Sunday, January 1, 2012

Kuasa dua jenama! fasha sanda & sam!




MILIKI kuasa dan bisa dalam konteks tersendiri, ayunan karakter dua jenama, Shaheizy Sam dan Fasha Sandha ini tingkah-meningkah antara sensasi keperibadian dan impak lakonan. Dua-dua popular atas nama yang dibina, tapi ironinya, acuan populariti antara kedua-duanya bergerak atas landasan berbeza.
Terlalu banyak kisah terpaksa ditelan Fasha Sandha untuk terus berada dalam industri hiburan hingga ke hari ini. Pernah disayangi, dibenci, dihentam, diselar, jatuh dan bangun semula, dia masih berdiri sebagaimana dirinya.
Sam pula seperti tiada langsung kisah negatif tercipta angkara perbuatan sendiri. Secara lunak, Sam memenangi hati khalayaknya walaupun terpaksa menunggu agak lama sebelum dikenali.
Lihatlah kepada pesona dua bintang ini, bagaimana mereka sedang meneruskan sebuah ikatan yang terbina secara tidak rasmi. Dari saat pertama menjejakkan ke dunia seni, bersendikan audiens sebagai saksi, mereka sebenar sudah memeterai akad untuk bersanding dalam karier.
"Ya, saya boleh anggap ini juga satu 'perkahwinan' dalam hidup saya. Kalau perkahwinan sebenar perlukan keharmonian, perlu dipertahankan hingga ke akhir hayat, karier juga begitu. Saya akan pertahankan karier sampai bila-bila," kata Sam menyimpulkan jika ada wanita yang akan dikahwininya kelak, haruslah wanita itu sanggup dimadukan bersama karier.
Berbeza falsafah yang dipegang Fasha, wanita sensasi itu tidak mahu karier seni diikat mati menjadi komitmen sepanjang hidupnya.
"Komitmen seni hanyalah hubungan jangka pendek. Akan tiba masanya nanti ia harus diperlahankan, jika sudah berkahwin, suami dan keluarga menjadi fokus. Saya inspirasikan kehidupan sukses yang dibina oleh aktres Sofia Jane, dia sukses ketika zaman kegemilangannya dan bila berkahwin, dia juga sukses membina keluarganya. Seni bukan seperti bisnes, bakat tidak boleh diwariskan, tapi bisnes boleh," ujar Fasha meninggalkan satu 'alamat'.
Aura positif Sam
Patah kata lelaki paling popular 'genre' hiburan ini selalu bersimpul dengan ungkapan positif. Ditilik dua kali, ada sedikit kata-kata sarkastik tetapi benar dalam penyampaian mahu pun jawapan yang dituntut daripada setiap soalan yang diberikan. Dimulakan dengan ucapan Alhamdulillah, Sam merasakan 2011 berlalu dengan sangat baik malah merupakan bunga permulaan yang baik untuk dirinya.
"Syukur kerana saya diberi pengiktirafan dan penghargaan oleh penggiat industri perfileman dan para peminat. Pelbagai anugerah diberikan dan secara peribadi, ia memberi impak dan membuatkan saya mahu terus buat yang terbaik," ujarnya yang melihat semua itu sebagai pemacu untuk 2012.
Terus melihat ke terowong 2012, nekad Sam secara individu adalah untuk berbuat sesuatu dengan lebih baik. Pergi secara terperinci terhadap satu resolusi, sebelah kakinya sedang melangkah ke dunia penerbitan, bergelar produser.
MELIHAT hari muka sebagai anak seni semakin kompetetif, Sam tidak mahu hidupnya dikongkong lakonan semata-mata.


Menunduk ke bumi, walaupun diberi anugerah itu dan ini, Sam masih melihat dirinya bekerja keras dalam lapangan perfileman. Impak daripada kepercayaan yang diberikan khalayak, dia mahu segala itu dibalas.
"Saya mahu mendapat lebih kepercayaan daripada peminat apatah lagi merekalah yang memilih saya menggenggam anugerah. Jadi saya mahu segala itu terbayar (melalui lakonan yang jauh lebih baik)," ujar peminat aktor Javier Bardem ini.
Berasa tidak pernah selesa dalam status aktor tetapi mahu memastikan konsistensi, Sam mahu mencuba bidang yang lebih besar.
"Saya mahu menjadi produser kerana saya mahu membesarkan lakonan dan membawa ke arah penceritaan. Saya beri contoh, Tan Sri P. Ramlee yang mampu menjadi pelakon dan membuktikan bahawa dia seorang pencerita yang baik. Namun saya belum masak untuk menjadi seorang pengarah," jujurnya yang melihat dalam arena perfileman ada dua kategori penonton iaitu penonton yang gemarkan hiburan dan realisme.
"Jujurnya, sukar untuk mendapatkan sebuah naskhah dengan jalan cerita yang baik. Mulai Ogos hingga kini, saya belum dapat pengolahan jalan cerita yang baik, idea sudah ada," ujar Sam yang dipuji kelainan dalam persembahannya dalam filem Songlap.
Menyorot dalam penelitian tugasan produser, Sam ada pandangan peribadinya.
"Produser perlu ambil berat bila pengkritik filem mengkritik kerja pelakon. Produser juga perlu bagi masa bagi pelakon membuat kerja mereka dan menitik beratkan kerja pelakon dan jam bekerja mereka. Selalunya bila pelakon lambat ke set, salah akan dituding kepada pelakon walhal pihak pengurusan yang perlu pikul tanggungjawab," ujarnya yang akan muncul dengan drama secara perkongsian dengan kakaknya, Zizie Ezzete.
Melihat reaksi tidak mudah melenting yang dibawanya, elemen positif ini dilihat salah satu faktor-X yang membawa Sam berada di kelasnya.
"Saya banyak bersabar dan berfikiran positif. Saya rasa kalau kita bagi aura negatif, persekitaran turut terbiasa negatif. Adakalanya cuma 'memberi' dengan nada menyindir untuk difahami, itu lebih mudah," senyum pelakon yang bakal muncul dengan filem Adnan Sempit 2, Aku Ada Kau Ada, 8 Jam, Nongkrong dan SAM pada tahun ini.
Fasha sedia bergelar isteri
Dalam pada itu, Fasha meninggalkan 2011 sebagai tahun penuh tuah, kejayaan, bahagia dan keberhasilan bermain eksperimen.
Eksperimen yang dimaksudkan Fasha adalah percubaannya mengusahakan Salon Chinta sebagai bisnes pertamanya. Kejayaan pula dilihat daripada pencapaian merampas semula status Pelakon Drama Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular awal tahun lalu serta Best Skrin Couple Award yang dinilai berdasarkan drama hit, Cinta Elisya anjuran majalah Cosmopolitan, baru-baru ini.
Seperti terjerat istilah bahagia yang terucap dari bibirnya, cepat-cepat aktres bermata bundar itu meleretkan senyuman. Dia sangat faham pengertian bagaimana yang mahu dihuraikan.
"Saya mengharungi 2011 dengan perasaan gembira dan penuh keseronokan," katanya berbolak-balik sebelum topik 2012 mencari ruang.
Masuk ke tahun 2012 membawa watak Sharifah Zahra yang dipegang Fasha dalam filem seram terbaharu, Penanggal.
Drama arahan Ellie Suriaty Omar itu membentuk ungkapan baharu. Dia ditebak soalan yang paling ingin diketahui khalayak, adakah benar zaman solonya menuju titik noktah dalam beberapa bulan ini. Khabar angin tentang rancangan perkahwinannya dengan Jejai juga sedang bertiup kencang.
BERADA di zon selesa dalam lakonan, Fasha merasakan sudah tiba waktunya untuk dia berumah tangga.


"Tahun 2012 pula memberi lebih sinar, saya menjadi lebih dewasa, sedang menjangkau usia 28 tahun. Tahun 2012 juga saya akan ke Paris, Perancis kerana terlibat dengan penggambaran drama Seindah Sakura selama 10 hari.
"Tapi untuk menjawab persoalan perkahwinan, sejujurnya, saya tidak dapat memastikan apa yang akan berlaku di kemudian hari. Ajal, jodoh dan pertemuan itu rahsia Allah, saya tidak berani menjanjikan apa-apa tetapi secara peribadinya saya telah bersedia untuk masuk ke alam berumah tangga.
"Rasanya masa juga telah tiba, peminat juga mendoakan perkara yang serupa cuma saya tidak mahu beria-ria bercerita tentang perkara itu selagi saya belum benar-benar bersedia untuk menghebahkannya," dalam santun, sekali lagi Fasha seakan-akan memberikan jawapan hampir pasti atau dengan kata lain, tunggulah pengumuman di kemudian hari.
Sama ada mengakui ada tidak, reaksi itu menjelaskan sejauh mana kematangan Fasha berpegang pada pendiriannya. Selama ini juga, dia pernah jatuh kerana silap percaturan memberi reaksi terhadap kontroversi yang melanda tapi atas semangat untuk terus di sini, dia kembali dan banyak belajar dari kesilapan lalu.
"Macam ketika dikecam kerana berpakaian seksi baru-baru ini, saya tahu itu salah saya dan saya minta maaf. Dalam soal beri respons, rasanya saya semakin matang, dulu selalu cepat marah dan asyik nak melenting," akuinya adalah sesuatu yang sukar untuk bangkit semula selepas jatuh satu ketika dulu.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...