KEBIRUAN air di permukaan laut berhampiran Pulau El Hierro iaitu salah sebuah pulau di Kepulauan Canary tiba-tiba 'dihiasi' dengan kewujudan gelembung buih-buih yang muncul dari dasar laut awal bulan ini. Turut kelihatan gumpalan magma berwarna kehitaman melatari permukaan laut.
Semua itu berpunca daripada aktiviti gunung berapi dasar laut di kawasan tersebut yang dilaporkan semakin aktif selepas satu gempa bumi berukuran 4.3 pada Skala Ricther melanda pulau tersebut pada 5 November lalu.
Gempa bumi berkenaan menyebabkan gunung berapi dasar laut di luar Pulau El Hierro itu memuntahkan material berupa gas dan asap hitam setinggi 18 meter ke udara yang dipenuhi bau sulfur selain menyebabkan ia kelihatan terapung di permukaan laut.
Kepulauan Canary yang terdiri daripada tujuh buah pulau serta beberapa buah pulau kecil walaupun berlokasi sekitar 100 kilometer dari pesisir pantai Maghribi di utara Afrika bagaimanapun sebenarnya merupakan wilayah di bawah autonomi Sepanyol.
Selain Pulau El Heirro, enam pulau lain di Kepulauan Canary ialah Tenerife, Gran Canaria, Fuerteventura, Lanzarote, La Palma dan La Gomera. Pada pertengahan Oktober lalu, pihak berkuasa Sepanyol telah mengeluarkan arahan untuk menutup akses ke bandar pelabuhan La Restinga di selatan Pulau El Heirro rentetan aktiviti gunung berapi dasar laut itu.
Ini termasuklah meminta kapal-kapal yang berada di sekitar pelabuhan beredar meninggalkan kawasan perairan tersebut dan pesawat udara turut dilarang melakukan penerbangan di lokasi berkenaan.
Selama lebih sebulan, penduduk di kepulauan tersebut terpaksa hidup dengan gunung berapi dasar laut aktif yang bukan sahaja memberi ancaman keselamatan, bahkan turut menakutkan pelancong dan membahayakan kehidupan penduduk serta habitat sekitarnya.
Magma di permukaan laut
Para saintis tempatan memberitahu, aktiviti di gunung berapi dasar laut itu telah bermula sejak 17 Julai lalu dengan lebih 10,000 gegaran direkodkan.
"Letusan gunung berapi itu berlaku selama seminggu dan ia menyebabkan kerajaan bertindak memindahkan kira-kira 600 penduduk ke kawasan selamat," kata wakil perlindungan sains sivil, Carmen Lopez bulan lalu.
Berdasarkan kronologi, dasar laut Pulau El Hierro mula menggegar sejak 19 Julai lalu dengan memberi petanda melalui kemunculan gumpalan magma yang kelihatan di permukaan laut pulau terkecil di Kepulauan Canary itu.
"Letusan itu juga menyebabkan gumpalan besar magma berwarna kehijauan terbentuk di permukaan laut," kata seorang penduduk.
Sementara itu, pakar gunung berapi, Juan Carlos Carrecedo berkata, terdapat gumpalan magma di permukaan laut yang menghasilkan siri pecahan sekali gus menjana aktiviti seismik.
"Kita tidak tahu jika gumpalan magma tersebut akan memecahkan kerak dan mencetuskan letusan lebih besar. Letusan kemungkinan akan berlaku dalam tempoh sehari, seminggu mahupun sebulan," jelasnya memberi amaran yang letusan itu dijangka akan berterusan.
Beberapa letusan besar juga menyebabkan ia dapat dilihat dari jarak paling hampir iaitu 1.5 kilometer dari pesisir pantai di selatan El Hierro.
"Senario terburuk yang kami bimbang jika berlaku adalah letusan di daratan," ujar Ketua Keselamatan Kepulauan Canary, Juan Manuel Santana kepada akhbar harian El Pais.
Sebuah pulau baharu
Apa yang pasti, pakar geologi turut berpendapat bahawa terdapat kebarangkalian letusan dari dasar laut itu mampu 'melahirkan' sebuah pulau baharu di Kepulauan Canary.
Khabar itu juga menyebabkan beberapa nama untuk 'bayi' Kepulauan Canary itu telah dicadangkan menerusi Internet, antaranya seperti Atlantis, Discovery atau The Beast.
Menguatkan lagi kemungkinan daratan baharu akan muncul menerusi pembentukan magma yang meletus itu apabila Institut Geografi Kebangsaan Sepanyol (IGN) menyatakan letusan tersebut hanya terletak kira-kira 69 meter atau 225 kaki dari permukaan laut.
Apa yang pasti, kemungkinan mengenai munculnya pulau baru itu menyebabkan keghairahan dalam kalangan orang ramai. Walaupun kerajaan telah mengarahkan supaya penduduk berpindah ke tempat yang selamat, keterujaan untuk melihat muncul daratan baharu hasil daripada letusan dan magma yang dimuntahkan menyebabkan ramai warga El Heirro berada di kawasan tinggi berdekatan pantai.
Salah sebuah akhbar tempatan, La Provoncia melaporkan, 'Raksasa akan muncul dari lautan' merujuk kepada daratan yang dikatakan bakal muncul. Bahkan, beberapa akhbar pula berdebat mengenai siapakah yang akan bertanggungjawab ke atas wilayah baharu itu.
Bagaimanapun, menurut IGN, nama serta pentadbiran baharu kemungkinan tidak diperlukan memandangkan sekiranya kekuatan letusan itu memunculkan daratan di permukaan laut, ia tidak mustahil akan bergabung dengan pesisir pantai Pulau El Hierro memandangkan jaraknya yang tidak jauh sekitar tiga kilometer sahaja.
Menariknya, menyorot kembali tentang asal usul Kepulauan Canary itu sebenarnya hampir kesemua pulau di situ ialah pulau volkanik atau pulau gunung berapi. Pulau tersebut dikatakan muncul sejak jutaan tahun dahulu menerusi letusan gunung berapi selain sewaktu peristiwa zaman Jurassic semasa pembukaan kerak lautan Atlantik.
Bergantung kepada kekuatan
Sementara itu, pakar geologi, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd. Ali Hassan pula tidak menolak kemungkinan letusan gunung berapi dasar laut di Pulau Hierro boleh menyebabkan sebuah pulau baharu boleh terbentuk.
"Namun semuanya bergantung kepada kekuatan letusan gunung berapi dan jarak kawasan letusan sama ada berlaku hampir atau jauh dengan permukaan laut.
"Malah amaun letusan yang dikeluarkan pada permukaan baru juga diambil kira. Jika letusannya banyak jadi ia berupaya membentuk sebuah pulau baharu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
No comments:
Post a Comment