SELEPAS menghirup kopi di restoran vegetarian Hot Chips di Syed Alwi Road, penulis terus melintas jalan untuk ke Mustafa Shopping Centre, pusat beli-belah 24 jam yang menjual pelbagai barangan pada harga yang jauh lebih murah dari mana-mana bahagian di Singapura.
Itulah tarikan istimewa di Little India yang mewarnai kehidupan urban di republik tersebut. Berbeza dengan pengalaman beli-belah di Orchard Road, kebanyakan barangan di Little India ditawarkan daripada harga semurah S$2 (RM5).
Little India meliputi rentangan beberapa batang jalan seperti Serangoon Road, Buffalo Road dan Dunlop Street yang menyaksikan deretan kedai menjual pelbagai barangan aksesori, beg, pakaian, hiasan kediaman dan banyak lagi.
Selain pusat beli-belah yang menyediakan barangan yang dibawa masuk dari India dan Pakistan, Serangoon Plaza juga menjadi satu lagi pilihan ideal bagi mereka yang mahu membeli-belah dengan mengekalkan ciri persekitaran Asia Selatan.
Sungguhpun selesa membeli-belah pada kadar harga yang murah, itu tidak bermakna tiada keperluan untuk membawa wang lebih lantaran Little India juga terkenal dengan kedai-kedai emas. Banyak kedai emas milik peniaga India, Cina mahupun India Muslim sering dikerumuni pelanggan biarpun ketika nilai harganya kini sedang melonjak naik.
Ramai yang berpendapat, mereka tertarik untuk membeli barangan kemas di situ kerana Singapura menjual emas pada kualiti terbaik.
Makanan India
Di samping kedai aksesori, kedai emas, pasar basah dan pusat beli-belah, tarikan utama Little India ialah restoran makanan India dan Asia Selatan.
Dibuka di sepanjang jalan-jalan utama mahupun lorong kecil, kulinari Asia Selatan jelas menampakkan permintaan yang tinggi apabila setiap restoran hampir penuh dikerumuni pelanggan tidak kira bangsa termasuk pelancong dari Barat.
Jenama restoran dari India menguasai perniagaan makanan di situ di samping restoran-restoran tempatan. Dari segi harga pula, rata-ratanya menawarkan harga yang setanding atau sedikit mahal daripada harga di Malaysia. Meskipun begitu, dengan kualiti perkhidmatan dan makanan yang baik pastinya nilai bayaran tidak menjadi isu.
Bagi satu kawasan berunsur bangsa dan kepercayaan agama, tidak lengkap jika tidak mengenali pusat ibadat. Memandangkan namanya juga Little India, maka tidak hairanlah jika kita terserempak dengan beberapa kuil Hindu.
Di hadapan Hotel Grand Chancellor dekat jalan utama Serangoon Road, tersergam Kuil Sri Veera Kaliamman. Ia dikatakan sebagai kuil yang paling popular dan dipercayai paling banyak menerima pengunjung,
Selain beberapa kuil lain di sekitar kawasan tersebut, terdapat sebuah masjid yang menjadi kebanggaan komuniti India Muslim iaitu Masjid Abdul Gafoor serta kuil Buddha Leong San See.
Untuk sampai ke lokasi istimewa itu, kebanyakan pengunjung, tidak kira penduduk tempatan mahupun pelancong asing, dilihat gemar menggunakan pengangkutan awam berbanding pengangkutan sendiri.
Jika tidak mahu menggunakan perkhidmatan bas awam atau teksi, lokasi tersebut boleh dikunjungi dengan menaiki sistem tren aliran massa (MRT) iaitu dengan turun di stesen Little India. MRT dilihat sebagai mod pengangkutan paling efisien bagi kebanyakan pengunjung.
No comments:
Post a Comment