Tuesday, March 20, 2012

Hiba rakan jadi korban tali barut


UNTUK menjadikan wawancara bersama Deputi Superintendan (B) Mohd. Noor Razak, 63, lebih berkesan, Kosmo! memohon budi bicaranya agar mengenakan semula seragam VAT 69 atau 69 Komando untuk sesi fotografi eksklusif.

Permintaan itu dipenuhi. Beberapa minit kemudian, Mohd. Noor tampil segak dengan uniform VAT yang pernah disarungnya pada 30 tahun lalu.

"Masih muat lagi," selorohnya. Begitupun, beliau menyambung bicara, parut dan sisa-sisa perjuangan menentang pengganas komunis yang pernah bermaharajalela dan membunuh sejumlah rakyat negara ini masih berbekas dalam ingatannya.

Ujar anak kelahiran Kedah itu, VAT 69 yang ditubuhkan khas untuk memerangi Parti Komunis Malaya (PKM) pada 23 Oktober 1969 di Ulu Kinta, Perak bukan sebarangan pasukan.

"Sampaikan seorang pemerintah komunis pernah berkata, mereka berani untuk berdepan dengan satu batalion pasukan tapi mereka akan mengelak untuk bertempur dengan VAT 69 yang cukup hebat dalam selok-belok peperangan," kata Mohd. Noor dengan nada tegas.

Isi borang

Pesara polis itu mempunyai banyak kisah perjuangan untuk dititipkan. Namun, terlebih dahulu, penulis bertanya siapakah Mohd. Noor sebelum bergelar perajurit.

Beliau berterus-terang, bapa saudaranya ialah orang yang mengisi borang untuknya menjadi polis meskipun minat beliau lebih terarah dalam bidang pertanian.

Barangkali sudah tersurat sejak di Loh Mahfuz, akhirnya, pada 8 Januari 1969, Mohd. Noor berjaya menjadi anggota polis pada usia 22 tahun, dengan gaji permulaan sebanyak RM50 sebulan.

Ternyata, aura kepahlawanan cepat menyerap dalam tubuh badan Mohd. Noor. Baru sahaja tamat rekrut, beliau dihantar berkhidmat di Batalion 11, Pasukan Polis Hutan (PPH), Pengkalan Chepa, Kelantan pada tahun 1970.

Operasi pertamanya sahaja sudah cukup untuk mengajarnya erti taat setia dan berkorban demi negara. Merentas operasi yang cukup berbahaya itu juga, telah mengajar beliau betapa pentingnya menyingkirkan komunis dari bumi Malaysia.


PARA anggota VAT 69 kata Mohd. Noor, tidak pernah gentar memburu dan menawan pengganas komunis.

Ceritanya dengan penuh tawaduk, semasa terlibat dalam operasi di Fort Belum, Perak yang terletak di tengah-tengah belantara, pasukannya secara jelas dapat mendengar siaran radio Komunis yang bertali arus menanam api kebencian dan menghentam kerajaan Malaysia.

"Risiko amat tinggi ketika itu kerana kubu kami berdekatan dengan kubu bekas Setiausaha Agung PKM, Chin Peng.

"Justeru, kami perlu berhati-hati kerana komunis berada di mana-mana. Semasa operasi itu juga, kami sempat berpuasa sebulan penuh dan beraya di dalam hutan," imbas Mohd. Noor.

Ketika ditanya tentang senario pada era darurat fasa kedua iaitu antara tahun 1972 hingga 1989, beritahu Mohd. Noor, ramai penduduk hidup dalam perasaan gentar. Mereka dicegah daripada keluar malam kerana PKM masih menjalankan kegiatan memeras ugut terutamanya dalam mendapatkan bekalan makanan dan maklumat.

Rentetan kisah Mohd. Noor sentiasa penuh debaran. Imbau lelaki yang masih memiliki fizikal tegap itu, beliau berjaya menangkap seorang komunis yang sesat dalam sebuah operasi di Kuala Krai, Kelantan.

"Ketika itu saya sedang mandi dan ternampak bayang-bayang manusia dan rupa-rupanya itu adalah komunis yang sesat dalam hutan," katanya tentang kejayaan beliau sebelum menganggotai VAT 69.

Tawaran khas

Mohd. Noor sedar, menjadi anggota keselamatan, beliau akan kehilangan banyak nikmat kehidupan dunia kerana masa akan banyak dihabiskan dengan bertugas di hutan.

Namun, itu tidak menjadi masalah. Mohd. Noor terus mencabar dirinya dan ketika kerajaan membuka tawaran untuk VAT 69 atau Unit Projek Khas (SPU) untuk mengekang gerakan komunis, Mohd. Noor nekad menyertainya.

Pada 4 April 1972, beliau bersama-sama 500 peserta yang lain mengikuti latihan di Fort Legap, Ulu Kinta yang dikendalikan oleh Mejar Adam, Sarjan Tuff Springle dan beberapa anggota lain daripada pasukan elit tentera British iaitu Special Air Service (SAS).



"Kami diajar untuk menembak, bertempur, menyerang, letupan, perubatan dan semboyan termasuk kelas survival. Namun daripada 500 peserta, hanya 46 orang sahaja yang bertahan," katanya yang pakar dalam segmen semboyan yang memerlukan beliau mahir menggunakan kod Morse.

Kecerdasan minda, ketahanan mental dan fizikal serta ketepatan masa amat penting bagi seorang komando.

"Kami kena sentiasa bersiap siaga. Kita bawa peralatan yang penting seperti baju preman dan kit tali pinggang (yang mengandungi makanan, jerat, ubat, alat pancing, jarum, benang dan lain-lain) seberat dua kilogram.

"Kami tak pakai kasut rasmi VAT 69 sebaliknya memakai kasut bertapak W jenama Foong Keong yang biasa dipakai komunis supaya kami tak meninggalkan jejak yang memudahkan komunis mengesan kami," imbas beliau.

Hujan atau terik mentari tidak akan membuatkan sesuatu operasi itu dihentikan. Kadang-kadang, beliau bersama platun yang lain memakai pakaian basah selama berhari-hari. Kesulitan itu langsung tidak mematahkan semangat mereka untuk terus memburu musuh negara.

Tali barut

Ujar Mohd. Noor, tidak semua rakyat Malaysia ketika itu bersemangat patriotik. Wujud tali barut komunis yang menyebabkan dua nyawa anggota tergadai.

"Tragedi anggota kita terkorban terjadi ketika Ops Buluh II di Fort Legap. Ketika itu, ada seorang lelaki yang berpura-pura membawa ikan kelah untuk kami. Namun, dia sebenarnya ialah tali barut komunis yang membocorkan maklumat lokasi kami sepasukan. Kesan daripada itu, pemandu bot kami diserang komunis," ujar beliau kesal.

Sepanjang lima belas tahun dalam VAT 69, Mohd. Noor yang bertugas sebagai anggota semboyan terlibat dalam beberapa operasi penting seperti Ops Buluh, Ops Nadi, Ops Kilat, Ops Buluh II dan Ops Kesedar.

Perjuangan seorang kesatria tidak semestinya melibatkan pertumpahan darah. Maklumnya: "Saya tak berpeluang untuk bertempur dengan komunis tapi terlibat dalam operasi-operasi yang mustahak".


MOHD. NOOR menunjukkan Pingat Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormatan Panglima Gagah Berani yang dianugerahkan kepada beliau sambil disaksikan anak-anak dan cucunya.

Sejak tahun 1969 hingga komunis menyerah kalah pada tahun 1989, VAT 69 telah melakukan 180 kali gerakan dengan 49 kali pertempuran yang berjaya menewaskan 36 anggota komunis. Bagaimanapun, lapan anggota komando gugur di medan perang.

Sekuat dan setabah manapun seorang komando, Mohd. Noor memberitahu, air mata jantannya berlinangan tatkala meratapi pemergian sahabat seangkatan. Misalnya, salah seorang anggota yang menyertai misi Ops Buluh II, ASP Mohd. Zabri Abdul Hamid yang terkorban pada September 1974 iaitu sehari sebelum bulan Ramadan.

"Arwah terkena jerangkap samar yang dipasang komunis. Walau dalam kesakitan, beliau sempat berpesan kepada kami supaya teruskan berjuang. Dia masih pegang senjata, dia suruh kami tinggalkan dia kalau kami diserang," imbaunya dengan air mata hangat bergenang.

Menurut Mohd. Noor, kejayaan VAT 69 dalam membanteras komunis sebenarnya atas semangat berpasukan dan patuh kepada arahan ketua.

Seperti katanya semasa menjadi panel dalam Kolokium Sejarah Malaysia baru-baru ini: "Pasukan ini ditubuhkan ketika bukan zaman mewah dan kami membiayai sendiri segala peralatan termasuk uniform dan kasut. Kami tidur dan hidup dalam hutan seperti komunis. Itulah semangat perjuangan VAT 69!".

Klik!

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...