“SAYA akan mengingati Frazier dengan penuh rasa hormat dan mengagumi kehebatannya sepanjang hayat.’’ Demikian kenyataan pendek musuh peninju dunia, Joe Frazier, 67, Muhammad Ali berhubung kematian legenda itu baru-baru ini.
Kematian Joe disebabkan kanser hati itu diumumkan keluarganya sendiri selepas legenda itu disahkan menghidapi penyakit itu September lalu dan diletakkan di bawah seliaan hospital beberapa hari sebelum tarikh kematiannya.
Tiga pertemuan dalam gelanggang tinju tumpuan ramai itu cukup menjadikan Frazier dan Ali sebagai ikon tinju dunia yang tiada tolok bandingnya.
Trilogi pertembungan dua gergasi sukan yang menjadi fenomena suatu ketika dulu bermula pada tahun 1971 di arena tersohor, Madison Square Garden. Bahkan, ia dilabel sebagai Perlawanan Abad Ini.
Menerusi aksi sulung mereka itu, Ali, ditumbangkan oleh Frazier selepas mengharungi 15 pusingan getir dan seterusnya menjadikan Frazier sebagai peninju pertama menewaskan Ali.
Memori 40 tahun dulu itu sentiasa segar dalam ingatan ketika hayatnya. Ia disuarakan Frazier sendiri beberapa bulan sebelum kematiannya apabila beliau berbicara tentang kehidupan, karier dan hubungannya dengan Ali.
“Ke mana sahaja saya pergi, saya tidak boleh untuk tidak bercakap soal kemenangan itu, ia merupakan perkara terbaik pernah terjadi dalam hidup saya,” kongsi Frazier jujur kepada pemberita The Associated Press (AP).
Dengan jolokan Smokin’ Joe, kemenangan epik itu membuatkan nama Frazier disebut-sebut sebagai seteru utama Ali, malah sehingga akhir hayat Frazier pun, beliau masih tidak boleh lari daripada bayangan Ali.
Dengan berat hanya 93 kilogram, Frazier membuktikan bahawa saiz bukan ukuran untuk menumbangkan lawannya. Beliau membuktikan kejayaan itu pada tahun 1970 tatkala menewaskan Jimmy Ellis di Madison Square Garden.
“Beliau mempunyai fizikal yang agak kecil untuk kategori heavyweight tetapi Frazier cukup terkenal sebagai peninju yang ganas dan mahir melemahkan lawannya menerusi siri tumbukan pantas termasuklah tumbukan sauk kanan yang menumbangkan Ali ketika perlawanan pertama mereka,” dedah penganjur tinju, Don King.
Kembali bersemuka dengan Ali untuk kali kedua di gelanggang yang sama pada tahun 1974, Frazier gagal mengekalkan penguasaannya ke atas Ali apabila tewas selepas bergelut dalam 12 pusingan.
Melengkapkan trilogi Ali-Frazier selaku musuh tradisi ialah pada 1975 dalam perlawanan hebat digelar Thrilla in Manila yang berlangsung di Filipina. Ia menyaksikan kegagalan Joe mengulangi kejayaan pertamanya apabila tewas selepas mengharungi 14 pusingan.
Pencetus inspirasi
Enggan mengaku kalah, Frazier berdegil mahu menghabiskan pusingan terakhir walaupun pandangan matanya telah kabur ketika itu hinggakan jurulatihnya, Eddie Futch terpaksa menariknya ke penjuru gelanggang.
Walaupun tewas, Frazier tidak memberi laluan mudah buat Ali dan ia diakui oleh Ali sendiri yang menyatakan bahawa momen perlawanan itu merupakan gambaran paling dekat terhadap kematian.
“Saya ingin memberitahu dunia bahawa Frazier memaksa saya bekerja keras dan merupakan peninju yang bertanggungjawab menjadikan saya sebagai yang terbaik.
“Dia merupakan peninju terhebat sepanjang zaman di samping saya,” jelas Ali pada satu sesi temu ramah usai perlawanan tersebut,” bukti Frazier antara pengaruh tinju ternama dunia menerusi kenyataan yang dikeluarkan bekas penulis sukan tinju AP, Ed Schuyler Jr.
Biarpun dimamah usia, Frazier tidak memilih untuk lenyap terus daripada dunia tinju, dia tetap menghadirkan diri di beberapa pertandingan tinju bagi menunjukkan sokongan dan memenuhi undangan.
Pada bulan September lalu, Joe dilihat dalam keadaan sihat dan gembira menandatangani autograf buat orang ramai yang hadir bagi menyaksikan perlawanan antara Floyd Mayweather Jr. dan Victor Ortiz di Hotel MGM Grand, Las Vegas.
Pemergian Joe mengundang kedukaan kepada beberapa atlet-atlet muda hari ini antaranya termasuklah peninju Floyd. Flyod, menerusi laman sosial Twitter menyatakan bahawa sukan tinju telah kehilangan seseorang yang hebat.
Sukan Olimpik
Dilahirkan di Beaufort, South Carolina, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1944, anak bongsu daripada 12 beradik itu mula meminati sukan tinju selepas menonton satu perlawanan tinju di televisyen.
Anak kepada pasangan Rubin dan Dolly itu membesar di ladang tembikai dan kapas milik ibu bapanya. Awal tahun 50-an, Frazier sudah mula mengenali dunia tinju menerusi kaca televisyen hitam putih di rumahnya.
Perlawanan antara Sugar Ray Robinson dan Rocky Marciano menjadi pencetus rasa cinta Joe terhadap sukan tinju. Kesungguhan itu disaksikan sendiri oleh bapa saudara Frazier, Israel yang menyatakan bahawa Joe bakal menjadi pengganti Joe Louis.
Bagi memulakan ‘latihan’ sendiri, Joe membuat sendiri beg tumbuk menggunakan guni yang diperbuat dari gentian gumpalan kapas.
Dengan beg tumbuk ciptaannya itulah Frazier melatih dirinya saban hari menjadi peninju sehinggalah dia mengalami kemalangan yang mengakibatkan kecederaan pada tangan kirinya.
Kemalangan yang mewujudkan tumbukan padu sauk kiri yang sinonim dengan Frazier itu berlaku gara-gara hobinya yang suka mengganggu seekor khinzir seberat 136kg belaan keluarganya. Suatu hari khinzir itu mengamuk dan mengejar Frazier sehingga dia terjatuh.
Pada usia 15 tahun, Frazier bercanggah pendapat dengan seorang pemilik ladang kulit putih tempat dia bekerja dan beliau kemudian berpindah ke New York bersama abangnya, Tommy.
Memulakan perjalanan sebagai peninju, Joe mengekalkan gelaran Middle Atlantic Golden Gloves heavyweight untuk tiga tahun berturut-turut bermula dari tahun 1962 hingga 1964 dan rekod kekalahannya hanya kepada seorang peninju, Buster Mathis Sr.
Walaupun tewas kepada Mathis untuk pusingan kelayakan ke Olimpik, kecederaan tangan yang dialami Mathis ketika membuat tumbukan di kepala Joe mengubah takdir Frazier apabila dia diangkat sebagai pengganti Mathis mewakili negaranya ke Sukan Olimpik pada 1964.
Bermula sebagai peninju amatur terkenal di awal pembabitannya, kecintaan Joe dalam dunia tinju semakin menyinar setelah dia menjadi satu-satunya rakyat AS yang berjaya memenangi pingat emas di temasya sukan Olimpik di Tokyo, Jepun pada tahun 1964.
“Dia peninju yang berdiri untuk diri sendiri dan tidak memberi belas kasihan ketika beraksi, Frazier akan memberi keupayaannya 100 peratus di gelanggang dan dia tidak pernah patah semangat,” kata promoter tinju, Bob Arum mengenang kembali kemenangan Joe pada Sukan Olimpik dahulu walaupun mengalami kecederaan pada ibu jari tangan kiri pada pusingan akhir.
Mula digelar peninju profesional pada tahun 1965, nama Frazier semakin harum dalam sukan tinju dan digeruni peninju-peninju lain disebabkan kehebatan tumbukannya.
Selepas bersara daripada dunia tinju, Frazier mengalami masalah kewangan dan membuka sebuah gim di Philadelphia yang kemudiannya ditutup tidak berapa lama selepas itu.
Anak perempuan Joe, Jacqui Frazier-Lyde membuat keputusan untuk mengikut jejak langkah ayahnya pada usia 38 tahun untuk beraksi di gelanggang tinju.
Tahun 2001 menyaksikan pertembungan anak perempuan kedua-dua musuh tersebut, Jacqui menentang anak perempuan Ali, Laila Ali dan gagal mencipta sejarah seperti ayahnya, Jacqui tewas di tangan Laila pada pusingan kelapan.
Melaka Dulu!
No comments:
Post a Comment