![]() |
KIMORA LEE SIMMONS, 36, memang cukup terkenal dengan drama realiti terbitannya, Kimora: Life in the Fab Lane.
Menerusi program realiti tersebut, Kimora memaparkan kisah kehidupan hariannya sebagai seorang ahli perniagaan, model dan ibu. Sejak dimulakan pada tahun 2007, program tersebut kini masih menjadi kegilaan ramai, terutama di Malaysia. Intinya adalah kerana setiap babak yang dipaparkan begitu realistik dan ia menjadi lebih menarik dengan karakter tegas namun penuh humor dan bersahaja yang ada dalam diri Kimora sendiri.
"Sewaktu saya menerbitkan program tersebut, saya tidak melihat ia sebagai program realiti, sebaliknya ia sebagai satu dokumentari kehidupan harian saya. Namun apabila format program realiti meletup, program saya juga terus sukses.
"Kuncinya mudah, jangan memaparkan isu bercakaran sesama wanita, berebut teman lelaki dan berbogel!," ujar wanita dengan ketinggian 183 sentimeter ini sewaktu majlis sidang akhbar yang dibikin khusus oleh saluran E! News di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur pada minggu lalu.
Berlangsung dalam suasana yang cukup santai, apatah lagi Kimora sendiri cukup ramah dan memanjangkan sesi temu bual yang sepatutnya hanya berdurasi 30 minit kepada sejam, banyak yang dikongsi wanita ini selain mengenai programnya yang kini sedang hangat ditayangkan di E! News.
Bagaimanapun program yang ditayangkan di E! News itu bukan musim terkini dan saat ditanya tentang perkembangan programnya, dia menjawab: "Saya tidak melakukan sebarang penggambaran sekarang. Namun saya mempunyai dua lagi musim untuk dihabiskan."

KIMORA LEE SIMMONS adalah seorang wanita moden dengan pemikiran tradisional. Dia menentang wanita berbogel hanya untuk meraih publisiti. Wanita bagi Kimora harus ada maruah diri.
Hadir dibawa khas oleh E! News sempena dengan pelancaran High Heeled Warrios yang merupakan satu kajian terhadap kehidupan wanita, Kimora berkongsi banyak hal tentang dirinya dan pemikiran tentang bisnes, kecantikan, fesyen serta wanita. Dia juga menghabiskan masa selama tiga hari di ibu kota dengan memenuhi undangan dan bertemu peminatnya dengan lebih dekat lagi.
Mengajak dia bercerita lebih lanjut tentang kejayaannya kini, nyata Kimora adalah seorang wanita yang cukup mempunyai aspirasi hidup yang tinggi. Bermula daripada bukan sesiapa sebelum tuah datang membawa dia terjun ke dunia fesyen, kini dengan karismanya dia telah menakluk dunia bisnes sekali gus dunia hiburan.
Diberi jolokan sebagai mogul fesyen, dia banyak memberi inspirasi kepada wanita-wanita di seluruh dunia termasuk wanita Asia. Kehidupan penuh glamor wanita Amerika yang berdarah campuran Afrika-Korea ini bermula seawal umur 13 tahun apabila dirinya dipilih untuk menghiasi iklan-iklan produk antarabangsa Chanel oleh Karl Lagerfeld ketika itu.
Selepas berkahwin dengan suami pertama, Russel Simmons pada tahun 1999, sejak itulah kerjaya fesyen Kimora bermula. Dia dan suaminya ketika itu membuka rangkaian fesyen yang diberi nama Baby Phat. Namun setelah 14 tahun bersama jenama tersebut, Kimora mengambil keputusan untuk 'berpisah' dari jawatan Pengarah Kreatif yang dipegangnya itu dan menguruskan perniagaan baharunya.

AMAT mementingkan keluarga. Dia kini bahagia bersama suaminya baharunya, Djimon Hounsou, dua anak perempuan Ming (kiri) dan Aoki serta seorang anak lelaki, Kenzo.
Kini, Kimora sedang sibuk menguruskan empayar fesyennya serta keluarga yang sentiasa memberi inspirasi kepadanya. Merupakan ibu kepada tiga orang anak, Ming Lee, 11 dan Aoki Lee Simmons, 9 (daripada hasil perkahwinan pertama) dan seorang anak lelaki bersama suami baharunya, Djimon Hounsou yang diberi nama Kenzo Lee Hounsou, 2, Kimora tahu bagaimana untuk 'menguruskan dunia' dengan bijak. Dia kemudian memberi rahsia sukses dirinya.
"Kita hanya perlu yakin dan berkorban banyak benda untuk sukses. Pertama sekali, anda perlu korbankan masa anda dan untuk saya, masa tidur adalah pengorbanan terbesar kerana itu saya jarang tidur. Saya kini mempunyai banyak perkara yang ingin dilakukan untuk bisnes saya yang semakin berkembang selain perlu menguruskan keluarga, anak-anak dan suami.
"Jadi, apa yang perlu dilakukan ialah anda perlu merendah diri untuk mencapai impian anda. Kebanyakan daripada mereka ada yang melakukan dua kerja dalam sehari dengan bekerja pada sebelah siang yang dianggap satu kerja untuk menyara keluarga manakala sebelah malam pula adalah karier impian masing-masing. Jadi, banyak perlu berkorban namun anda tidak boleh memiliki segalanya," tuturnya yang sentiasa memandang positif terhadap apa yang berlaku terhadap dirinya sehingga mencapai kejayaan sebesar ini.

KIMORA percaya kediaman adalah tempat terbaik untuk berehat. Justeru konsep kediamannya harus memberi keselesaan kepada dirinya.
Sementara ditanya tentang berapa dekat dirinya dengan Malaysia kerana kekerapannya menulis Twitter terhadap negara ini termasuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, bicara ikon antarabangsa ini, Malaysia memang dekat di hatinya kerana dia begitu menghargai semua negara Asia.
Malah akuinya, dia sangat gembira berada di sini dan telah berlatih beberapa perkataan bahasa Malaysia melalui pengikutnya di dalam laman sosial Twitter miliknya, @OfficialKimora.
"Saya sangat teruja berada di Malaysia dan saya telah mempelajari beberapa perkataan hasil daripada pengajaran peminat saya di dalam laman Twitter selama seminggu sebelum kehadiran saya di sini.
"Antara perkataan yang saya pelajari merupakan selamat pagi, cantik, terima kasih, sama-sama dan aku cinta kamu. Adakah saya menyebutnya dengan betul?", ujarnya penuh teruja.

No comments:
Post a Comment