Saturday, November 26, 2011

Papua: Aura eksotik syurga terpencil



DI KAWASAN lagun yang berwarna firus, beberapa buah pondok dibina sebegitu unik memenuhi kawasan yang kaya dengan terumbu karang dan pemandangan samudera lautan yang mempesonakan. Panorama itu hampir menyamai Koh Lanta, Thailand.
Jajaran kepulauan yang digelar Raja Ampat itu merupakan rangkaian empat gugusan pulau yang berdekatan dan terletak di bahagian barat Papua, yang berada di bawah pemerintahan Indonesia. Ia adalah lokasi tumpuan para penyelam yang tertarik dengan keindahan pemandangan bawah lautnya.
Empat gugusan pulau itu dinamakan menurut empat pulau terbesarnya, iaitu Pulau Waigeo, Pulau Misool, Pulau Salawati dan Pulau Batanta. Secara keseluruhannya, kepulauan Raja Ampat sebenarnya lebih besar dari Teluk Halong di Vietnam.
Kepulauan istimewa itu terbentuk daripada kira-kira 610 buah pulau yang bertaburan di kawasan seluas 4.5 juta hektar, sekali gus mempunyai hamparan pantai sepanjang 753 kilometer.
Menurut satu kajian daripada yang diiktiraf sebagai rujukan pada tahun 2002 oleh organisasi bebas, Konservasi Antarabangsa (CI), teluk tersebut berkemungkinan memiliki kepelbagaian biodiversiti marin yang sangat penting di dunia.
Kenyataan pejabat pelancongan menjelaskan bahawa gugusan kepulauan tersebut telah dicadangkan untuk diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
"Pulau tersebut merupakan syurga terakhir di dunia. Ini mungkin benar," jelas kenyataan dari Pejabat Pelancongan Papua.
Pada tahun ini, pulau syurga itu hampir kosong berbanding tahun lalu yang mengundang seramai 4,515 pengunjung.

IMEJ daripada Jabatan Marin dan Perikanan Wilayah Raja Ampat ini jelas menunjukkan zon habitat dasar laut yang cukup mempesonakan.


Di kawasan berkeluasan 1,000 hektar itu terletak tujuh buah resort dan setiap resort mempunyai sedozen vila. Di Perancis, walaupun lokasi itu menjadi latar belakang bagi sebuah program televisyen berjudul Koh Lanta, namun kepulauan tersebut masih tidak diketahui ramai.
Mutiara Asia itu masih lagi dikawal rapi sekali gus terpelihara rahsianya.
Pelancong Barat semakin ramai datang ke kepulauan tersebut semata-mata mahu menyelam selama 30 jam bagi mencari ketenangan dan meningkatkan motivasi diri mereka.
Lokasi menyelam
"Tempat ini merupakan lokasi terbaik untuk menyelam. Saya menyelam di semua kawasan menarik yang terdapat di sini," kata Pam Roth, 78, dari Britain yang merupakan seorang pesara.
Walaupun begitu sekali tarikan keindahannya, pembangunan sebenarnya sedang berlangsung dan tersembunyi di sebalik pokok-pokok kelapa. Di hujung jalan hutan dekat sebuah kawasan teluk yang terpencil, terdapat sebuah landasan kapal terbang yang sedang dalam pembinaan. Projek tersebut dikhuatiri akan mencemarkan sedikit air lautnya yang jernih itu.
Kedengaran ngauman mesin gergaji yang menyelubungi bunyi nyanyian burung-burung eksotik di pulau itu.
Pokok-pokok di situ juga ada yang ditebang untuk memberi ruang kepada pembinaan sebuah lapangan terbang yang dijangka akan beroperasi tahun depan.
"Kami berharap untuk membawa lebih ramai pelancong ke sini," kata Pegawai Kementerian Pelancongan Wilayah, Yusdi Lamatenggo.

LELAKI dari kampung Waisai ini meniup instrumen muzik daripada cengkerang siput sempena festival empat hari di Raja Ampat.


"Jika mereka mahu membina sebuah Bali yang baharu maka pelancong tidak akan datang ke sini," kata pengurus syarikat selam skuba, PapuaDiving, Jimmy Praet, merujuk kepada kepulauan Indonesia yang kebiasaannya menjadi mangsa kepada pelancongan komersial.
Pada ketika ini, ekosistem di Papua dikhuatiri menjadi semakin rapuh. Keadaan itu berlaku sejak sebuah syarikat dari Belgium telah membuka sebuah resort di Raja Ampat pada pertengahan tahun 1990-an.
Praet memberitahu, seorang penyelam yang baru sahaja menyempurnakan selamannya di kawasan yang kaya dengan terumbu karang mendakwa semua kawasan terumbu karang dilitupi mendapan yang datangnya dari jalan raya dan kerja-kerja pembinaan lapangan terbang yang sedang dijalankan.
Jumlah terkini pelancong ke Raja Ampat juga semakin berkurangan, dakwa penasihat CI di Indonesia, Mark Erdmann.
Namun, terdapat beberapa tanda positif bahawa kepulauan itu bakal dikunjungi semula.
"Sebenarnya kami mencari pelancong-pelancong yang berkualiti daripada kuantiti," kata Penasihat Kebangsaan Pertama Kementerian Pelancongan Papua, Hari Untoro Dradjat.
Sebagai bukti kepada niat baik mereka itu, pihak berkuasa menguatkuasakan satu peraturan yang dilaksanakan pada Julai lalu dengan mengehadkan jumlah resort-resort dan kapal persiaran mini.

KUMPULAN lelaki peribumi di Kampung Waisai ini sedang menyambut tetamu mereka dengan tarian tradisional.


Kesan buruk
Pada September lalu, sebuah kawasan taman laut juga telah diisytihar sekali gus membantu melindungi 45 peratus zon terumbu karang dan hutan bakau.
Begitupun, pihak kerajaan enggan mengutuk aktiviti perlombongan, sementara satu aktiviti perlombongan nikel di utara kepulauan tersebut sering dikecam kerana didakwa memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.
"Keadaan ini berlaku kerana lombong-lombong tersebut memberi pendapatan yang lebih tinggi dari pelancongan," kata Mr. Dradjat.
"Saya jangka mereka akan merosakkan tempat ini tapi setakat ini kami masih boleh menikmati keindahan alam yang ada di sini," kata seorang warga Jerman, Helmut Hochstetter, 60.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...