
SAIDI (dua dari kiri) bersama beberapa pegawai Kastam menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas dari seorang wanita Thailand di Alor Setar semalam.
ALOR SETAR - Seorang wanita Thailand yang cuba menyeludup ganja dengan menaiki sebuah bas ekspres dicekup Jabatan Kastam Diraja Malaysia berhampiran Plaza Tol Jitra dekat sini Khamis lalu.
Wanita berusia 28 tahun yang merupakan suri rumah itu ditahan pada pukul 9.10 malam hasil maklumat orang awam.
Dadah tersebut ditemui disorok di dalam sebuah beg pakaian yang disimpan di bahagian tempat barang bas yang dalam perjalanan dari Changlun menuju ke Johor Bahru.
Timbalan Pengarah Kastam negeri, Saidi Ismail memberitahu, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui 20 ketul mampat daun kering disyaki ganja seberat 18.6 kilogram yang dianggarkan bernilai RM44,700.
Katanya, dadah itu dipercayai untuk pasaran di ibu negara kerana destinasi perjalanan wanita terbabit ialah Kuala Lumpur.
"Ketika ditahan bas ekspres itu membawa 12 penumpang. Apabila wanita terbabit diminta membuka begnya yang berkunci itu, kita menemui ketulan mampat ganja di dalamnya," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Difahamkan, wanita yang mempunyai dua orang anak itu menaiki teksi dari Changlun ke Bukit Kayu Hitam setelah membuat pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan kemudian menaiki bas tersebut untuk ke ibu negara.
Menurut Saidi, wanita terbabit dipercayai kerap menyeludup ganja ke negara ini sebelum ini.
Tambahnya, wanita itu ditahan reman selama tujuh hari dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment