Wednesday, November 30, 2011

Kembara lasak Henry Golding



HENRY GOLDING juga diberi peluang 'terbang' dalam salah satu episod Without Boundries: The Great Outdoors.


SELEPAS mengemudi program pengembaraan Without Boundaries: Islands and Beaches, pengacara Henry Gloding kembali lagi untuk musim kedua dengan program Without Boundaries: The Great Outdoors yang akan mula ditayangkan di 8TV pada pukul 9.30 malam, bermula 7 Disember depan.
Program sebanyak 10 episod itu akan menampilkan pelbagai lokasi menarik untuk melakukan aktiviti lasak di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Jika musim pertamanya tertumpu kepada pulau dan pantai untuk musim kedua pula ia lebih tertumpu kepada gunung, hutan, gua dan haiwan.
Menurut Henry, melalui program itu juga, penonton dapat akan dibawa meninjau Miri dan Betong, Sarawak yang merupakan kampung halamannya. Jejaka berusia 24 tahun yang berdarah Inggeris dan Iban itu, mengakui seronok kerana dapat bertemu dengan datuk neneknya serta saudara-maranya di sana.
“Memang cukup seronok menjadi pengacara program ini, selain saya dapat merasai sendiri pengalaman melakukan pelbagai aktiviti lasak, saya juga dapat mempertemukan penonton dengan keluarga saya di Sarawak,” katanya yang boleh berbahasa Iban.
Selain Sarawak, program ini turut menampilkan aktiviti seperti pendakian di Gunung Tahan dan juga Gunung Kinabalu, Sabah, memancing di Tasik Kenyir, Perak, latihan juruterbang di Subang dan paragliding di Bukit Jugra, Selangor, permainan sukan air White Water Rafting di Slim River, Perak, melihat gajah di Kuala Gandah, Pahang, serta aktiviti lasak di Hutan Belum.
“Melalui program ini, diri saya lebih dekat dengan alam semula jadi, saya mahu penonton yang menontonnya akan mendapat idea untuk mencuba aktiviti lasak terutamanya untuk orang yang belum pernah mencuba sebarang aktiviti yang dipertontonkan.
“Walaupun letih kerana melakukan penggambaran tanpa henti tetapi disebabkan saya seorang yang suka mencuba perkara baharu, program ini benar-benar dekat dengan jiwa saya,” ujarnya yang cukup sinonim dengan pelbagai program pengembaraan dan pelancongan.
Sempat berkongsi pengalamannya, Henry berkata pengalaman baharu serta paling sukar buatnya adalah ketika mendaki Gunung Tahan bersama krew penggambaran sehingga ke puncak.

HENRY teruja bersama pakar paragliding sewaktu mencuba aktiviti lasak tersebut di Bukit Jugra, Selangor.


“Bagi saya pengalaman pendakian naik hingga ke puncak Gunung Tahan paling seronok dan sukar pernah saya alami sepanjang hidup. Mendaki tanpa henti dalam cuaca sejuk selama lima hari untuk berada di ketinggian 2,185 meter memang mencabar fizikal diri saya.
“Selain itu, lokasi paling diingati adalah Kuala Gandah. Saya tidak pernah naik atas gajah dan melihat sendiri kehidupan mereka. Jadi, pengalaman melihat sendiri bagaimana proses pemuliharaan gajah dilakukan di sana sungguh menyentuh hati kerana pada saya gajah merupakan haiwan yang sungguh menakjubkan,” ujarnya yang juga merupakan duta kamera jenama Canon di Malaysia.
Henry yang turut mengacarakan program Welcome To The Rail World dan Now Everybody Can Fly To New Zealand itu mengakui secara peribadi dia seorang yang suka menggembara dan bertuah kerana kerja dia dapat melawati pelbagai lokasi menarik di dunia.
“Memang program pelancongan dan pengembaraan sinonim dengan saya kerana saya seorang yang suka melancong. Apabila dapat berkongsi pengalaman menarik saya bersama orang lain merupakan satu kepuasan buat saya. Disebabkan itu, saya berterusan mengacarakan program pengembaraan dan pelancongan.
“Saya memang ingin dikenali sebagai seorang pengacara program seperti itu bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara. Kalau boleh saya teringin untuk terlibat dengan program yang menjelajah lokasi menarik di seluruh Asia Tenggara,” jelasnya yang suka melawat Tokyo, Jepun.
Tidak sahaja terikat dengan pengacaraan, kata Henry dia juga jatuh cinta dengan dunia lakonan tetapi disebabkan jadualnya terikat dengan penggambaran program televisyen tanpa henti, dunia lakonan diketepikan buat sementara waktu.
“Mungkin tahun depan saya akan aktif berlakon pula kerana saya memang suka berlakon. Meskipun kedua-duanya ditayangkan di televisyen, lakonan dan pengacaraan merupakan dua perkara yang amat berbeza. Tetapi saya akan terus belajar dan mencuba sesuatu yang baharu, saya bersyukur kerana diterima penonton sehingga ke hari ini,” katanya yang sudah tiga tahun menjadi pengacara.
Pengarah dan penerbit program Without Boundries: The Great Outdoors, Ahmad Khairi Zulkifli memberitahu kepetahan dan personaliti bersahaja Henry merupakan daya penarik dalam program itu.

AKTIVITI 'bermesra' dengan gajah turut menjadi salah satu aktiviti Henry dalam program Without Boundries The Great Outdoors.


“Walaupun dia baharu berusia 24 tahun, dia bijak menyusun skripnya sendiri kerana kami hanya memberi point-point penting kepadanya, selebihnya terpulang kepadanya untuk mencorakkan skrip program mengikut caranya sendiri,” ujar Ahmad Khairi.
Tambah Ahmad Khairi lagi, meskipun bajet untuk program ini terhad tetapi itu tidak menghalangnya dan krew produksi memberi yang terbaik buat penonton.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...