Saturday, March 10, 2012

Buah tangan terbaru Zainal Abidin

Buah tangan terbaru Zainal Abidin
Sekian lama tidak muncul dengan album baru, akhirnya penyanyi Zainal Abidin tampil dengan single terbarunya berjudul, Kamu ciptaan lagu dan lirik oleh Ajai.

Mengaku begitu selektif dalam memilih lagu terbaik, penyanyi berusia 53 tahun ini, mengambil masa lama memikirkan lagu yang tepat bagi menjadi single pengenalan buatnya selepas muncul dengan album Puteri pada 2004.

Menyifatkan lagu Kamu sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang kekal menemaninya sepanjang 30 tahun berada dalam industri muzik, bekas penyanyi Headwind ini merasakan lagu itu sebagai satu penulisan dan perubahan terbaik yang pernah dinyanyikan.

“Lagu Kamu dihasilkan khas untuk peminat saya yang sekian lama ternanti-nanti kemunculan album baru saya. Malah apabila saya pergi ke mana-mana, peminat pasti bertanyakan album baru.

“Jadi, sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang membesar bersama muzik saya dan setia menemani saya selama ini, lagu Kamu didedikasikan khas untuk mereka,” katanya yang cukup berpuas hati dengan hasil kerja Ajai dalam menghasilkan lagu tersebut.

Ketika ditemui di majlis memperkenalkan single terbarunya di Hard Rock Café, Kuala Lumpur, Zainal yang tampil segak dengan kemeja putih memberitahu, dia sendiri meminta Ajai menghasilkan lagu bagi dimuatkan dalam album terbarunya, memandangkan komposer itu mengetahui kekuatan vokal dan kecenderungannya pada muzik.
Tambahan pula, Ajai juga merupakan peminat Zainal sejak penyanyi itu bersama kumpulan Headwind lagi.

“Memandangkan dia (Ajai) tahu minat saya dalam muzik dan mengikuti perkembangan saya sejak bersama Headwind lagi, jadi kami tiada sebarang masalah dari segi mencipta keserasian kerana masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan.

“Lebih-lebih lagi, kami berdua adalah orang yang teliti dalam melakukan sesuatu kerja. Justeru itu, kami begitu mengambil berat soal susunan lagu dan lirik,” katanya yang mengambil masa dua bulan duduk berbincang dengan Ajai.

Menurut Zainal, pada peringkat awal sebelum bekerjasama dengan komposer itu, berlaku sedikit kesukaran untuk Ajai kerana dia ada berpesan supaya tidak memasukkan unsur cinta di dalam album barunya.

Oleh sebab Ajai memang terkenal sebagai komposer yang sering menghasilkan lagu-lagu cinta, jadi penghasilan lagu Kamu merupakan satu cabaran buat komposer itu.

“Pada awal-awal lagi, saya sudah beritahu tidak mahu selitkan unsur cinta antara kekasih dalam lagu-lagu saya. Namun, Ajai cakap itu masalah buatnya. Jadi, saya bagi ruang Ajai berfikir lirik sesuai untuk cinta kepada ibu bapa atau alam sekitar.

“Apabila mendengar lagu Kamu, saya berpuas hati dengan hasil karya Ajai dan menganggap Ajai berjaya menyahut cabaran untuk menghasilkan lagu seperti itu,” katanya.


Turun padang promosi album

Menggunakan cara promosi lama bagi memperkenalkan single terbarunya, pelantun lagu Hijau ini berhasrat menjelajah ke seluruh negara bagi mendekati peminatnya.

Malah, kesempatan itu diambil apabila dia yang juga menyertai The Legendary Concert yang akan menjelajah lima lokasi di Malaysia bakal turut melancarkan album terbarunya, Kompas pada hari yang sama.

“Biarpun cara promosi sebegini telah digunakan lebih 20 tahun dulu, namun saya masih merasakan ia sebagai cara yang berkesan buat artis untuk mendekati peminat,” ujarnya yang turut menerima lagu daripada M Nasir.

Lagu dan album Zainal boleh didapati melalui laman sesawang www.legendary.my yang turut menyediakan info mengenai The Legendary Concert.

Konsert tersebut akan bermula di Kota Kinabalu, Sabah (5 Mei), Pulau Pinang (19 Mei), Johor Bahru (26 Mei), Kuching, Sarawak (23 Jun) dan berakhir di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (30 Jun).

Tiket dijual pada harga RM100, RM200, RM300 dan RM600.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...