
RONALDO menyumbat dua gol untuk membantu Portugal mencatat kemenangan 6-2 ke atas Bosnia-Herzegovina awal pagi semalam.
LISBON - Portugal mengesahkan slot ke pusingan akhir Euro 2012 selepas membelasah Bosnia-Herzegovina 6-2 pada aksi playoff kedua di Lisbon awal pagi tadi.
Kemenangan ke atas Bosnia yang bermain dengan 10 pemain itu membolehkan Portugal menang dengan agregat 6-2 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada pertemuan pertama minggu lalu.
Dua gol masing-masing menerusi Cristiano Ronaldo dan Helder Postiga memberi inspirasi kepada finalis Euro 2004 itu, sekali gus menewaskan pasukan yang turut disingkirkan pada aksi kelayakan untuk pusingan akhir Piala Dunia 2010.
Portugal terlepas peluang untuk layak secara automatik ke Poland dan Ukraine selepas tewas kepada Denmark pada aksi terakhir di peringkat kumpulan.
"Kami menunjukkan komitmen yang tinggi hari ini," kata jurulatih Portugal, Paolo Bento.
"Kami kehilangan arah sebanyak dua kali, kedua-duanya bertentangan dengan arus permainan dan menyebabkan kami sedikit resah. Bagaimanapun, kami kembali melawan dan berhak ke atas kemenangan ini," katanya.
Selepas seri tanpa jaringan di Zenica minggu lalu, Portugal menerima teka- nan yang hebat untuk beraksi lebih baik pada perlawanan kedua dan pada masa sama, Bosnia mengintai peluang bagi melayakkan diri ke kejohanan utama buat pertama kali.
Pada aksi tersebut, Ronaldo itu meletakkan Portugal di hadapan menerusi sepakan percuma dari jarak 25 meter hanya pada minit kelapan sebelum rakan sepasukannya, Nani menambah gol kedua minit ke-24.
Begitupun, gol Zvjezdan Misimovic menerusi satu sepakan penalti pada minit ke-40 menghidupkan semula peluang Bosnia sebelum Ronaldo mempamerkan kehebatannya untuk melepasi benteng pertahanan lawan, sekali gus menewaskan penjaga gol Asmir Begovic minit ke-53.
Bosnia terus ditimpa malang selepas Senad Lulic diarah keluar padang kerana membantah keputusan pengadil sebelum rakan sepasukannya, Emir Spahic berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-66.
Bagaimanapun, dua jaringan Helder Postiga dan satu menerusi Miguel Veloso dalam tempoh 20 minit terakhir meranapkan sama sekali impian Bosnia. - Agensi
No comments:
Post a Comment