Sunday, January 1, 2012

Eina tolak lakonan berahi


MAHU lebih diberi peluang untuk meluaskan bakat lakonan bagaimanapun Eina menolak untuk melakonkan adegan berahi.

PUCUK muda ini jika dihitung pada usianya memang masih mentah. Namun perwatakannya yang dewasa memberi kelebihan buat Eina Azman untuk berdiri sebaris pelakon jelita lain.
Berusia 17 tahun pada tanggal 13 Mac depan, gadis sunti yang merupakan anak saudara penyanyi Juliza Adlizan ini komited tatkala merenung masa depannya dalam dunia hiburan.
Dia seakan menghitung setiap perjalanan kerjayanya biarpun masih bergelar pelajar sekolah. Meletakkan syarat-syarat tertentu untuk berkerja, pemilik nama sebenar Ainur Syakina Azman itu mahu perjalanan hidupnya menjadi sempurna.
Pada tahun ini, Eina terpaksa berkorban dengan memperlahankan seketika dunia seninya untuk memberi perhatian kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Oleh kerana pada November hadapan saya akan menduduki SPM, jadual penggambaran perlu disusun dengan sempurna.
"Fokus utama saya pada tahun ini adalah kepada peperiksaan itu dan mengenepikan seketika aktiviti seni. Saya sedaya upaya akan menamatkan semua penggambaran sebelum sesi persekolahan 2012 bermula," ujarnya ketika sesi fotografi di Studio Utusan, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sekilas pandang, Eina merupakan seorang yang seksi, bagaimanapun penampilan itu sebenarnya tidak menggambarkan identiti dirinya yang sebenar.
Mengaku masih belum bersedia untuk melakonkan adegan berahi, gadis manja yang berketinggian 170 sentimeter tersebut tetap meletakkan sempadan untuk menerima setiap tawaran.
"Saya masih meletakkan batasan ketika berlakon. Saya rasa masih belum cukup umur untuk melakukan aksi ranjang.
"Jadi saya tidak akan sesekali melakonkan watak-watak yang dianggap melampaui batas," kata gadis yang bakal berada di tingkatan lima di sebuah sekolah di Subang Jaya, Selangor.
Bercerita soal kerja, Eina sudah berlakon dalam dua buah filem dan beberapa drama termasuklah 5 Jingga, Mistik Alam Hitam dan Demi Masa.
Biarpun filem Ratu The Movie dianggap gagal, namun semangat Eina tidak pernah patah. Sebagai pembuka lembaran 2012, filem Sesuatu Yang Tertinggal bakal menjadi pertaruhan baharu Eina.
Membawakan watak sebagai seorang budak sekolah yang kuat membuli bernama Bella, filem yang diarahkan oleh Azrul Hisham itu bakal menemui peminat di pawagam pada 5 Januari ini.
Filem bergenre seram itu turut menampilkan barisan pelakon termasuklah Zahiril Adzim, Sara Ali, Shera Aiyob dan Daniel El Arash.
Tidak mahu statik dengan kerja lakonan sahaja, Eina tetap meneruskan impian ramai pihak terutamanya ahli keluarganya untuk menjadi penyanyi.
Gadis itu baru sahaja selesai menyiapkan sebuah lagu single yang dihasilkan sepenuhnya oleh komposer Adnan Abu Hasan.
Biarpun sekadar mencuba untung nasib dengan lagu berjudul Bahagia Bersamanya itu, fokus Eina tetap dalam bidang lakonan.
"Biarpun ramai ahli keluarga yang lebih suka saya menyanyi, tetapi pilihan saya tetap pada lakonan," kata Eina.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...