
JOSE SERPA memang sukar ditandingi pada peringkat pendakian.
PEMBATALAN dua perlumbaan di Itali iaitu Tour of Sardegna dan Tour of Friuli memaksa pelumba kelahiran Colombia, Jose Serpa mengubah program perlumbaannya musim ini.
Yang pasti, dia akan kembali ke Malaysia beraksi pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) yang akan bermula pada 24 Februari ini hingga 4 Mac depan.
“Serpa pada awalnya dijadualkan mengambil bahagian dalam dua perlumbaan di Itali itu selepas mencipta keputusan cemerlang pada tahun lalu yang menyaksikan dia menduduki tempat kedua pada Tour of Sardegna dan mengungguli Tour of FriuliĆ®,” kata pengurus pasukan Androni Giocattoli, Gianni Savio dalam satu kenyataan semalam.
“Malah, penganjur dua perlumbaan ini sebenarnya memberi ruang kepada saya kerana ia membolehkan saya menyenaraikan Serpa untuk beraksi di LTdL.
“Pastinya saya gembira untuk menyenaraikan Jose dalam barisan pelumba kami pada jelajah (LTdL) yang sering kami nantinantikan.
LTdL juga cukup istimewa buat Serpa kerana ia adalah jelajah pertama disertainya sebaik bergelar pelumba profesional pada 2006.
Pada penampilan pertamanya, dia memenangi saingan di laluan landai dari Kuala Selangor serta menguasai pendakian sukar ke Genting Highlands secara berturut-turut.
Untuk empat tahun berturut-turut, Serpa memenangi sekurangkurangnya satu peringkat di LTdL sehinggalah dia meraih kejayaan individu keseluruhan pada penampilan terakhirnya pada 2009.
Dia merupakan satu-satunya pelumba yang memenangi tiga peringkat pendakian ke Genting Highlands dan dianggap tidak mampu ditewaskan oleh barisan pencabarnya.
Penyertaan Serpa dalam edisi LTdL 2012 ini akan menambah penyertaan jumlah bekas juara kepada enam pelumba pada perlumbaan berprestij itu yang akan bermula di Putrajaya.
Tom Danielson (2003) yang berkayuh untuk pasukan Garmin-Barracuda, Freddy Gonzalez (2004) kini bersama Azad University.
Pelumba Europcar, Anthony Charteau (2007) juga akan cuba menyamai pencapaian yang diraih Paolo Lanfranchi yang menjadi satu-satunya pelumba menjuarai LTdL sebanyak dua kali (1999, 2001) setakat ini.
Tetapi peluang kini semakin cerah buat pasukan Androni Giocattoli yang menurunkan tiga bekas juara dalam satu pasukan iaitu Serpa (2009) dan dua pelumba Venezuela, Jose Rujano (2010) dan Yonatta Monsalve (2011).
“Langkah menyenaraikan pelumba yang dianggap mempunyai banyak kelebihan membawa makna bahawa kami akan tampil sebagai pasukan yang sentiasa digeruni,” kata Savio.
“Seperti kebiasaannya, kami akan memberikan yang terbaik sebagai tanda penghormatan kepada jelajah ini tetapi kami juga akan lebih berwaspada dengan apa yang akan dilakukan oleh pencabar lain, khususnya saingan di laluan landai.
“Secara taktikalnya, ia tidak semudah yang dijangka.”
Penyertaan saat akhir Serpa itu membawa keceriaan kepada penganjur LTdL 2012 kerana ia akan membantu memeriahkan lagi saingan pada perlumbaan kali ini.
“Serpa merupakan seorang pelumba yang hebat dan sudah pasti kehadirannya akan menambahkan lagi kerancakan LTdL tahun ini,” kata Ketua Pegawai Operasi LTdL 2012, Emir Abdul Jalal.
“Kepulangan Serpa ke Malaysia selepas dua tahun tidak beraksi disambut gembira oleh ramai peminat yang mengaguminya.”
LTdL 2012 dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan mendapat kerjasama daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Jelajah ini kekal dengan status 2.HC (Hors Classe) dan diiktiraf oleh UCI dan UCI Asia Tour.
LTdL 2012 dijangka membariskan 22 pasukan profesional.
Perlumbaan 10 hari itu akan bermula dengan acara ujian masa individu sejauh 20.3 kilometer (km) di Putrajaya diikuti Peringkat 2 Putrajaya-Melaka (151.0km); Peringkat 3 Ayer Keroh-Parit Sulong (187.6km).
Batu Pahat-Muar (169.4km); Ayer Keroh-Pandan Indah (190km); Proton Shah Alam-Genting Highlands (108km); Bentong- Kuantan (205.8km); Pekan-Chukai (100.8km); Kemasik-Kuala Terengganu (165.7km) dan Tasik Kenyir- Kuala Terengganu sejauh 114.8 kilometer.
No comments:
Post a Comment