KUALA LUMPUR – Penerbit filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri akan menyediakan bajet RM1 juta kepada pengarah muda yang terpilih bagi mengarahkan filem di bawah syarikatnya itu pada tahun depan.
Menurut pengarah filem Hantu Bonceng itu, dia akan menganjurkan satu pertandingan filem pendek di mana pemenangnya akan diberi peluang mengarahkan sebuah filem cereka dengan bajet tersebut.
“Pertandingan filem pendek itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun hingga 25 tahun. Filem pendek yang bertanding durasinya mestilah tidak melebihi 5 minit.
“Juara pertandingan itu akan berpeluang menjadi pengarah filem cereka yang akan saya terbitkan nanti. Ini adalah langkah awal saya bagi melahirkan pengarah filem generasi baru,” katanya.
Jelas pengarah berusia 40 tahun ini, dia juga mengalu-alukan peserta pertandingan itu menghantar sinopsis ataupun skrip bagi dikembangkan lagi di layar perak kelak.
Pemenang pertandingan yang julung kalinya dianjurkan oleh Excellent Pictures Sdn. Bhd. itu juga tambahnya akan menyediakan bayaran berupa wang tunai apabila karya mereka seperti skrip diangkat ke layar perak.
“Setiap peserta akan dinilai berdasarkan kreativiti dan keaslian karya masing-masing. Saya akan umumkan lebih lanjut tentang pertandingan ini pada penghujung bulan November ini. – mynewshub.my
No comments:
Post a Comment