Tuesday, February 14, 2012

Wajib menang




MACAU - Apa juga situasi sekali pun, skuad negara tidak mempunyai pilihan selain mencatatkan kemenangan ke atas Hong Kong pada aksi sulung peringkat Kumpulan D kempen kelayakan Kejohanan Badminton Piala Thomas 2012 hari ini.
Ia perlu, bagi mengesahkan slot automatik ke peringkat suku akhir.
Terdahulu, Hong Kong tewas kepada pasukan pilihan kedua kejohanan, Korea Selatan 0-5 dalam satu pertemuan Kumpulan D semalam.
Justeru, jika menang, skuad negara secara automatik akan mara ke peringkat suku akhir dan aksi menentang Korea Selatan esok akan menjadi penentu siapa yang bakal muncul juara dan naib juara Kumpulan D.
Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek berkata tidak kira berapa sekali pun keputusan pada pertemuan dengan Hong Kong hari ini, yang paling penting adalah skuad negara perlu menang.
"Saya tidak kisah keputusannya sama ada 5-0 atau 3-2, yang penting skuad negara menang ke atas Hong Kong.
"Jika menang 5-0 ia lebih bagus bagi meningkatkan moral pemain. Ia akan meningkatkan lagi tahap keyakinan mereka sebelum pertemuan dengan Korea Selatan pada hari Rabu nanti (esok).
"Begitupun, saya lebih gemar pemain-pemain memberikan tumpuan terlebih dahulu terhadap pertemuan dengan Hong Kong. Ini kerana, kita perlu mara ke peringkat suku akhir dahulu.
"Jika menang dengan Hong Kong, barulah nanti kita memikirkan mengenai perlawanan dengan Korea Selatan pula," katanya ketika ditemui di Macau semalam.
Ditanya mengenai peluang skuad negara untuk menewaskan Hong Kong hari ini, Rashid menjawab: "Dalam acara perseorangan memang sukar untuk kita mengutip tiga mata.
"Ini kerana, barisan pemain perseorangan Hong Kong juga kuat. Untuk acara perseorangan hanya Datuk Lee Chong Wei yang mampu memberi jaminan menyumbangkan mata manakala peluang dua lagi pemain perseorangan adalah 50-50.
"Namun, kita menjangkakan dua mata dapat diperoleh menerusi acara beregu kerana berdasarkan rekod sebelum ini, kita ada kelebihan," ujar Rashid lagi.
Tambah beliau, pemain-pemain kini berada pada tahap prestasi terbaik dan penuh bersemangat untuk turun beraksi pada aksi pertama menentang Hong Kong.
Selain Chong Wei, skuad negara kali ini turut dibarisi tiga lagi pemain perseorangan, Muhamad Hafiz Hashim yang hampir pasti menggalas tugas selaku perseorangan kedua, Liew Daren (ketiga) dan Mohamad Arif Abdul Latif (keempat).
Dalam acara beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong selaku beregu pertama, Goh V. Shem-Lim Khim Wah (kedua) dan Hoon Thien How-Teo Kok Siang (ketiga).

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...