Wednesday, November 23, 2011

Fatehah bakal terima insentif tertinggi



FATEHAH (depan) muncul atlet yang bakal menerima insentif paling tinggi iaitu sebanyak RM17,500.


PALEMBANG - Bagi pemenang pingat emas, sudah terbayang ganjaran yang bakal menanti mereka hasil kejayaan pada temasya Sukan SEA 2011 di Palembang dan Jakarta, Indonesia.
Berdasarkan ganjaran di bawah Skim Hadiah Kemenangan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara (MSN), pelumba basikal wanita negara, Fatehah Mustapha muncul atlet yang bakal menerima 'durian runtuh' paling tinggi iaitu sebanyak RM17,500.
Ini dikira hasil kejayaannya meraih pingat emas pertama dalam acara 500 meter ujian masa individu diikuti emas kedua dalam acara 200 meter pecut individu sebelum berpasangan pula dengan Jupha Som Net untuk meraih emas ketiga menerusi acara pecut berpasukan.
Fatehah mengatasi pemain boling lelaki negara, Adrian Ang yang bakal memperoleh insentif kira-kira RM15,350.
Walaupun menang empat pingat emas berbanding Fatehah hanya tiga, Adrian lebih banyak menang acara berpasukan iaitu acara beregu, diikuti trio, enam sepasukan dan akhir sekali perseorangan Masters.
Tempat ketiga ialah penembak wanita negara, Nur Suryani Mohd. Taibi yang bakal menerima RM15,000 hasil kejayaan menjuarai acara 50m rifel 3 posisi dan 10m air rifel.
Paling malang adalah dua perenang berirama negara iaitu Katrina Ann Abdul Hadi dan Shereen Png Hui Chuen yang hanya menerima RM13,500 walaupun meraih lima pingat emas. Ini kerana mereka beraksi dalam acara duet dan berpasukan.
Seorang lagi pelumba basikal negara, Mohd. Harrif Salleh bakal menerima insentif kelima tertinggi iaitu RM12,500 hasil kejayaan meraih emas pertama dalam acara 10km perlumbaan scratch lelaki dan emas kedua menerusi acara 4,000m kejar mengejar lelaki.
Di bawah SHAKAM Sukan SEA, seorang atlet itu akan menerima RM10,000 untuk emas pertama diikuti RM5,000 untuk emas kedua dan seterusnya. Sekiranya acara berpasukan lebih daripada dua orang, mereka akan berkongsi hadiah wang tunai itu.
Tetapi jika lebih lima orang, setiap seorang atlet itu akan menerima purata RM2,000. Tiada ganjaran untuk pemenang pingat perak dan gangsa di peringkat Sukan SEA.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...