Tuesday, November 22, 2011

Berkhemah dalam rumah

Berkhemah dalam rumah
ALOR GAJAH - Hasrat seorang suami untuk menikmati serunding daging masakan isterinya tidak kesampaian apabila maut bersama seorang lagi rakan selepas motosikal jenis Yamaha SRE terbabas ke tebing jalan di Kampung Rantau Panjang, di sini.

Mohd Hisham Kassim, 46, dan rakannya, Hamidah Hassan, 53, masing-masing bertugas sebagai pengawal keselamatan maut ketika menerima rawatan di Hospital Melaka akibat parah selepas terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 2.30 petang, Khamis lalu.

Isteri arwah, Hariyah Hasan, 49, berkata, suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah kerana menyangka dua anaknya, Muhammad Nur Aiman Fitri, 8, dan Muhammad Rizalman, 4, masih belum dijemput pulang dari sekolah.

“Arwah keluar pada hari kejadian kira-kira jam 8 pagi untuk ke pekan Masjid Tanah atas beberapa urusan, bersama seorang lagi rakannya yang membonceng dan berkemungkinan arwah tergesa-gesa untuk pulang mengambil anak dari sekolah.

“Saya sudah jemput mereka terlebih dahulu sekitar jam 12.30 tengah hari dan tidak tahu pula arwah dalam perjalanan pulang untuk menjemput anak dari sekolah sebelum dimaklumkan kejadian yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Ayer Pa’abas, di sini.

Menurutnya, arwah suaminya ada menunjukkan perubahan sikap yang luar biasa sehari sebelum kejadian apabila tiba-tiba rajin membersihkan dua ekor kucing peliharaannya sedangkan arwah tidak pernah melakukannya sebelum ini.

“Saya rasa ganjil bila arwah membersihkan kucing namun tidak menegur kerana bimbang menyinggung perasaannya dan pada hari sama, arwah tiba-tiba memasang sebuah khemah di bahagian ruang tamu dan tidur daripada tengah hari hingga petangnya dalam khemah berkenaan.

“Saya memang tertanya-tanya kenapa arwah bertindak sedemikian sebelum menyedari cuping telinganya seperti jatuh dan hati saya sudah mula resah namun tidak mahu bersangka buruk atau mengesyaki bahawa itu petanda arwah akan meninggalkan kami selamanya,” katanya.

Hariyah berkata, pada pagi kejadian, arwah suaminya merenungnya dalam dan menyatakan ingin merasai serunding daging.

“Saya hanya sempat merebus daging sebelum dikejutkan dengan panggilan berhubung kemalangan yang menimpa suami.

“Memang tidak sangka dia pergi selama-lamanya di saat kami amat memerlukannya dan kini saya hilang punca pendapatan untuk membesarkan kedua-dua anak yang masih kecil, serta memerlukan perhatian” katanya.

Sementara itu, anak tunggal Allahyarham Hamidah, Mohd Najib Abd Aziz, 36, berkata, kali terakhir bertemu arwah ibunya yang juga ibu tunggal pada pertengahan Oktober lalu ketika pulang bercuti ke kampung di Lendu, di sini.

“Itulah kali terakhir saya bertemu arwah mak kerana saya menetap di Gombak dan pada hari itu juga saya menyedari sikap arwah yang kelihatan seperti mudah terasa hati dan merajuk apabila saya terlambat memberikan sebuah telefon bimbit milik saya yang disukainya.

“Saya kata mahu ke masjid terlebih dahulu sebelum menyerahkan telefon bimbit berkenaan tetapi mak terus merajuk, kemudian pada sebelah malamnya saya ke tempat kerja mak di sebuah sekolah di sini untuk memberikan telefon berkenaan,” katanya.
Menurutnya, dia memang tidak menyangka ibunya maut dalam kemalangan terbabit tetapi reda dengan apa yang berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, difahamkan tayar belakang motosikal yang dinaiki mangsa pecah.
Katanya, keadaan itu menyebabkan penunggang gagal mengawal motosikalnya dan terbabas ke kiri jalan, lalu melanggar tebing sebelum jatuh.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan sehari selepas kemalangan, sementara pembonceng motosikal pula disahkan meninggal dunia pagi kelmarin di Hospital Melaka,” katanya.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...