Tuesday, November 8, 2011

Menakluk langit dan mengenal Tuhan




SEKUMPULAN juruterbang paragliding telah siap menghamparkan sayap paraglider di lapangan berlepas Bukit Dangdut, Sendayan.
Pada masa yang sama, mereka memastikan bah-abah atau harness paragliding yang kelihatan seperti kusyen dipasang dengan kejap di tubuh mereka.
Petang itu, cuaca kelihatan elok walaupun pada waktu tengah hari hujan lebat menyimbah bumi Negeri Sembilan.
Namun, tatkala juruterbang sudah bersedia menerjah langit, kehadiran rintik hujan membatalkan aktiviti sukan ekstrem itu serta-merta.
Seramai lima juruterbang paragliding yang sepatutnya berlepas dari puncak bukit tersebut bergegas turun dengan menaiki pacuan empat roda sebelum air hujan melicinkan laluan berliku di lokasi tersebut.
Menurut Presiden Kelab Penerbangan dan Rekreasi Udara Negeri Sembilan (NSSAC), Kapten Nasaruddin A. Bakar, 38, yang menyertai aktiviti itu, peluang menerjah ruang langit yang luas terbentang bergantung sepenuhnya kepada keizinan cuaca dan angin.
"Sekiranya angin bertiup kencang atau ruang udara seakan-akan kering, para juruterbang terpaksa membatalkan penerbangan mereka dan perkara itu adalah biasa.
"Lebih baik tunggu waktu yang sesuai daripada membahayakan nyawa dengan terbang dalam cuaca yang tidak mengizinkan lebih-lebih lagi pada waktu hujan," katanya.
Juruterbang Malaysia Airlines (MAS) itu memberitahu, Bukit Dangdut menjadi antara lokasi wajib dia dan kumpulannya mengadakan aktiviti sukan paragliding hampir setiap hujung minggu.
"Sesiapa sahaja yang mencuba sukan ini buat kali pertama pasti akan terpesona dan sukar membandingkannya dengan sukan udara lain," katanya.
Nasaruddin berkata, interpretasi individu mengenai kebesaran alam yang disaksikan adalah jauh berbeza tatkala melihatnya sendiri dari ketinggian beribu kaki di udara.
"Pertama kali terbang, saya terpesona dengan keajaiban alam ciptaan Tuhan dan begitu mengkagumi kekuasaan-Nya.
"Justeru, sukan ini bukan semata-mata memberi kepuasan kerana dapat terbang seperti helang tetapi ia mendekatkan diri seseorang dengan Yang Maha Esa," katanya.
Menurut Nasaruddin, sukan paragliding menjadi hobi utamanya sejak NSSAC ditubuhkan pada tahun 2003. Ketika itu, hanya terdapat sebanyak tujuh orang ahli menyertai sukan tersebut.
"Pada tahun 2002, saya menyertai sukan microlight dan paramotor tetapi ketika ini sukan paragliding adalah sukan yang paling aktif dalam NSSAC dan mempunyai lebih 100 orang ahli," ujarnya.
Nasaruddin memberitahu, melalui sukan paragliding, dia berpeluang menjengah ruang udara di banyak negara termasuk Indonesia, Thailand dan Afrika Selatan.
"Impian saya adalah untuk terbang dan menikmati keindahan alam dari langit Brazil dan Turki kerana lokasi berlepas di negara itu lebih strategik dan pemandangannya sungguh cantik," katanya teruja.
Sebagai Presiden NSSAC, Nasaruddin memberitahu dia bukan sahaja menjadi salah seorang ahli paling aktif malah penubuhan kelab berkenaan adalah bagi mengajak dan mengumpulkan sebanyak mungkin ahli aktif. Mereka juga menyemai objektif untuk membangunkan sukan berkenaan sehingga dikenali di negara-negara luar.
"Buat pertama kalinya juga seramai 10 orang ahli NSAAC bakal menyertai Sukan Sea ke-26 yang bakal berlangsung di Indonesia 11 November ini dan paragliding merupakan salah satu sukan baharu yang diperkenalkan," katanya.
Bawa penumpang

SYAFIQ sempat mengambil gambar di ketinggian 7,000 kaki ketika melakukan aktiviti paragliding di Turki semasa Aidilfitri tahun ini.


Seorang lagi juruterbang paragliding, Zulkafli Amin, 55, memberitahu, salah satu cabaran memajukan sukan itu di Malaysia adalah persepsi sukan ekstrem paragliding berisiko tinggi dan membahayakan.
"Persepsi itu tidak tepat, kerana setiap penerbangan dilengkapi ciri-ciri keselamatan dan peraturan ketat yang harus dipatuhi.
"Banyak faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan semasa penerbangan tetapi risiko dapat dielakkan sekiranya setiap juruterbang patuh dengan peraturan terutamanya tidak terbang dalam cuaca yang buruk," katanya yang menyertai NSSAC lima tahun lalu.
Menceritakan pengalaman peribadinya, Zulkafli memberitahu, sejak merasai pengalaman terbang secara solo, dia kini banyak menghabiskan masa dengan sukan itu. Dia juga tidak terlepas daripada melalui pengalaman menarik.
"Jarang sekali juruterbang tersesat tetapi kadangkala tiupan angin yang berubah secara tiba-tiba tidak menyebelahi juruterbang.
"Saya pernah mendarat di dalam kandang dalam sebuah ladang pertanian di Semenyih. Pernah juga saya mendarat di tengah-tengah jalan raya dekat Sekolah Menengah Datuk Mansor, Bahau sehingga menyebabkan trafik sesak," imbasnya.
Zulkafli yang merupakan seorang arkitek memberitahu, dia juga berpeluang membawa isterinya sebagai penumpang secara tandem paragliding ketika membawa keluarganya mengikuti program tersebut di Indonesia.
"Pertama kali membawa isteri saya terbang, dia begitu seronok dan tidak mahu turun," katanya yang turut menggemari aktiviti sukan paragliding yang dilakukan di Kokol dan Ranau, Sabah serta di Miri, Sarawak.
Justeru katanya, sukan paragliding turut mengeratkan silaturahim sesama keluarga dan ahli kelab melalui aktiviti dan kerjasama yang dijalankan bagi setiap aktiviti.
"Sukan ini memupuk semangat setiakawan kerana setiap ahli kumpulan akan memastikan juruterbang yang akan berlepas dilengkapi ciri-ciri keselamatan dan peralatan mereka berada dalam keadaan yang baik.
"Setiap juruterbang juga akan sentiasa berhubung dengan juruterbang lain menggunakan radio dan mereka juga membawa variometer iaitu alat khas bagi mengukur ketinggian dan altitud semasa berada di udara," jelasnya.
Peluang menjelajah
Bagi juruterbang paragliding muda, Syafiq Bahri, 26, peluang untuk terbang di tempat-tempat popular merupakan impian peribadi yang dinanti-nantikannya.
Menyertai NSSAC pada tahun 2007, dia tidak dapat melupakan pengalamannya terbang dari puncak Gunung Kinabalu pada awal tahun ini sebagai juruterbang termuda, malah dapat terbang paling lama dan paling jauh berbanding lima juruterbang lain.
"Pada program itu, seramai 30 juruterbang sepatutnya berlepas tetapi hanya tiga juruterbang dari Filipina dan dua dari Malaysia yang selamat berlepas. Selepas itu, keadaan angin tidak mengizinkan.
"Saya menjadi juruterbang terakhir yang berlepas dan terbang pada ketinggian 13,000 kaki selama 2 jam 45 minit sebelum mendarat di Kota Belud," jelas pelajar tahun akhir bidang Kejuruteraan Pesawat Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) itu.
Syafiq memberitahu, sukan tersebut turut memberi peluang kepadanya menjengah ruang udara Wales, England dan di Oludeniz, Turki.

BEGINILAH antara contoh pemandangan menakjubkan yang dapat disaksikan seseorang ketika berlegar-legar di udara.


"Salah seorang kenalan saya dalam sukan paragliding yang berasal dari England, Zahid Chaudhary mengajak saya terbang di sana.
"maka, saya telah berlepas ke England pada Hari Raya Aidilfitri kedua tahun ini dan ia menjadi salah satu pengalaman berharga kerana dapat terbang di atas permukaan laut pada ketinggian 7,000 kaki (2,134 meter) dan mendarat di pantai," katanya.
Bercadang menjejakkan kaki ke Nepal hujung tahun ini, Syafiq memberitahu lokasi berlepas di Pokhara, Nepal menjadi salah satu impiannya untuk terbang, selain turut menyimpan impian untuk ke Annecy, Perancis.
Dalam pada itu, seorang lagi juruterbang paragliding yang juga Naib Presiden NSSAC, Futra Nor Ehsan, 42 memberitahu, sepanjang terbabit dengan sukan paragliding, dia menghabiskan kira-kira RM60,000 untuk menyediakan kelengkapan dan keperluan sukan itu.
"Pertama kali terbang adalah pada tahun 2006 dan selepas itu, saya meneruskan hobi ini dan tidak lagi aktif dengan sukan-sukan lain yang saya sertai sebelum ini seperti paintball dan motosikal berkuasa tinggi.
"Saya juga perlu memenuhi tanggungjawab sebagai naib presiden kelab selain mempunyai tanggungjawab kerjaya yang turut memerlukan pengorbanan masa," katanya.
Katanya, pengalaman terbang di Bali, Indonesia adalah pengalaman paling menarik dilaluinya setakat ini. Di situ, dia bukan sahaja dapat melakukan aktiviti sukan kegemaran, malah pada masa yang sama menikmati percutian di pulau terkenal itu.
"Menariknya di Bali, saya terbang pada waktu pagi hingga tengah hari, manakala pada waktu petang saya mandi laut dan malamnya saya menyertai aktiviti barbeku," katanya.
Dia juga tidak dapat mengelak daripada melalui pengalaman mencemaskan terutama ketika terbang dari lokasi paragliding di Bahau.
"Saya disedut awan tetapi dengan pengendalian yang baik, saya dapat mengatasi panik dan keluar daripada zon bahaya serta dapat mendarat dengan selamat.
"Pengendalian paraglider sama juga seperti pemanduan kereta. Ia mengambil masa untuk betul-betul mahir mengemudinya," katanya.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...