JAKARTA - Seorang pelajar Malaysia di Indonesia, Adrian Jay Pereira mati dibunuh kelmarin selepas keluar menjejaki penjenayah yang disyaki cuba mencuri motosikal yang baru dibelinya.
Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Ludinata Misnun berkata, berdasarkan keterangan polis, kejadian yang menimpa Adrian, 23, bermula pada pukul 6.30 petang di rumahnya di bandar Malang, Jawa Timur apabila dia bersama dua rakan serumah terdengar bunyi bising di luar kediaman mereka.
Menurut beliau, Adrian yang keluar menyiasat bunyi bising itu tidak menemui apa-apa yang aneh namun dia mengesyaki ada orang cuba mencuri motosikal yang baru dibelinya.
Pelajar itu kemudian berpesan kepada dua rakan serumahnya supaya mengunci pintu dan menunggu dia di dalam rumah, sementara dia menaiki motosikal untuk mencari pihak yang disyaki berniat jahat itu.
Tidak berapa lama kemudian selepas gagal menemui orang yang dicari, Adrian pulang semula ke rumah dan sejurus berhenti di luar rumah, dia secara tiba-tiba ditetak dengan senjata tajam di bahagian kanan lehernya oleh orang yang tidak dikenali.
Semasa serangan itu, Ludinata berkata, Adrian dilaporkan masih duduk di atas motosikalnya.
Polis percaya dua penjenayah terlibat dalam kes itu.
Ludinata memberitahu, pihak berkuasa Indonesia mengklasifikasikan pembunuhan pelajar Malaysia itu sebagai kes jenayah semata-mata dan tiada kaitan dengan motif lain termasuk balas dendam.
Kata beliau, polis Indonesia sedang memburu dua suspek berhubung kejadian itu namun sehingga berita ini ditulis, belum ada sebarang tangkapan dibuat.
"Pihak Hospital Saiful Anwar, Malang, telah selesai menjalankan bedah siasat ke atas jasad Adrian pada pukul 2.45 petang waktu tempatan dan sedang menguruskan penyerahan mayat itu kepada Kedutaan Besar Malaysia untuk dihantar pulang ke tanah air," kata beliau ketika dihubungi di Malang.
Adrian ialah mahasiswa Fakulti Perubatan, Universiti Brawijaya, Malang, Jawa Timur.
Ludinata berkata, hasil bedah siasat itu menyimpulkan bahawa kematian Adrian disebabkan luka parah pada leher sebelah kanan akibat ditetak dengan objek tajam.
Katanya, keluarga mendiang Adrian diwakili seorang bapa saudaranya dan seorang peguam untuk melihat keadaan mayat mendiang di hospital itu semalam.
Jasad Adrian akan dihantar pulang ke tanah air dengan pesawat Penerbangan Malaysia pada pukul 10.40 pagi waktu tempatan hari ini dari Lapangan Terbang Juanda, Surabaya dan dijadual sampai di KLIA, Sepang pada pukul 2.15 petang waktu Malaysia.
Seramai 173 pelajar Malaysia sedang menuntut di Malang pada masa ini dan daripada jumlah itu, 161 orang belajar di Universiti Brawijaya.
Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menasihati semua pelajar Malaysia yang berada di Indonesia supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.
Khaled berkata, pihaknya menuntut agar pihak berkuasa Indonesia melakukan siasatan terperinci berhubung kes itu.
No comments:
Post a Comment