New York – Bekas peninju dunia, Muhammad Ali sukar menerima kenyataan bahawa pesaing utamanya dalam arena tinju, bekas juara heavyweight dunia, Joe Frazier, 67, kini sedang bertarung dengan maut selepas disahkan mengalami barah hati yang teruk dan mempunyai masa yang singkat untuk hidup.
Menurut Ali, dia mendoakan supaya Frazier dapat bertarung dengan penyakit berkenaan walaupun ia memerlukan keajaiban.
“Berita mengenai Joe meluluhkan hati saya. Joe mempunyai ramai kawan-kawan yang mendoakannya dan saya merupakan salah seorang daripada mereka,” katanya kepada berita CBS.
Penyakit Frazier mulanya dilaporkan oleh New York Post, menyebut sumber yang tidak dikenali.
Frazier berjaya menewaskan Ali dalam pertarungan pada 1971 di Madison Square Garden.
Pertarungan yang dikenali sebagai “Pertarungan Abad ini’ menyaksikan Frazier berjaya menumbangkan Ali bagi meraih gelaran heavyweight terulung menerusi keputusan sebulat suara 15 pusingan.
Ali kemudiannya memenangi satu keputusan sebulat suara 12 pusingan dalam satu perlawanan ulangan pada 1974.
Dia juga melengkapkan trilogi kemasyhuran menerusi kemenangan pada 1975 dalam perlawanan ‘Thrilla in Manila’ apabila berjaya menyekat Frazier selepas 14 pusingan dalam pertarungan hebat di Filipina.
Ali kini menghidap penyakit Parkinson sementara Frazier pula bersara pada 1976 dan menjadi duta sukan sebelum memulakan karier dalam bidang nyanyian.
No comments:
Post a Comment