Wednesday, November 2, 2011

Gitaris Hujan panik diacu pistol


MOHD. HEZRY


KUALA LUMPUR – Gitaris kumpulan Hujan, Mohd. Hezry Mohd. Hafiz atau AG, 27, mengalami saat-saat mencemaskan apabila menjadi salah seorang mangsa yang diacu pistol secara rambang oleh perompak ketika dia sedang berurusan di sebuah bank di Taman Connaught, Cheras semalam.
Mohd. Hafiz mendakwa, ketika kejadian pada pukul 2.45 petang itu, dia hendak menunaikan sekeping cek di kaunter.
“Tiba-tiba datang seorang lelaki mengacukan pistol secara rambang kepada pelanggan dan juruwang.
“Lelaki itu memaksa seorang juruwang menyerahkan sejumlah wang kepadanya,” katanya.
Selepas itu, katanya, perompak terbabit mengheret seorang tebusan dipercayai pelanggan bank keluar dari bank sebelum melarikan diri.
Gitaris itu bagaimanapun tidak mengetahui apa yang berlaku terhadap tebusan tersebut kerana takut.
“Saya panik dan kejadian berlaku begitu pantas tetapi saya bersyukur kerana saya dan orang lain di bank tidak diapa-apakan,” katanya.
Katanya, ia merupakan pengalaman pertama menyaksikan kejadian rompakan di hadapan mata.
Jelasnya, dia tidak dapat melihat wajah perompak itu kerana dia memakai topi keledar penutup muka.
Selain Mohd. Hafiz, Hujan turut dianggotai Izat Huzaini, Am, Noh (vokalis) dan Dimas.
Hujan yang ditubuhkan pada tahun 2006 terkenal dengan lagu-lagu seperti Pagi Yang Gelap dan Bila Aku Sudah Tiada sementara lagu terbaharu berjudul Muda kini disiarkan di stesen-stesen radio tempatan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dalam kejadian itu, suspek berjaya melarikan wang sebanyak RM25,000 tanpa mencederakan pelanggan mahupun pegawai bank tersebut.
“Suspek masuk ke dalam bank seorang diri dan bersenjatakan pistol. Dia telah mengacukan pistol ke arah pegawai bank dan meminta menyerahkan wang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambah Chin Wah, suspek memakai topi keledar penutup muka dan berjaya melarikan wang berkenaan dalam masa kurang lima minit.
Sementara itu, satu sumber memberitahu, siasatan awal polis percaya, suspek sama terlibat dalam kejadian samun di sebuah bank di Jalan Sungai Besi pada pukul 10.40 pagi hari yang sama.
Dalam kejadian itu, suspek yang bersenjatakan pistol berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM44,600.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...