Tuesday, November 8, 2011

Esau bomoh Siam Kelantan



ESAU melihat buku catatan nama-nama pelanggan yang sudah diubatinya.


MELEWATI lorong di celah sebuah kedai makanan Thai di Kampung Kubang Panjang, Tumpat, Kelantan, kehadiran kami ke teratak dukun Siam itu 'disambut' tiga ekor anjing yang tidur di penjuru halaman. Butir bualan bomoh Esau a/l Chau Wek dengan dua rakannya di tingkat atas rumah terhenti sebaik sahaja kehadiran kami disedari mereka.
Esau yang mengalu-alukan kunjungan kami petang itu pada mulanya berpenampilan ringkas. Berlengeng tidak berbaju, dia sekadar memakai kain pelikat yang digulung besar di pinggang sehingga kain itu tersingkat ke paras lutut. Wajah lelaki berusia 68 tahun itu kuning cerah, terserlah darah Siam yang mengalir dalam dirinya.
Banyak tersenyum, dia nampak mesra. Fasihnya bercakap Melayu loghat Kelantan tidak perlu disangsikan. Hakikatnya memang di teratak itulah dia lahir dan tinggal.
Bahkan, bapa dan datuknya sememangnya lahir di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Esau menyifatkan dirinya Siam Kelantan.
Mata penulis menjamu segenap ruang di tingkat atas. Berdekatan sofa kami duduk, kelihatan timbunan kotak berisi lilin yang tertulis nama-nama orang.
Ada nama Melayu, Siam, Cina dan India. Barangkali mencecah ratusan kotak. Ia bagai manifestasi akan betapa ramainya yang mendapatkan khidmat Esau.
Itu belum lagi ke tempat berubat atau perbomohan yang terletak di satu sudut yang agak suram. Cairan lilin tebal yang membeku di atas lantai bagai menunjukkan betapa banyaknya lilin yang telah dinyalakan.
Lazim mendapat 10 orang pelanggan sehari, pelanggannya bukan sahaja datang dari merata tempat di negara ini dan Thailand, bahkan dia pernah dipanggil berubat ke Singapura.
"Lilin-lilin ini untuk panggil orang balik atau seru ke pangkuan.
GRO
Pagi ini sahaja, ada empat orang datang jumpa saya nak panggil suami atau isteri mereka yang meninggalkan rumah dan tak balik berhari-hari. Usaha saya selalunya berjaya," katanya yang berkhidmat sebagai bomoh ketika berusia 47 tahun.
Oktober tahun lalu, Esau yang merupakan bomoh Siam terkenal di Tumpat pernah mendedahkan kepada pihak media bahawa ramai isteri daripada keturunan Siam dan Melayu berumur antara 25 hingga 50 tahun yang menemuinya kerana suami-suami mereka mengabaikan mereka dan keluarga akibat tergoda dengan pegawai perhubungan pelanggan (GRO). Ada suami yang sanggup berhabis duit sehingga RM100,000 untuk memikat GRO.
"Ada juga kes majikan mencari pekerja. Sekarang ini pula, lelaki minta suka kepada lelaki lain pun banyak," ujar Esau setelah penulis bertanyakan mengapa tertera nama dua lelaki pada sebuah kotak lilin.
Jelas Esau, lilin merupakan barangan paling utama dalam perawatannya.
Menurut kaedah perbomohan Siam, lilin-lilin berkenaan akan dinyalakan pada pukul 8 malam dan pukul 12 tengah malam adalah masa untuk menyeru.
Lilin yang mewakili individu tertentu itu akan dinyalakan setiap malam sehingga individu berkenaan pulang dan jika perlu bilangan lilin itu ditambah agar seruan lebih 'kuat'.
"Jika lilin cepat cair, itu antara tanda yang seruan itu bakal berjaya," katanya.
Kemudian, bergantung pada keinginan pelanggan, mereka diberikan ubat antaranya air mani gajah, ubat pelaris dan pengasih, minyak cenuai dan serbuk yang dibuat daripada beduk kulit kerbau. Minyak cenuai ialah sejenis minyak pengasih yang dicalit kepada tubuh individu yang diingini.
"Baru-baru ini, ada wanita berusia 20-an dari Ketereh telah mendapatkan cenuai daripada saya kerana jatuh hati dengan seorang Datuk di Kuala Lumpur, tiga hari selepas mencalitnya pada tubuh lelaki itu, terus lelaki itu ajak dia kahwin," dakwanya.
Pengeras
Ditanya mengapa ramai yang mendapatkan khidmat bomoh Siam sepertinya, Esau berkata, dia tidak mengenakan apa-apa wang pengeras.
"Tidak ada pengeras. Kalau pelanggan mahu bayar, mereka bayar. Ada seorang pelanggan saya yang telah berhabis puluhan ribu kepada bomoh-bomoh Melayu untuk membaikkan anaknya yang terkena buatan bomoh Jawa terkejut apabila saya tidak menetapkan sebarang harga.
"Dia juga terkejut apabila saya memulangkan sebahagian wang yang dia berikan. Saya ubat orang sungguh-sungguh," katanya.
Tetapi, tidak bermakna Esau tidak mewah. Percaya atau tidak, Esau mampu memperoleh pendapatan RM25,000 sebulan.
Esau bahkan menunjukkan duit sejumlah RM2,000 yang diperoleh untuk dua hari itu sahaja. Mungkin itulah lambang kedermawanan insan yang berpuas hati dengan kerjanya.
Berdasarkan pengalamannya, Esau memberitahu, buatan bomoh Jawa ialah yang paling sukar untuk ditentang berbanding buatan bomoh-bomoh lain termasuk Melayu.
Esau bagaimanapun menegaskan dirinya hanya membantu orang dan tidak akan menerima permintaan untuk melakukan khianat atau membuat manusia lain jadi sakit.
"Memang ada buatan bomoh Siam yang dahsyat misalnya dengan menggunakan besi bat yang boleh buat orang jadi amat sakit atau mati. Tetapi saya tidak mengamalkannya," katanya.
Esau yang menjadi bomoh sejak berusia 47 tahun tidak mewarisi kerja kedukunan daripada ahli keluarganya atau dianugerahi kebolehan istimewa sebaliknya ia dipelajari daripada tiga orang Tok Bomoh Siam di Kelantan iaitu Tok Chakrung, Tok Chanor dan Tok Noro Elong.
"Tok Chakrung yang sudah meninggal dunia mempunyai warna hitam di lelangit mulutnya dan ia menandakan dia seorang yang amat hebat. Itu gambar dia di atas tempat berubat," katanya menunjukkan fotonya.
"Untuk mempelajari perbomohan Siam, yang penting ialah menguasai bahasa Thai, boleh baca dan tulis Thai. Itu sebabnya hanya seorang sahaja anak saya, Ebok yang jadi bomoh Siam, yang lain hanya boleh baca bahasa Melayu," katanya yang turut mempunyai seorang anak yang memeluk agama Islam.
Pantang
Esau berkata, sebagai bomoh, juga ada pantang larangnya. Dia sendiri tidak boleh melangkah atau menghidu minyak-minyak pengasih yang dihasilkannya.
"Saya juga tidak boleh makan kambing. Bahkan, saya tidak boleh sekali-kali melangkah tali tambatan kambing. Kalau tidak, kerja-kerja dukun saya tidak menjadi," ujarnya.
Seorang rakan, Saidi Ibrahim, 65, yang berjiran dengannya sejak kecil memberitahu Esau memang sudah banyak membantunya dan keluarga.
"Anak saudara saya pernah menderitai sakit seperti mengandung selama satu tahun setengah. Macam-macam cara diusahakan untuk mengubatinya, namun gagal.
"Tetapi setelah saya membawanya berjumpa Esau, tidak lama kemudian, perutnya mengempis. Saya anggap jumpa Esau sebagai ikhtiar, tetapi semuanya kuasa Tuhan.
"Saya juga pernah panggil anak perempuan saya yang tidak mahu balik ke kampung selepas merantau ke Johor selama beberapa bulan dengan bantuan Esau, kemudian dia balik dan tidak mahu ke sana lagi," katanya.
Menjadi teman sepermainan Esau sejak kecil, Saidi menyifatkan keakrabannya dengan Esau yang beragama Buddha itu seperti adik-beradik.
"Hanya agama kami sahaja yang berlainan. Tapi saya anggap dia sudah macam darah daging saya sendiri," ujarnya.
Tiada apa kejadian aneh yang dapat kami saksikan di teratak itu semasa kunjungan kami, tapi ada suatu misteri yang menyelubungi sebaik sahaja tiba di pejabat Kosmo! di Kota Bharu.
"Tadi aku sudah ambil gambar Tok Chakrung itu, tapi pelik macam mana boleh tidak ada dalam kamera ini. Kau nampak kan tadi aku ambil?," ujar rakan wartawan yang merakamkan gambarnya.
Penulis hanya mengangguk kehairanan.
baca isu "travel" disini...pengalaman dikongsi bersama!

2 comments:

helpneeded said...

macam mana nak mencari esau? lokasi dia...no telefon dia..

Unknown said...

boleh tau macam mana nak hubung dia? lokasi dan no telefon?


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...