaliti TV, Nazril Idrus itu juga sudah menjalankan tugasannya sebagai pengacara program Entertainment and Sports Programming Network (ESPN).

Ada sebab kenapa Sazzy menerima kedua-dua tawaran tersebut biarpun dia memberitahu keutamaannya kini adalah untuk menjaga dan memberi penyusuan secara eksklusif selama dua tahun kepada dua puteri kesayangannya itu.

"Sebelum ini saya akui tak ambil tawaran yang muncul sebab mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada Iman dan Tiara. Kini, saya terima dua tawaran yang muncul iaitu mengacara ESPN dan berlakon dalam drama terbitan Skop Production.

"Memang kalau diikutkan berlakon sesebuah drama memerlukan masa yang lama di lokasi dan penggambaran drama tersebut juga mengambil masa yang lama untuk selesai.

"Namun, saya terima berlakon dalam drama komedi Sopi Sekuriti disebabkan mereka faham keadaan saya yang kini sudah menjadi ibu.

"Mereka memberi saya kelonggaran berada di lokasi tidak terlalu lama dan dalam masa yang sama masih boleh mengepam susu badan," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar drama Sopi Sekuriti di Hotel Butik Jeumpa D'Ramo, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sambung bicara pelakon jelita itu, dia juga bersetuju untuk menerima tawaran berlakon dalam drama tersebut kerana ia diterbitkan Skop Production.

Ungkapnya, sudah lama dia teringin untuk berlakon dengan Skop Production dan peluang itu akhirnya muncul. Enggan melepaskan peluang yang hadir, Sazzy juga mengakui meraih pengalaman yang menyeronokkan sepanjang penggambaran drama itu berlangsung.


SEJAK bergelar ibu kepada Tiara dan Iman, Sazzy kini lebih berhati-hati dalam memilih watak lakonannya.

Ditebak soalan tidakkah dia dilabelkan diva kerana mendapat keistimewaan di lokasi penggambaran, tutur Sazzy, dia tidak meminta keistimewaan itu sebaliknya pihak produksi sudah sedia maklum memahami keadaannya.

"Saya bukan nak jadi diva tetapi keutamaan harus diberikan kepada anak-anak saya. Saya tidak mahu Iman dan Tiara terputus susu sekurang-kurangnya sehingga umur mereka dua tahun," tuturnya yang terpaksa berkorban masa dan tenaga demi memberi yang terbaik buat kedua-dua anaknya itu.

Berkongsi pengalamannya sebagai ibu kepada dua puteri kembar, ujar Sazzy, anak-anaknya itu bagaimanapun tidak mempunyai persamaan langsung dari segi tingkah laku.

Tambah Sazzy, Iman kini sudah mula pandai bercakap sebaliknya Tiara lebih cepat menunjukkan perkembangan dari segi fizikal.

"Sejak awal bulan lagi mereka nampak berbeza. Iman yang sulung lebih cepat bercakap berbanding Tiara. Tiara pula sangat fokus dan dia sudah memahami keadaan sekelilingnya," ujarnya mengenai anak-anaknya itu yang akan dijaga ibunya dan pengasuh jika dia sibuk di lokasi.

Menyentuh mengenai penyediaan makanan kepada Tiara dan Iman, Sazzy mengakui dia terpaksa bangun pagi demi menyediakan makanan kepada anak-anaknya.

Malah, jika tidak mempunyai masa dia akan memasak makanan tersebut dalam jumlah yang banyak dan menyimpannya di dalam peti sejuk.

Bercerita pula tentang watak komedi yang lakonannya dalam Sopi Sekuriti, menurut Sazzy, ia bukan watak komedi pertama yang dilakonkannya, sebaliknya dia juga pernah muncul untuk watak komedi dalam filem Tolong Awek Aku Pontianak.

"Kalau boleh, saya ingin menjadi seperti Jennifer Aniston yang sinonim dengan watak-watak komedi yang sering dilakonkan olehnya," ujar Sazzy yang membawakan watak Laila seorang gadis yang dicintai oleh sekuriti lakonan Man Raja Lawak.


KEDUA-DUA anak kembar Sazzy ini tidak mempunyai persamaan langsung dari segi tingkah laku.

Selain itu, Sazzy juga tidak menafikan bahawa dia juga selesa menjadi pengacara.

"Sebelum ini saya pernah menjadi hos untuk rancangan MyEG Xtra Time di ESPN. Malah, ketika saya mengandung lapan bulan juga saya masih mengacara.

"Bidang pengacaraan dan lakonan sememangnya merupakan sesuatu yang berbeza. Namun saya memang mahu lakukan kedua-dua perkara tersebut," katanya.

Info!

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...