
Buenos Aires – Bekas ratu cantik Colombia, Angie Sanclemente Valencia, 31, dihukum penjara tujuh tahun oleh mahkamah di sini semalam selepas didapati bersalah atas dakwaan terlibat dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Turut menerima hukuman sama ialah teman lelakinya, Nicolas Gualco.
Sepanjang perbicaraan berkenaan, Valencia menafikan terlibat membantu teman lelakinya melatih wanita muda untuk menyeludup dadah ke Eropah melalui Mexico.
Sebaliknya, Valencia mendakwa dia datang ke Argentina kerana jatuh cinta dengan Gualco, bukan untuk melakukan jenayah.
Dia juga memaklumkan mahkamah sebelum ini bahawa kedatangannya ke negara tersebut adalah untuk mengahwini Gualco, tanpa menyedari lelaki tersebut merupakan penjenayah.
Namun pendakwaraya tetap mempertahankan dakwaan bahawa bekas model itu terlibat dalam kegiatan tersebut.
Valencia ditahan di Buenos Aires, Mei tahun lalu selepas lima bulan melarikan diri.
Wanita itu mendakwa, tujuan dia bersembunyi selama ini adalah kerana bimbang akan dirogol ketika berada dalam penjara.
Siasatan ke atasnya dimulakan selepas penemuan 55 kilogram kokain dalam beg tangan seorang wanita yang menaiki penerbangan dari Cancun di Mexico.
Valencia memenangi pertandingan ratu cantik Colombia pada 2000 namun gelaran itu ditarik balik selepas dia didapati menyembunyikan status perkahwinannya.
No comments:
Post a Comment