
SERDANG – Guru besar dan pengetua yang terlibat dalam proses pengeluaran serta pengagihan wang bantuan persekolahan RM100 kepada kepada kira-kira 5.5 juta pelajar di seluruh negara akan mendapat perlindungan polis.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, perlindungan itu bertujuan mengatasi kemungkinan guru besar dan pengetua yang diiringi guru-guru penolong kanan terlibat menjadi sasaran penjenayah.
“Kementerian Pelajaran akan bekerjasama dengan pihak polis dalam proses pengeluaran dan pengagihan wang bantuan persekolahan tersebut.
“Atas faktor keselamatan lebih baik diiringi polis untuk mengeluarkan wang daripada bank sehingga mengagihkan wang bantuan persekolahan di sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Hari Keluarga Warga Kementerian Pelajaran Malaysia 2011 yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ka Siong seterusnya berkata, kerjasama dengan pasukan polis itu merupakan langkah pencegahan yang wajar dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Justeru, kata beliau, Kementerian Pelajaran menasihatkan pihak sekolah supaya mematuhi semua aspek keselamatan termasuk menghubungi pihak polis untuk membuat pengaturan bagi pengeluaran dan pengagihan wang itu.
Dalam pada itu, katanya, pengagihan terus kepada pihak sekolah paling senang dan cepat berbanding cadangan sesetengah pihak supaya wang bantuan itu dimasukkan ke dalam akaun ibu bapa atau penjaga pelajar.
“Kerajaan tidak mahu menyulitkan ibu bapa khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan bank,” katanya lagi. – mynewshub.my
No comments:
Post a Comment