TANGANNYA kejap memegang berus. Pantas sahaja tari jari-jemarinya mengoleskan pelbagai rona cat pada permukaan dinding di dalam bilik Skim Pinjaman Buku Teks (SBPT) Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Sesekali lelaki berusia 45 tahun dan berkumis tebal itu mencuri pandang ke arah kanta pembesar khas di tangan kirinya sambil tangan kanannya memegang berus untuk mengadun warna supaya hasil lukisan muralnya itu nanti nampak realistik.
“Melukis mural pada permukaan dinding tidak sama seperti melukis di atas kanvas kerana mural adalah lukisan berskala besar dan mencabar kemahiran seseorang pelukis.
“Ia memerlukan ketekunan, kesabaran, ketelitian yang sangat tinggi kerana terpaksa mengejar masa dan ‘berperang’ dengan cuaca jika mural dilakukan di kawasan yang terbuka,” kata Mohd. Jalaludin Ahmad Ramli yang juga dikenali dengan nama Lal.
Anak kelahiran Ipoh, Perak itu sudah 11 tahun melukis mural sepenuh masa walaupun pada awalnya dia lebih aktif sebagai kartunis, ilustrator dan pengajar seni. Lal juga pernah menimba pengalaman dan berkhidmat di beberapa buah syarikat penerbitan dan produksi.
Menurut Lal, mural bukan sekadar lukisan penghias dinding malah mural yang baik sewajarnya dapat melimpahkan aura atau roh yang memberikan impak kepada sesiapa sahaja yang menatapnya.
“Melukis di permukaan dinding agak mencabar kerana bukan sahaja saiznya yang besar malah permukaannya juga tidak licin dan rata hingga menyukarkan proses mewarna.
“Sungguhpun begitu, ia bukan alasan untuk berkompromi dengan kualiti mural yang bakal dihasilkan,” ujar Lal yang mula serius menajamkan skil melukis mural pada tahun 2001 atas saranan seorang rakan yang mahukan dirinya mencari kelainan dalam berkarya.
Lal memberitahu, sebelum sesuatu mural itu dihasilkan, dia perlu mengetahui skop atau tema yang dikehendaki dan mula membuat beberapa lakaran di atas kertas sebelum dibentangkan kepada pelanggannya.
“Ia umpama melukis di atas sebuah kanvas yang amat besar. Banyak benda perlu ditekankan, kena jaga ukuran, jarak, saiz, subjek yang perlu dilukis, latar belakang, latar depan, latar tengah dan sebagainya.
“Mungkin anda sendiri lihat ia nampak mudah dilakukan, tetapi hakikatnya ia tidak. Hanya mereka yang betul-betul mahir mampu menghasilkan mural yang benar-benar hidup sehingga mampu memberi kesan terhadap mereka yang melihatnya,” ujarnya.
Katanya, eksploitasi warna juga memainkan peranan dalam penghasilan mural. Jika tidak, ia bagaikan tidak bernyawa dan hambar.
Baginya, seseorang pelukis mural itu perlu menjiwai karya yang mahu dilukisnya dan perlu fokus apabila sudah mula memegang berus.
“Ada juga lakaran yang dibuat ditolak oleh pelanggan dan terpaksa dibuat semula. Bagi saya, itu sudah jadi lumrah, kehendak dan kepuasan pelanggan menjadi keutamaan. Oleh itu, saya lebih suka pelanggan sendiri yang melontarkan idea kerana prosesnya akan menjadi lebih mudah.
“Ada juga pelukis mural yang menggunakan projektor untuk dilakar pada permukaan dinding kerana ia lebih menjimatkan masa tetapi bagi saya dengan cara itu kemahiran yang ada tidak dapat digunakan sepenuhnya,” ujarnya yang lebih puas jika dapat melakar sendiri di dinding kerana itulah cabaran yang perlu dipikul oleh pelukis mural.
Warna asas
Selepas dilakar, proses mewarna pula mengambil tempat. Lal memberitahu, pewarnaan tidak bertumpu kepada sesuatu objek atau subjek sahaja tetapi ia dimulakan dengan mencalitkan warna-warna asas terlebih dahulu.
Setelah itu, mural tersebut dikemaskan lagi dengan adunan warna bagi memberikan nyawa pada imej, subjek dan mesejnya.
Ternyata apa yang dibicarakan Lal benar. Pandangan mata penulis dan jurugambar Ahmad Zakki Jilan di SMK Taman Setiawangsa dijamu dengan pelbagai lukisan mural yang indah.
Setiap karya muralnya dilukis dalam rupa berbingkai untuk menghiasi bangunan blok A, B, C dan D sekolah berkenaan. Lal sendiri telah menghasilkan puluhan mural di sekolah itu sejak tahun 2008.
Lukisan mural pemandangan sungai di blok B dan mural yang bertajuk Lestarikan Alam Hijau Kita dapat mententeramkan minda sekali gus menyejukkan pandangan mata tatkala cahaya terik menyimbah ketika kunjungan waktu tengah hari baru-baru ini.
Subjek rumit
“Cepat atau lambat sesebuah mural untuk disiapkan bergantung pada saiz mural itu sendiri dan subjek yang mahu dilukis. Jika subjeknya rumit, ia mengambil masa kerana ia memerlukan ketelitian tinggi.
“Hayat mural yang dilukis boleh mencapai sehingga enam tahun kerana saya menggunakan cat yang berkualiti tinggi. Mural ini bukan sahaja menjadi penghias di dinding-dinding bangunan sekolah, malah ia boleh dilakukan di pejabat, restoran, tadika, rumah dan sebagainya,” ujarnya yang turut mengadakan kelas lukisan dari rumah ke rumah.
Tambahnya yang sudah melukis beratus-ratus mural, caj yang dikenakan bagi sesuatu mural dikira berdasarkan saiz dan kerumitan subjek yang perlu dilukis. Bagi ukuran 24 kaki x 10 kaki boleh mencecah sehingga RM2,000 hingga RM3,000 namun harga masih boleh dibawa berbincang.
Jika tidak betah melakukan tugasan melukis mural, Lal lebih suka mendapatkan khidmat ‘anak muridnya’, Mohd. Fikri Sapie, 30.
“Seperti Abang Jalal, saya juga gemar melukis sejak kecil, cuma tiada kesempatan untuk melebarkan kemahiran ini.
“Saya akan membantunya jika ada keperluan dan kelapangan. Walaupun tiada pengalaman secara formal mempelajari seni lukisan sepertinya, dia tidak lokek untuk memberikan tunjuk ajar,” katanya yang masih dalam proses belajar selok-belok seni mural.
Sama seperti orang lain, Mohd. Fikri juga pernah menganggap melukis mural adalah satu tugas yang mudah tetapi jangkaan itu meleset.
“Ia nampak mudah, tetapi seseorang itu perlu mempunyai kesabaran, ketelitian dan disiplin yang tinggi bagi menghasilkan mural berkualiti,” katanya yang memasang impian untuk bergerak sendiri jika sudah penuh ilmu mural di dada.
Tidak menyesal
Sementara itu, seorang lagi pelukis mural, Norshahrizal Sapiai, 34, tidak pernah menyesali pembabitannya dalam bidang seni mural walaupun dirinya memiliki Ijazah Undang-Undang Sivil dan Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
“Persepsi sesetengah orang bahawa pelukis mural seperti kami ini tidak boleh ke mana-mana dan tiada masa depan ternyata silap sama sekali.
“Walaupun pada awalnya, keluarga saya sendiri tidak mempersetujui dengan keputusan saya berkecimpung dalam bidang ini, kini saya membuktikannya bahawa saya boleh berjaya,” katanya yang mempunyai syarikatnya sendiri sejak tahun 2002.
Kini, anak kelahiran Pengkalan Chepa, Kelantan mempunyai lapan orang pekerja terlatih yang membantunya menerajui perniagaan melukis mural di sekitar Lembah Klang.
“Karya mural saya lebih kepada seni tulisan khat. Itu kelebihan saya berbanding pelukis-pelukis mural yang lain.
“Selain melukis mural di sekolah-sekolah, saya turut melakukannya di masjid-masjid,
No comments:
Post a Comment