Monday, December 19, 2011

Malaysia tambah pingat emas



DARI kiri, Mohd. Fattah, Muhd. Arfy, Lauretta Eva , Ummi Hamimah dan Malek Marcus menunjukkan pingat yang mereka menangi semalam.


SKUAD trek negara menutup tirai pada Kejuaraan Lumba Basikal Trek Piala Asia ACC 2011 dengan bergaya apabila mengutip dua lagi pingat emas di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Dua pingat emas tersebut hadir menerusi pelumba remaja negara, Muhammad Arfy Qhairant Amran dan Lauretta Eva Adrian masing-masing dalam acara Keirin lelaki dan wanita remaja.
Ini adalah emas kedua disumbang pelumba berbakat, Arfy pada Piala Asia ACC 2011 itu selepas dia turut memenangi emas dalam acara pecut remaja lelaki kelmarin.
Secara keseluruhannya, Malaysia yang mempertaruhkan pelumba-pelumba skuad pelapis negara melabuhkan tirai pusingan ketiga itu di tangga ketiga dengan kutipan tiga pingat emas, dua perak dan empat gangsa.
Hong Kong muncul juara keseluruhan siri terakhir Piala Asia ACC 2011 itu dengan 12 pingat emas, enam perak dan tiga gangsa, diikuti Iran (5-5-3), Jepun di tempat keempat (2-6-3) dan Thailand kelima (1-3-2).
Pengurus skuad trek kebangsaan, Datuk Naim Mohamad jelas sekali gembira dengan peningkatan positif pelumba-pelumba daripada program pelapis ini yang membuktikan potensi sebenar yang ada dalam diri mereka.
"Walaupun kita menduduki tempat ketiga keseluruhan, bagi saya ia adalah suatu pencapaian yang positif kerana kita menurunkan pelumba daripada skuad pelapis sahaja," kata Naim semalam.
"Tujuan utama kita menurunkan skuad pelapis serta pasukan Serantau Pulau Pinang dan Serantau Ipoh adalah untuk memberi pendedahan yang berterusan kepada pemain remaja kita.
"Kita tidak boleh bandingkan dengan pencapaian pasukan Hong Kong kerana mereka menurunkan barisan pelumba elit mereka di sini, sebab itu mereka muncul juara keseluruhan," tambahnya lagi.
Menurut Naim, tiga siri pusingan Trek Piala Asia ACC yang berlangsung di tiga gelanggang iaitu Jepun, Bangkok dan Kuala Lumpur merupakan platform terbaik dalam program pembangunan sukan trek berbasikal negara.
Malah kata Naim, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) juga sedang merangka program untuk melahirkan pelumba baharu bagi skuad Olimpik 2016.
"Kita sedang melihat kepada pembangunan sukan trek berbasikal bagi masa akan datang iaitu perancangan untuk melahirkan pelumba bagi program Sukan Olimpik 2016 nanti.
"Justeru, Trek Piala Asia ACC ini dilihat amat penting dan menjadi kayu pengukur dalam aspek pendedahan dan pengalaman pemain-pemain remaja kita bagi jangka masa lima atau enam tahun lagi," kata Naim lagi.
Selain dua emas, skuad negara turut memenangi satu perak menerusi acara pecut berpasukan lelaki, satu gangsa menerusi Mohd. Fattah Amri Zaid (Keirin lelaki), manakala Malek Marcus Mc Crone dari serantau Pulau Pinang memenangi gangsa (Keirin remaja lelaki) dan pelumba Serantau Ipoh, Ummi Hamimah Mohamad turut membawa pulang gangsa (Keirin remaja wanita).
Dalam kutipan mata Piala Asia ACC pula, skuad negara menduduki tempat kelima dengan 44 mata di belakang Taiwan (47), manakala Hong Kong muncul juara keseluruhan (153), diikuti Jepun (136) dan Iran (114) selepas tiga siri ACC 2011.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...