IPOH – Menipu orang ramai dengan menyamar sebagai bomoh Cina.
Itu modus operandi penipuan seorang lelaki dan seorang wanita warga asing yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM173,190 sejak Januari lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan berkata, kedua dua warga China itu bagaimanapun berjaya ditahan di Sungai Siput pada 10 Oktober lalu.
“Polis menahan dua wanita dan seorang lelaki warga negara China berumur antara 44 dan 45 tahun terbabit.
“Siasatan mendapati mereka datang ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan menjalankan aktiviti penipuan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Shukri berkata, berdasarkan laporan kedua-dua suspek akan menghampiri mangsa wanita berbangsa Cina di pasar-pasar serta mengatakan keluarga mangsa telah terkena jampi bomoh dan mendakwa akan mendapat penyakit.
Menurutnya, kumpulan terbabit akan meminta wang tunai dan barang kemas daripada mangsa untuk melakukan upacara keagamaan.
Bagaimanapun, kata beliau, sindiket berkenaan akan menukarkan bungkusan mangsa dengan bungkusan lain dan menghilangkan diri.
No comments:
Post a Comment