Friday, February 10, 2012

Kemusnahan tinggalan seni bina tradisi Nepal


GOTSCHOW bimbang dengan realiti keindahan Kathmandu yang bakal lenyap tidak lama lagi akibat diasak arus kemodenan.

ADA pendapat yang mengatakan bahawa era Zaman Pertengahan di Nepal belum berakhir.
Keunikan pekan-pekan bersejarah dan keistimewaan seni bina negara itu masih berkesinambungan melalui gaya hidup masyarakat serta ritual keagamaan, seumpama ia menghubungkan zaman semasa dengan zaman dahulu kala.
Imej yang terlintas dalam kotak fikiran para pelancong apabila perkataan Kathmandu disebut adalah istana-istana pagoda dengan atap berlapis, kuil-kuil dan laman rumah gaya abad ke-16 yang menjadi unit asas dalam perancangan bandar Kathmandu.
Namun begitu, seni bina kuno di ibu negara itu akan tinggal memori sahaja. Menurut seorang tokoh bidang pemuliharaan, Niels Gotschow, ia berlaku kesan daripada urbanisasi tidak seimbang dan keinginan untuk memodenkan Kathmandu.
"Merekodkan semua perkara dalam buku adalah satu tindakan pemeliharaan kerana suatu hari nanti, ini sahaja cara untuk mengingatinya," kata Gutschow yang telah mengabdi diri mencatat dan memelihara khazanah seni bina Nepal.
GOTSCHOW (kanan) duduk di hadapan rumahnya yang terletak di Bhaktapur.


Lelaki berusia 70 tahun itu telah membuat kajian terperinci terhadap lapisan lantai dan dinding konkrit semata-mata untuk mencari seni kraf masyarakat Newar yang lama hilang.
Orang Newar ialah penduduk asli yang mendiami Lembah Kathmandu. Mereka memiliki seni ukiran kayu dan batu-bata yang sangat menakjubkan.
Monumen-monumen Hindu dan Buddha ditemukan dari tiga buah bandar yang terdapat di lembah itu iaitu Bhaktapur, Kathmandu dan Patan yang telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pertama di Asia pada tahun 1979.
Bagaimanapun, nasib seni bina itu semakin terancam setiap tahun apabila laman bahal yang dilengkapi pintu berukir dimusnahkan manakala anjung kecil dan jenang pintu telah ditanggalkan.
Birai-birai berukir dan topang bumbung turut dirobohkan demi memberi laluan kepada perumahan baharu di bandar yang pantas berkembang itu.
Banyak monumen yang signifikan dengan sejarah kawasan tersebut seperti biara, kuil dan rumah-rumah bersejarah di sepanjang lembah itu semakin lenyap keseluruhannya.
Roboh sesuka hati
"Sejak 10 tahun lalu, seseorang itu tidak memerlukan permit meroboh. Jadi, kamu boleh memusnahkan rumah kamu walaupun ia berstatus Tapak Warisan Dunia.
"Perubahan dalam undang-undang hari ini mewajibkan seseorang memiliki permit untuk meroboh. Tetapi, ia tidak memberi kesan ketara. Tiada penguatkuasaan kerana tidak ada majlis perbandaran yang mengarahkan pihak polis menguatkuasakannya. Negara ini tiada undang-undang," katanya.
Dilahirkan di Hamburg, Jerman, Gutschow yang merupakan anak seorang arkitek menuntut di Universiti Darmstadt. Dia menghabiskan masa senggang dengan menjadi perantis tukang kayu di Jepun pada tahun 1960-an.
Gutschow datang ke Nepal pada tahun 1971 sebagai sukarelawan untuk memulihara biara Pujari Math Hindu, Bhaktapur di bandar Newar yang terletak lebih kurang 13 kilometer dari timur Kathmandu. Di bandar itu juga, dia tinggal bersama isterinya, Wau.

SEORANG wanita mendaki tangga di sebuah kuil usang di Bhaktapur.


Perkara biasa yang dilakukan oleh Gutschow adalah menyelamatkan bangunan bersejarah daripada musnah. Lazimnya, dia menggunakan pendekatan holistik yang mengambil kira upacara purba dan teknik pembinaan.
Untuk tujuan itu, dia juga bergantung pada foto-foto lama dan kerja-kerja penyelidikan terhadap bahan sejarah.
Projek terkininya adalah membaik pulih Istana Diraja Patan dan Taman Arkeologi Bhandarkhal yang merupakan tapak cari gali yang mengandungi banyak harta karun bertarikh abad ke-12.
Terlalu leka
Biarpun Gutschow gigih berusaha menyelamatkan tinggalan sejarah itu, komuniti tempatan menjadi terlalu leka dengan standard kehidupan yang lebih baik pada abad ke-21.
Mereka seumpama tidak ambil peduli terhadap kerja memulihara karakter Zaman Pertengahan Nepal. Lebih menyedihkan, usaha yang dilakukan ke arah tersebut juga tidak dihargai.
Dia masih ingat pada satu peristiwa di tempat usaha restorasi di Itum Bahal, iaitu sebuah laman Buddha terbesar di Kathmandu. Para pekerjanya ketika itu telah diserang dengan tukul.
Gutschow menyifatkan bahawa kerja-kerjanya adalah untuk mendokumentasi sebuah era yang sebahagian besarnya tidak lagi dapat diselamatkan.
Bayangkan, ketika rumah Newar terakhir mungkin akan lenyap dalam tempoh satu generasi lagi, dia pula sedang bertungkus-lumus memulihara monumen terpenting di Kathmandu.
Architecture of Newaris merupakan hasil tulisan Gutschow terbaharu yang diterbitkan pada akhir tahun lalu. Sehingga kini, dia telah menerbitkan lebih 12 buah buku.
Mempunyai tiga buah jilid yang memaparkan kecintaan selama 40 tahun terhadap kerja-kerjanya, buku itu juga mencatat senarai hasil penemuan terbaharunya.
Gutschow berkata, ia adalah catatan paling muktamad mengenai teknik-teknik bangunan Newar. Suatu masa nanti, dia percaya bahawa rekod tersebut adalah satu-satunya sumber untuk mengesahkan sejarah yang ditelan kemodenan.
"Saya tidak akan tertekan. Ia sebahagian daripada kehidupan," katanya menerima realiti. - AFP

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...