KUALA LUMPUR – Maharaja Lawak Mega (MLM) terbitan Astro Prima dijangka akan memecahkan rekod pertandingan itu apabila bercadang menyingkirkan lima peserta pertandingan itu sekali gus pada siaran minggu ketiganya pada Jumaat ini.
Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani lima peserta yang disingkirkan daripada pertandingan lawak jenaka anjuran Astro Prima itu terdiri daripada kalangan peserta yang mendapat markah paling rendah.
“Setakat ini lima peserta MLM iaitu Boboi, Bawel, Bawal Power, Adlin Aman Ramlie dan Pi Mai terselamat daripada penyingkiran itu kerana mereka memperolehi markah teratas daripada keseluruhan 17 peserta pertandingan ini.
“Ini bermakna, lima peserta yang akan tersingkir pada minggu ketiga MLM ialah daripada kalangan 12 peserta selain daripada lima peserta yang saya sebutkan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas MLM minggu kedua berlangsung di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Pada pertandingan ini, sehingga minggu lalu kumpulan duo Boboi yang dianggotai Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik mendapat markah paling tinggi iaitu 61 markah diikuti, Bawel (58 markah), Bawal Power (57 markah), Adlin Aman Ramlie (57 markah) dan Pi Mai (57 markah).
MLM mengadili para pesertanya menerusi tiga pengkritik tetapnya iaitu Datuk Chef Wan, Datuk Siti Nurhaliza dan Zainal Abidin Hassan yang menyumbang 70 peratus markah, manakala 30 markah lagi berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penonton.
Selain lima peserta itu, MLM turut disertai 12 peserta lain iaitu Osbon, Caer, JH, Syok, 3G, Rap, Anje, Hiro, Lanun, Comel, Saehu dan Gebu. – mynewshub.my
No comments:
Post a Comment